Lebih 2,000 Orang Asli Temiar Kelantan Terputus Hubungan, Makanan Akibat Banjir Besar
2021.12.23
Kuala Lumpur
Lebih 2,000 Orang Asli dari suku Temiar yang menetap di beberapa buah kampung di kawasan pedalaman negeri Kelantan terputus hubungan dengan luar termasuk barangan asas makanan akibat banjir besar yang melanda negara pada hujung minggu lalu, demikian menurut kumpulan aktivis yang aktif memperjuangkan nasib komuniti itu pada Khamis.
Banjir besar yang berlaku di kawasan tengah Semenanjung Malaysia turut terkena tempiasnya di kawasan utara dengan turut meliputi kawasan penempatan orang asli di daerah terpencil seperti di Gua Musang.
Seorang aktivis peggerak Jariangan Kampong Orang Asli Kelantan (JKOAK) telah menyuarakan rasa kegusaran akan kehabisan bekalan makanan dalam masa terdekat setelah jalan utama rosak dan jambatan pula dihanyuti air di lebih 34 perkampongan Orang Asli di daerah Gua Musang yang bersempadanan dengan selatan Thailand itu.
“Banjir berlaku pada 18 Disember dan surut keesokan harinya. Akan tetapi, sehingga sekarang banyak kampung telah terputus hubungan disebabkan jalan rosak serta jambatan putus," kata Mustafa Along, aktivis JKOAK memberitahu BenarNews pada Khamis.
Mustafa yang menetap di Kampung Jias di Kuala Betis, Gua Musang berkata kampung-kampung yang terjejas itu adalah Kampung Kuala Bering, Kampung Angkek, enam kampung di Pos Simpor dan Pos Belatin, enam kampung di Pos Balas dan 11 di Pos Gob.
BenarNews telah menghubungi Mustafa selepas laman Facebook JKOAK memuatnaik gambar-gambar mengenai beberapa jambatan yang menghubungkan kampung-kampung Orang Asli dihanyutkan arus banjir.
Banyak jambatan di kawasan pedalaman menggunakan sistem titi gantung.
"Makluman yang baharu diterima, kampung kami di Gua Musang, jambatan Sungai Jong telah dibawa arus. Keadaan ini akan menyukarkan lagi komuniti Pos Gob dan Pos Simpor untuk keluar ke Kuala Betis atau Gua Musang.
"Selain itu, laluan ke Kampung Angkek juga telah terputus akibat jambatan runtuh. Sudah tentu kami sukar mendapat bekalan asas dalam masa terdekat," kata aktivis itu yang bergiat dalam kumpulan bukan kerajaan itu.
Sebuah lagi jambatan yang menghubungkan Pos Balar pula telah hanyut ketika banjir melanda kawasan berkenaan pada Sabtu lepas, dengan jarak antara kampung-kampung di antara Bandar Gua Musang adalah berbeza-beza.
Yang paling dekat terletak 22km dari bandar mana kampung yang terletak jauh di pedalaman berjarak antara 40km ke 70km dari bandar.
Harap bantuan NGO
Menurut JKOAK, penduduk kampung Orang Asli telah mula mengambil inisiatif sendiri untuk membaiki jalan yang menghubungkan mereka dengan dunia luar buat sementara kerana mendakwa bantuan kerajaan akan lewat kerana "kerenah birokrasi".
"Hendak tunggu bantuan daripada agensi kerajaan khususnya JAKOA dan JKR untuk baiki banyak jalan dan jambatan yang runtuh ketika musim banjir dan tengkujuh ini, memang lambat akibat karenah birokrasi.
"Akhirnya kami ambil inisiatif sendiri, baiki jambatan dan jalan kami sendiri," kata JKOAK dalam satu muatnaik di Facebook mengenai penduduk kampung Orang Asli di Pos Balar membaiki jalan yang rosak akibat banjir.
JAKOA merujuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli, iaitu sebuah agensi di bawah kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan hal-ehwal komuniti berkenaan, manakala JKR pula adalah Jabatan Kerja Raya yang merupakan agensi yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja membaiki jalan.
Ketika ditanyakan sama ada terdapat mana-mana kampung Orang Asli yang sudah kehabisan bekalan makanan, Mustafa memberitahu BenarNews bahawa JKOAK masih belum mendapat kepastian kerana mereka juga terputus hubungan telefon dengan kebanyakan kampung disebabkan pencawang telekomunikasi di kampung-kampung tidak berfungsi akibat banjir.
Namun, tambah aktivis itu, mereka juga telah berhubung dengan beberapa NGO kemanusiaan seperti 'Malaysian Action for Justice and Unity' (MAJU) untuk mendapatkan bantuan.
"Kami sudah hubungi rakan-rakan NGO untuk mendapatkan bantuan mereka," kata Mustafa.
Sementara itu, usaha BenarNews untuk mendapatkan reaksi dari JAKOA berkenaan bantuan terhadap Orang Asli yang terjejas akibat banjir di Kelantan gagal kerana mesej dan panggilan telefon tidak berbalas.
Dalam pada itu, situasi banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia sejak Sabtu lepas dilaporkan telah bertambah baik pada Khamis.
Menurut laporan agensi berita nasional Bernama, bilangan mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara di negeri Pahang, Selangor, Kelantan, Perak and Melaka telah semakin menurun manakala di Kuala Lumpur tidak menunjukkan perubahan.
Dua lagi kematian berkaitan banjir telah direkodkan pada Khamis, demikian kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu sidang media, sekaligus menjadikan bilangan keseluruhan mangsa yang maut akibat bencana itu setakat ini meningkat kepada 39 orang.
“Sepuluh lagi masih dilaporkan hilang,” tambah Acryl Sani.