Orangutan Sumatra Hadiah Sultan Johor Diiktiraf Tertua Di Dunia

Muzliza Mustafa
2016.10.27
Kuala Lumpur
161027-my-puan620.jpg Orangutan tertua di dunia yang dilahirkan di Malaysia diberi nama Puan, tinggal di Zoo Perth, Australia sejak 48 tahun lepas.
[Gambar Ihsan Zoo Perth/Alex Asbury]

Puan, orangutan Sumatra yang dihadiahkan oleh Sultan Johor lebih kurang 48 tahun lalu kepada sebuah Zoo di Perth, Australia telah diiktiraf sebagai orangutan tertua dalam jagaan di dunia oleh Guinness Book of Records pada hari jadinya yang ke-60 pada Khamis.

Orangutan yang dilahirkan di Malaysia meraikan harijadinya dengan bersarapan buah kegemarannya iaitu rambutan yang dibawa khas dari tanah airnya, menurut laporan agensi berita Reuters.

Puan telah dihadiahkan oleh Sultan Johor kepada Zoo Perth pada tahun 1968 yang turut menerima haiwan tempatan dari Australia sebagai balasan, menurut laporan berkenaan.

Kebiasaannya usia orangutan Sumatra tidak melebihi 50 tahun.

Jagaan rapi dan terkawal hidup lebih lama

Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara Malaysia, Rosly Ahmat Lana, umur Puan yang menjangkau 60 tahun bukanlah satu yang luarbiasa kerana haiwan yang berada dalam jagaan terkawal dan rapi secara amnya hidup lebih lama.

“Bukan sahaja makanan, tapi kalau sakit ada orang yang akan rawat, diberi vitamin jika perlu. Sebab itu secara am, haiwan dalam jagaan hidup lebih lama daripada yang bebas di hutan,” kata Rosly ketika dihubungi BeritaBenar.

Beliau berkata kebiasaanya orang utan di hutan hidup paling lama 50 tahun manakala orangutan jantan punya jangka hayat yang lebih rendah kerana kematiannya disebabkan oleh pergaduhan antara mereka.

Menurut beliau lagi, di Malaysia, orangutan tertua dalam jagaan Zoo Negara ialah seekor orangutan jantan bernama Sulong yang berumur 47 tahun manakala orangutan betina yang pernah berada dibawah jagaan Zoo itu, Salmah, pula telah meninggal dunia awal tahun ini ketika berumur 48 tahun.

“Orangutan dalam jagaan Zoo Negara diberi makan betik, pisang, sayur, jambu, anggur, telur rebus, epal, susu, vitamin tambahan, nasi dan juga pelbagai jenis daun yang boleh dimakan untuk santapan harian,” kata Rosly.

Beliau berkata orangutan diberikan rawatan cacing dan ubat-ubatan oleh doktor haiwan jika diperlukan.

Mengenai Puan, Rosly berkata Zoo Negara tidak mempunyai dokumentasi tentang orangutan tersebut yang sekarang ini di bawah jagaan Zoo Perth itu.

Menurut penjaga Puan, Martina Hart, haiwan itu dilahirkan di hutan dan agak sukar untuk mendapatkan tarikh yang tepat kelahirannya

“Tetapi dari dokumentasi yang diperolehi, dipercayai Puan dilahirkan pada tahun 1956,” kata Hart.

Jumlah orangutan di Zoo Perth adalah sebanyak 11 ekor dan Puan merupakan nenek dan moyang kepada koloni itu.

Menurut Hart, Puan memainkan peranan yang besar dalam program mereka dengan membantu menyediakan orangutan lain untuk hidup di dalam hutan dengan mengajar mereka membina sarang, salah satu perkara utama yang perlu mereka tahu.

“Walaupun Puan sekarang sudah banyak berehat dan lebih suka menghabiskan masa berjemur dengan umurnya yang sudah lanjut, sifat-sifatnya yang dahulu masih sama. Dia akan menghentak kaki dan tidak mengendahkan orang jika dia menunggu terlalu lama untuk makanan,” kata Hart.

Orangutan Sumatra adalah haiwan terancam dan spesis itu makin pupus disebabkan habitatnya yang diterokai dan diganti dengan ladang kelapa sawit dan getah.

Turut menyumbang kepada kepupusan adalah aktiviti pemburuan haram dan dagangan haiwan terlarang di pasaran gelap.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.