PAC Akan Panggil Presiden UMNO Beri Keterangan Prosiding Pembekalan Kapal Tempur
2020.12.18
Kuala Lumpur
Sebuah jawatankuasa Parlimen Malaysia mengumumkan minggu ini bahawa ia akan memanggil bekas menteri pertahanan dan presiden parti UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, serta pegawai lain untuk memberi keterangan mengapa sebuah syarikat Malaysia gagal menyempurnakan kontrak bernilai berbilion-bilion untuk membina beberapa kapal tempur pesisir tepat pada waktunya.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memulakan siasatannya pada bulan lalu berhubung kontrak bernilai RM9 bilion (AS $2.2 bilion) yang diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd pada 2014 untuk membina enam kapal tempur pesisir (LCS). Namun, tiada satu pun daripada kapal itu yang siap dibina.
Setakat ini, lapan orang telah memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut.
"PAC akan meneruskan prosiding yang berkaitan dengan kapal tempur pesisir pada awal Januari 2021 dengan memanggil saksi berikutnya seperti bekas Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, bekas Panglima Tentera Laut Abdul Aziz Jaafar dan wakil kontraktor utama projek LCS, ” kata pengerusi jawatankuasa itu Wong Kah Woh kepada wartawan pada Khamis.
“Kegagalan menyiapkan pembinaan kapal LCS amat serius kerana ia membabitkan kelemahan dari segi tadbir urus, perolehan serta kewangan, tetapi memberi impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara,” katanya.
“Sehingga Oktober lalu, sejumlah RM6 bilion ($1.5 billion) telah dibayar bagi kontrak itu, walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS sudah siap dibina dan diserahkan kepada TLDM pada masa itu seperti yang terdapat dalam jadual asal pembinaan kapal,” kata Wong.
Jawatankuasa itu, katanya, akan mengadakan lawatan ke tapak pembinaan kapal itu di negeri Perak pada bulan depan sebagai sebahagian daripada siasatannya. PAC merancang untuk menyerahkan laporannya kepada Parlimen pada sesi persidangan Mac 2021.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan awal tahun ini, Kementerian Pertahanan gagal menuntut ganti rugi sebanyak RM116.5 juta ($28.8 juta) daripada Boustead Naval Shipyard kerana lewat lapan bulan dalam membina satu daripada kapal pesisir itu.
Pada Jumaat, Ahmad Zahid yang juga presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti utama dalam gabungan kerajaan sekarang – mengulas kenyataan pengerusi PAC itu.
"Saya menyandang jawatan Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013. Saya ingin menjelaskan bahawa kegagalan pembekalan [kapal] oleh Boustead hanya timbul pada 2019 ketika saya tidak lagi memegang jawatan itu," katanya dalam satu kenyataan.
Namun, Ahmad Zahid berkata beliau akan memberi kerjasama kepada jawatankuasa Parlimen itu dalam siasatannya.
Awal minggu ini, menteri pertahanan sekarang Ismail Sabri Yaakob memberitahu Parlimen bahawa kementerian yang diterajuinya sedang menimbangkan beberapa opsyen berhubung kontrak pembinaan kapal tempur pesisir itu.
Ini termasuklah membuat pembayaran RM3 bilion ($ 742.6 juta) untuk membolehkan projek membina kapal itu diteruskan atau menamatkan kontrak Boustead.
Projek ini masih dalam jangka masa kontrak, yang akan berakhir pada 2023, katanya.
"Jika kita membenarkan BNS meneruskannya, kita perlu menentukan sama ada ia mampu melaksanakan tugasnya," kata beliau.
Pada 26 November, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), syarikat induk BNS, mengumumkan bahawa pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai kemungkinan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa dalam projek kapal pesisir itu selepas ia menjalankan pengauditan.
"Ini membuktikan komitmen kumpulan BHIC dalam memerangi rasuah dan sogokan di semua peringkat organisasi dan dalam semua urusan perniagaannya. Ini sejajar dengan nilai korporat utamanya iaitu rasa memiliki, menghormati, integriti dan komitmen,” kata Ramlan Mohamed Ali, pengerusi kumpulan dan panglima tentera laut bersara, dalam satu kenyataan.
Kapal dibina di China
Dalam perkembangan lain yang berkaitan dengan perolehan perkakasan ketenteraan di Malaysia, angkatan laut negara itu mengumumkan awal minggu ini bahawa empat lagi kapal misi pesisir yang dibina oleh China sudah siap untuk dihantar dari limbungan syarikat kapal di Wuhan.
Kapal peronda itu dibina melalui kontrak bernilai RM1 bilion (AS$256 juta) yang ditandatangani antara BNS dan China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd. pada 2017.