Empat Kakitangan Kerajaan Negeri Pahang Ditahan SPRM

Hafiz Abbas
2016.01.07
160107-MY-LORIBAUKSIT620 Pekerja lombong cuba membersihkan lori yang digunakan untuk mengangkut bauksit dari Bukit Goh ke Pelabuhan Kuantan. 6 Jan 2016.
BeritaBenar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis menahan empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan termasuk seorang pegawai kanan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen di Pahang.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Mohd Azam Baki berkata, kesemua mereka yang berusia antara 30 dan 38 tahun ditahan di sekitar bandar Kuantan pada lewat petang Rabu.

Beliau berkata, mereka kini ditahan reman selama seminggu bermula Khamis mengikut Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, atau yang mana lebih tinggi, dan penjara maksimum 20 tahun.

“Nilai wang rasuah dipercayai melebihi RM100,000, dan kami turut menemui sejumlah wang yang banyak di rumah mereka” katanya dalam satu sidang media di Kuantan pada Khamis.

Mohd Azam berkata, pembayaran wang rasuah tersebut bertujuan bagi melindungi kegiatan haram pelombong tersebut, daripada diambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka.

Katanya, SPRM juga mengesan kegiatan penjualan dokumen pemindahan biji mineral atau borang 13D, yang dikeluarkan oleh PTG secara haram kepada pelombong tidak berlesen dengan harga RM150 hingga RM200 sedangkan borang itu bernilai RM1 sahaja.

Kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan, terutamanya di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng dipercayai bermula sejak pertengahan tahun 2014 tidak lama selepas Indonesia, iaitu pengeluar utama, mengharamkan eksport bahan mineral berkenaan pada Januari 2014.

Kini, Malaysia membekalkan lebih 40 peratus bahan mentah itu bagi menghasilkan aluminium untuk China yang menghasilkan kira-kira separuh daripada produk berasaskan aluminium di dunia seperti pesawat, rangka pintu dan bekas minuman.

Pada Rabu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan yang kabinet akan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.

Beliau berkata, keputusan itu turut menggariskan beberapa langkah yang perlu diambil oleh pihak industri yang terlibat dalam tempoh tiga bulan bagi menyelesaikan pelbagai masalah pencemaran akibat kegiatan tersebut.

‘Kekangan kakitangan’

Dalam pada itu,  Penolong Pengarah JPJ negeri Pahang, Ahmad Sallehuddin Mat Nasir, mengakui kekurangan anggota dan pegawai adalah kekangan utama kepada jabatan itu untuk menguatkuasakan undang-undang dalam usaha mengatasi masalah lori bauksit yang melakukan pelbagai kesalahan di jalan raya.

Katanya, kekuatan bahagian penguatkuasaan jabatan itu di Kuantan berjumlah 30 orang dan hanya empat anggota yang khusus ditugaskan untuk menjalankan Ops Bauksit; jadi keupayaan memantau kawasan luas yang meliputi sekitar bandar Kuantan, Terminal Sentral Kuantan sangat terhad.

"Namun pada tahun lalu, Jabatan itu mengeluarkan sebanyak 27,532 saman dianggar bernilai RM8,259,600 dan menyita 27 buah lori membawa muatan bauksit atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya ketika dihubungi BeritaBenar pada Khamis.

Ahmad Sallehuddin juga bersetuju, sekiranya semua agensi penguatkuasaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) turun padang untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan, beliau  percaya kerjasama itu berupaya memberi impak positif dalam menangani kegiatan perlombongan bauksit di bandar berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman mencadangkan penglibatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha menangani masalah kekurangan anggota penguatkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang.

"Sekiranya JPJ atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak memiliki cukup anggota untuk menahan lori bauksit yang melanggar undang-undang, MKN boleh campur tangan.

"Melalui MKN, kita boleh mengarahkan anggota tentera membantu agensi penguatkuasaan berkaitan sebagaimana yang dilakukan ketika kejadian banjir dan tanah runtuh akibat penerokaan haram di Cameron Highlands dua tahun lalu," katanya ketika dihubungi BeritaBenar.

Ali berkata, pihaknya enggan lagi menerima alasan tersebut kerana masalah itu telah berlarutan sudah sekian lama dan amat menyusahkan rakyat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.