Malaysia bawa pulang 127 rakyat Palestin untuk rawatan
2024.08.16
Kuala Lumpur
Malaysia pada Jumaat menerbangkan 41 rakyat Palestin yang cedera termasuk bayi berusia lapan bulan untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tentera di negara itu menerusi misi kemanusiaan kendalian Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM ) dari Kaherah ke Kuala Lumpur.
Dua buah pesawat Airbus A400M milik TUDM tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang di Selangor pada kira-kira 2 petang dengan membawa pesakit dan ahli keluarga yang kesemuanya berjumlah 86 orang, mengharungi perjalanan 13 jam dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah, Mesir.
Pemerhati menyifatkan misi kemanusiaan dilaksanakan Malaysia yang merupakan negara pertama di Asia berbuat demikian adalah bukti sokongan padu terhadap perjuangan Palestin yang lantang disuarakan oleh Perdana Menterinya Anwar Ibrahim di pentas antarabangsa.
Menteri Pertahanan Malaysia Mohamed Khaled Nordin semasa ditemui media di pangkalan udara berkenaan berkata usaha membawa rakyat Palestin yang cedera adalah hasil perbincangan antara Malaysia dan Mesir sejak dua bulan lepas.
“Kita melaksanakan misi ini atas pertimbangan kemanusiaan untuk menunjukkan solidariti terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin selain menyatakan pendirian negara menentang tindakan tidak berperikemanusiaan.
"Mesir menasihatkan kita agar tidak membina hospital medan di Gaza kerana risiko keselamatan yang tinggi oleh itu lebih baik bagi kita membawa mereka ke Malaysia untuk dirawat. Tambahan pula ada pesakit kronik yang memerlukan masa yang panjang untuk sembuh,” kata Mohamed Khaled pada satu sidang media.
Beliau berkata proses membawa pulang mereka yang cedera juga mengambil masa kerana perlu melalui tapisan bagi memastikan yang dibawa ke Malaysia adalah rakyat Palestin yang memerlukan rawatan.
“Penapisan dilakukan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), Angkatan Tentera Malaysia dan kena juga pastikan mereka itu ‘fit to fly’,” tambah Menteri itu lagi.
Beliau berkata, Hangar Nombor 16 Skuadron di pangkalan itu telah dijadikan sebagai Mini Hospital bagi persinggahan sementara rakyat Palestin sebaik tiba di Malaysia, sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut secara berperingkat.
“Sebanyak 26 buah ambulan telah disediakan untuk membawa pesakit dari lapangan terbang ke hospital serta sebuah bas dan lapan buah van untuk membawa waris dari transit ke hospital.
“Tiga wad akan digunakan di Hospital Angakatan Tentera Tuanku Mizan untuk merawat kes patah dan kehilangan anggota badan, luka parah pada kepala, kecederaan mata dan kecederaan berpanjangan kesan daripada terhadnya kepada kemudahan kesihatan sebelum ini,” tambah Mohamed Khaled.
Menteri itu bagaimanapun memberitahu antara cabaran yang dihadapi adalah halangan bahasa kerana hanya sebilangan kecil dari rakyat Palestin yang dibawa itu boleh berbahasa Inggeris namun beliau yakin ia dapat diatasi dengan bantuan komuniti Palestin di negara itu ditambah pula dengan 1,200 pelajar yang menyatakan kesediaan menjadi jurubahasa.
Kumpulan pesakit yang tiba di Subang itu adalah antara 40,000 rakyat Palestin dari wilayah bergolak yang berlindung di Mesir sejak tercetusnya pergolakan pada 7 Oktober lepas.
Kesemua mereka telah dipindahkan dari tujuh buah hospital di Kaherah ke pangkalan udara Al Maza sebelum diterbangkan ke Malaysia.
Sebahagian rakyat Palestin yang cedera ditempatkan sementara di hospital mini Tentera Udara Diraja Malaysia di Pangkalan TUDM Subang, Selangor, 16 Ogos, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Negara Asia pertama
Dalam pada itu, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali menyatakan penghargaan kepada Malaysia yang menjadi negara Asia pertama membawa pulang rakyat Palestin yang cedera dalam pergolakan yang telah mengorbankan lebih 40,000 manakala 92,401 lagi tercedera.
“Terima kasih kepada Malaysia dan (perdana menterinya) Anwar Ibrahim yang merupakan negara Asia pertama membawa pulang rakyat Palestin sambil menempuh perjalanan selama 16 jam untuk menerima rawatan di sini (Malaysia),” kata beliau yang turut berada di pangkalan tentera udara menyambut ketibaan rakyat negaranya.
Menghargai kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Mesir dalam menjayakan misi tersebut, Duta Mesir ke Malaysia Ragai Tawfiq Said Nasr menyatakan kesediaan pihaknya memberi sokongan kepada Malaysia dalam usaha membantu rakyat Palestin yang dibawa pulang.
“Mesir akan terus memberikan sokongan kepada Malaysia dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” kata beliau yang turut sama di pangkalan tentera udara itu.
Malaysia, negara majoriti Islam, secara konsisten menyokong penyelesaian dua negara kerana Israel telah menduduki wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Susulan krisis terkini yang menyaksikan serangan darat dan udara Israel yang meragut nyawa lebih 40,000 rakyat Palestin di Gaza, Malaysia dengan lantang telah mengutuk sekeras-kerasnya negara Yahudi itu.
Malaysia baru-baru ini turut mengutuk kekejaman rejim Israel apabila berlakunya pembunuhan terhadap Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh pada 31 Julai.
Ismail yang juga bekas perdana menteri Palestin dilaporkan maut bersama seorang pengawal peribadinya dalam serangan udara ke atas kediamannya di Tehran, Iran, sehari selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah presiden Iran yang baru dipilih Masoud Pezeshkian di negara itu.
Anwar menyifatkan pembunuhan tersebut satu sabotaj bagi mengagalkan usaha perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan perang di Gaza.
Pada 15 Ogos lalu, dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Volker Turk menyifatkan situasi yang tidak dapat digambarkan di Gaza sebagai sesuatu yang keterlaluan berikutan kegagalan angkatan pertahanan Israel dalam mematuhi peraturan perang.
Rakyat Palestin yang cedera dan dibawa ke Malaysia akan menerima rawatan lanjut di Hospital Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, 16 Ogos, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Undang kontroversi
Sementara itu, Felo Kanan Institut Hubungan Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berpendapat bantuan yang dihulurkan oleh Malaysia itu tidak sepatutnya mengundang kontroversi kerana ia dilihat sebagai satu usaha kemanusiaan melainkan warga Palestin yang dibawa pulang ke Malaysia merupakan pejuang Hamas.
“Sokongan terhadap perjuangan Palestin semakin meningkat di negara Barat sejak akhir-akhir ini dan oleh itu misi kemanusiaan yang diambil oleh Malaysia ini tidak akan mendatangkan impak negatif seperti penarikan semula pelaburan dan sebagainya,” kata beliau ketika dihubungi BenarNews.
Tunku Mohar Mokhtar, profesor madya sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya langkah yang diambil kerajaan itu dapat meningkatkan lagi imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai semangat kemanusiaan yang tinggi dan mengambil berat terhadap nasib rakyat Palestin.
“Bukan sesuatu yang luar biasa bagi Malaysia dalam menunjukkan keprihatinan dan menyalurkan bantuan kepada Palestin sebagaimana ia telah melakukan perkara yang serupa kepada negara lain seperti Bosnia dan Syria sebelum ini.
“Ini merupakan salah satu cara Malaysia membantu negara Islam yang lain,” kata beliau.
Pengarah Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia Shahriman Lockman berkata bagi menjayakan sesuatu misi kemanusiaan, ia memerlukan satu tahap hubungan baik dan kerjasama dengan kerajaan Mesir.
“Misi tersebut adalah penting secara simboliknya walaupun bilangan pesakit Palestin yang dibawa pulang untuk dirawat adalah sederhana.
“Ia adalah sesuatu yang memberangsangkan apabila melihat Malaysia membuktikan kata-kata sokongan padu selama ini melalui satu tindakan yang konkrit,” beliau memberitahu BenarNews.