Najib Tidak Hadir Parlimen, SPRM Muktamad Tarikh
2015.12.03

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah muktamadkan tarikh untuk mengambil keterangan Perdana Menteri berhubung dana RM2.6 bilion, tetapi ahli Parlimen kecewa dengan ketidakhadiran Najib menjawab persolan berkenaan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, suruhanjaya itu telah mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri pada Khamis untuk menepatkan tarikh mengambil keterangan daripada Najib berhubung isu SRC International dan juga dana RM2.6 bilion berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan bilakah tarikhnya
“SPRM akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Manakala ahli Parlimen pula memberi pelbagai reaksi kecewa dengan ketidakhadiran Perdana Menteri untuk menjawab soalan berkaitan isu itu yang kini menjadi tanda tanya kepada semua.
Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang tampil menjawab persoalan itu dengan ringkas sekali.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said sebelum ini berkata, isu berkaitan sumbangan derma itu akan dijawab pada sesi soal jawab, iaitu hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.
Pada Julai lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak RM2.6bilion dari syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia yang diadakan pada Mei 2013.
Najib kemudian menyangkal dakwaan itu dan menafikan sebarang salah laku selain menyifatkan ia sebagai cubaan sabotaj politik terhadap dirinya.
Susulan itu, SPRM menjalankan siasatan dan mendapati dana itu adalah sumbangan dari Timur Tengah, tanpa menyatakan siapa penyumbangnya, untuk apa wang itu digunakan, atau mengapa sejumlah besar wang yang memasuki Malaysia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
‘Kecewa’
Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana Perdana Menteri mungkir janji dalam menjawab semua persoalan mengenai sumbangan derma itu di hari terakhir sidang Parlimen.
“Tindakan ini [Perdana Menteri] tidak akan menyelesaikan segala masalah sebaliknya ia menimbulkan pelbagai persoalan lain disamping turut menambahkan lagi masalah kepada negara, Najib perlu tampil membuat penjelasan mengenai isu ini,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi daripada Washington pada Khamis.
Beliau berkata, apa yang dijawab oleh Ahmad Zahid kepada sidang dewan hanyalah mengulangi semua maklumat yang sudah diketahui umum.
Bagi Ahli Parlimen Bukit Katil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar menyifatkan Najib tidak berani hadir memberi keterangan yang melibatkan dirinya sendiri.
“Saya rasa Najib pengecut…, sewaktu Ahmad Zahid menjawab itu, ia secara jelas mengesahkan dalam parlimen bahawa RM2.6 billion itu sememangnya telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi,” katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.
Shamsul yang juga Naib Presiden PKR mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa di Parlimen, dengan Najib tidak berani berhadapan dengan ahli sidang dewan serta menjelaskan kedudukan sebenar berkaitan isu derma politik itu.
Sementara itu, pada persidangan dewan yang sama, telah merujuk Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR Nurul Izzah Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berikutan tindakannya bergambar dengan Puteri Sultan Sulu, Jackel Kiram di Filipina baru-baru ini.
Perkara itu telah diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia selepas 105 ahli Parlimen bersetuju menakala 77 lain tidak bersetuju dengan usul terhadap Naib Presiden PKR itu dalam satu undi belah bahagian yang dijalankan pada Khamis.
Azalina yang membentangkan usul itu menegaskan pertemuan Nurul Izzah dengan Puteri Jacel Kiram pada 9 November lepas, telah menimbulkan prasangka negatif dan tidak sensetif terhadap peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada 12 Februari 2013 serta telah mencabar kedaulatan negara.
Pada Februari 2013, kumpulan bersenjata Sulu dari selatan Filipina itu, telah menceroboh Lahad Datu di Sabah hingga menyebabkan lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati.
Nurul Izzah ketika membahaskan usul itu menegaskan bahawa beliau berada di Filipina pada ketika itu adalah atas jemputan Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Demokrasi Asia, pejabat Datuk Bandar Manila, Joseph Estrada dan pejabat Naib Presiden Fiipina, Jejomar Binay yang mendokong desakan Kumpulan Kerja Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mendesak bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, dibebaskan dengan serta-merta.
Anak sulung Anwar itu kelihatan sunggul dan sedih ketika ditemui di Lobi Parlimen dengan tegas berkata akan meminta Datuk Bandar Manila untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan mengenai kehadirannya di majlis di negara tersebut.
“Kebenaran akan terbukti dalam kes yang akan dibawa oleh saya di hadapan jawatankuasa, saya tidak mempunyai niat untuk bertemu atau untuk mengadakan pertemuan dengan Puteri Jacel Kiram,’’ katanya ringkas kepada BeritaBenar pada Khamis.
Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.