Malaysia lulus pindaan mansuh cubaan bunuh diri sebagai jenayah
2023.05.22
Kuala Lumpur
Dewan Rakyat Malaysia telah meluluskan satu pindaan undang-undang yang memansuhkan peruntukan dalam Kanun Keseksaan menjadikan cubaan bunuh diri satu jenayah, di mana peruntukan lapuk itu menyaksikan ramai dihukum atas cubaan mengambil nyawa sendiri yang dikatakan tidak berkesan dalam menghalang perbuatan tersebut.
Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh memberitahu Parlimen semasa membentangkan usul berkenaan bahawa individu yang berdepan masalah sehingga mahu membunuh diri sepatutnya diberikan bantuan psikologi dan bukannya dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan jenayah.
Tambahnya, beberapa kajian di peringkat antarabangsa turut menunjukkan penurunan kes cubaan bunuh diri selepas peruntukan yang menjenayahkan perbuatan itu dimansuhkan di beberapa negara lain.
"Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang merupakan peruntukan dari abad ke-19 wujud kerana anggapan lama bahawa menjadikan perbuatan itu sebagai satu jenayah adalah cara terbaik untuk menghalang percubaan membunuh diri.
“Kini, berdasarkan kepada pendekatan yang diambil oleh negara-negara luar, dilihat bahawa rawatan perubatan dan bukan pendakwaan adalah tindakan yang paling sesuai bagi menangani isu ini.
"Oleh itu, kerajaan berpandangan seksyen 309 wajar dimansuhkan untuk mengubah pendekatan kepada cubaan bunuh diri daripada yang bersifat punitif pada masa ini kepada suatu pendekatan yang berasaskan kepada rawatan perubatan," kata Ramkarpal di Parlimen pada Isnin.
Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, mana-mana individu yang didapati cuba membunuh diri dan melakukannya secara perbuatan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali, tanpa menetapkan jumlah denda yang boleh dikenakan oleh mahkamah.
Usul pindaan tersebut telah dibincangkan melalui sesi debat oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dari kerajaan dan pembangkang sebelum diluluskan sebulat suara melalui undian secara suara.
Rang undang-undang tersebut kemudiannya akan dibawa ke Dewan Negara untuk kelulusan, sebelum ia boleh mendapat perkenan diraja untuk dijadikan satu undang-undang rasmi.
Pindaan terhadap undang-undang tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat buat pertama kalinya pada 4 April lalu.
Di dalam pembentangan usulnya, Ramkarpal memetik beberapa hasil kajian terkini yang menunjukkan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri atau percubaan bunuh diri adalah multifaktorial dan kompleks, yang selalunya mengalami masalah kesihatan mental yang menyebabkan mereka tidak berupaya untuk membuat keputusan dengan rasional.
Kata timbalan menteri itu, majoriti kes cubaan bunuh diri juga didapati membabitkan pengaruh bahan seperti alkohol dan dadah yang semakin menyukarkan mereka untuk berfikir secara rasional.
"Mereka yang melakukan percubaan bunuh diri atau mencederakan diri sendiri adalah dalam situasi krisis dan mengalami kesakitan emosi. Mereka bersikap ‘ambivalens’ terhadap kematian, iaitu keinginan untuk mengakhiri kesakitan emosi yang dihadapi dalam masa yang sama ingin diselamatkan dan terus hidup," kata Ramkarpal.
Beliau menekankan bahawa negara-negara yang telah meminda atau memansuhkan peruntukan yang menjenayahkan cubaan bunuh diri telah menyaksikan penurunan kadar kes berkenaan.
Hukuman penjara atau pendakwaan di mahkamah, ujarnya, akan melambatkan bantuan kesihatan kepada individu terlibat dan meningkatkan risiko bunuh diri.
Ramkarpal berkata bahawa sehingga kini, tiada bukti saintifik yang menyokong anggapan bahawa menjenayahkan cubaan bunuh diri dapat menghalang perbuatan sedemikian daripada dilakukan masyarakat.
Kes bunuh diri meningkat
Keputusan Parlimen itu dibuat ketika Malaysia berdepan dengan peningkatan kes bunuh diri.
Menurut laporan media, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada tahun lepas bahawa laporan kes bunuh diri meningkat sebanyak 81 peratus atau 1,142 kes pada 2021 berbanding 631 pada 2020.
Menurut Khairy, 467 daripada kes berkenaan dilaporkan dalam enam bulan pertama 2022, berdasarkan data pihak polis.
Sementara ramai wakil rakyat mengakui signifikan tindakan memansuhkan peruntukan berkenaan, beberapa yang lain telah menyuarakan kegusaran mereka dari segi konteks kerangka undang-undang di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu.
"Dalam Islam, perbuatan mengambil nyawa seseorang adalah satu dosa, dan perbuatan membunuh diri juga adalah satu dosa," kata Abd Ghani Ahmad, Ahli Parlimen Jerlun, kepada Dewan Rakyat.
"Sekiranya seseorang pesakit itu disahkan mempunyai mental yang tidak stabil oleh pakar perubatan, dan individu itu cuba membunuh diri, saya setuju bahawa mereka tidak sepatutnya menghadapi pertuduhan jenayah.
“Kita tidak menanggung dosa apabila kita tidak mampu mengawal fikiran sendiri, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang stabil mentalnya tetapi melakukan perbuatan membunuh diri? Adakah kesalahan mereka juga patut diketepikan?"
Isu kesihatan awam
Bagaimanapun, keputusan Malaysia untuk menyahjenayahkan perbuatan cubaan bunuh diri telah mendapat pujian ramai pejuang kesihatan mental sebagai satu tindakan bersejarah, di mana ia menunjukkan pengiktirafan bahawa perbuatan bunuh diri adalah satu isu kesihatan awam dan merupakan komitmen kepada mementingkan penjagaan kesihatan mental.
"Ini sudah tentunya satu langkah yang amat baik. Negara kita telah mengambil langkah besar dalam mengenalpasti bunuh diri sebagai satu isu kesihatan awam dan membawa kepada kita menjadi negara yang mementingkan penjagaan dan intervensi," kata Mimie Rahman, pengarah urusan dan kaunselor MINDAKAMI, sebuah organisasi kesihatan mental, kepada BenarNews.
"Dengan menyahjenayahkan perbuatan bunuh diri, kita melangkah ke hadapan dalam isu penjagaan mental, menangani isu-isu kesihatan mental, dan menggalakkan masyarakat untuk menjadi penyayang dan memahami."
Mimie menekankan mengenai keperluan untuk melihat tindakan menyahjenayahkan perbuatan cubaan bunuh diri itu sebagai satu batu loncatan ke arah reformasi kesihatan mental yang komprehensif, mengetengahkan kepentingan untuk mempunyai kerangka teguh dalam menangani punca kejadian bunuh diri serta menyediakan strategi intervensi serta sistem sokongan yang berkesan.
Satu lagi kumpulan pejuang kesihatan mental, Befrienderkl, turut meluahkan sentimen serupa dan memuji langkah itu sebagai satu tindakan positif ke arah membantu mereka yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri, menggalakkan mereka mendapatkan bantuan tanpa rasa takut akan menghadapi tindakan undang-undang.
"Ia tentunya langkah positif oleh kerajaan. Menyahjenayahkan perbuatan bunuh diri ialah satu langkah bagi membantu mereka yang cenderung membunuh diri atau mahu mati dengan cara mencabut nyawa sendiri," kata Ardy Ayadali, pengarah publisiti Befrienders KL, kepada BenarNews.
Kata Ardy, menyahjenayahkan perbuatan bunuh diri dijangka dapat menyumbang kepada pengurangan faktor risiko bunuh diri serta meningkatkan faktor perlindungan dengan memberikan individu terlibat peluang untuk mendapatkan rawatan, sokongan, dan penjagaan, dan oleh itu, nyawa boleh diselamatkan dan kes bunuh diri dapat dielakkan.
Anita Abu Bakar, presiden Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental pula berharap keputusan Parlimen itu akan memberikan mesej yang jelas kepada semua individu yang bergelut dengan kesihatan mental bahawa setiap individu layak dilayan dengan kasih sayang dan rasa empati.
"Kami berharap dengan langkah ini, mereka akan mendapat bantuan yang diperlukan tanpa sebarang diskriminasi atau rasa takut akan tindakbalas undang-undang. Mereka mempunyai hak untuk mendapat intervensi psikososial, rawatan dan perkhidmatan sokongan sambil mempertahankan maruah mereka tanpa perlu dipaksa," kata beliau dalam satu kenyataan.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.