Parlimen Malaysia Kembali Bersidang, Kerajaan Umum Darurat Tidak Dilanjutkan

Ahli-ahli Parlimen yang berang mengecam perdana menteri kerana tidak membenarkan perbahasan diadakan pada sidang pertama setelah ditangguhkan sejak Januari.
Hadi Azmi & John Bechtel
2021.07.26
Kuala Lumpur
Parlimen Malaysia Kembali Bersidang, Kerajaan Umum Darurat Tidak Dilanjutkan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin memberi penerangan mengenai Pela Pemulihan Negara pada sidang khas Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur, 26 Julai 2021.
[Edaran Jabatan Penerangan Malaysia melalui AFP]

Kerajaan Malaysia tidak akan melanjutkan darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos, dengan Parlimen pada Isnin kembali bersidang buat pertama kalinya setelah digantung sejak Januari.

Ahli-ahli Parlimen yang berang pula mengecam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana tidak membenarkan perbahasan mengenai pandemik koronavirus atau darurat diadakan pada sidang khas lima hari Parlimen. Ahli-ahli Parlimen pembangkang saling berteriak sepanjang beliau memberi penerangan di Parlimen.

"Saya ingin mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mlanjutkan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan di Parlimen.

"Kerajaan juga memutuskan ... untuk membatalkan Ordinan Darurat yang dilaksanakan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat."

Kerajaan membatalkan kesemua enam Ordinan Darurat itu pada 21 Julai, kata menteri berkenaan.

Pengumuman Takiyuddin telah mengejutkan ramai Ahli Parlimen hingga menyebabkan kekecohan di Parlimen. Seorang demi seorang Ahli Parlimen bangkit mempersoalkan cara pembatalan ordinan itu dilakukan.

Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) Steven Sim merujuk kepada kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 30 Jun yang menyatakan bahawa Muhyiddin telah dimasukkan ke hospital kerana sakit perut.

"Perdana Menteri membuat pengumuman bahawa beliau mengalami diarea tetapi beliau tidak boleh mengumumkan mengenai pembatalan ordinan ini?" soal Sim.

'Memalukan Muhyiddin'

Keputusan untuk mengadakan semula persidangan Parlimen sebelum 1 Ogos, selepas ditangguhkan sejak 12 Januari susulan proklamasi darurat, dibuat susulan titah berulang kali mengenainya oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Adalah penting bagi para penggubal undang-undang untuk kembali bersidang supaya mereka dapat membahaskan mengenai ordinan darurat dan rancangan kerajaan dalam memerangi pandemik itu, titah Seri Paduka.

Perdana Menteri berkata darurat dilaksanakan untuk membendung penularan pandemik COVID-19 namun, sejak itu Malaysia terus mencatatkan kadar menggerunkan bagi kes jangkitan dan kematian yang berkaitan dengan virus itu.

Hampir semua parti pembangkang dan pengkritik lain menuduh Muhyiddin, yang menerajui kerajaan tidak dipilih dan kini berpaut kepada majoriti tipis di Parlimen, melaksanakan darurat dan menggantung Parlimen bagu mengelakkan usul undi tidak percaya terhadapnya.

Seorang penganalisis berkata pengumuman keputusan untuk tidak melanjutkan darurat di Parlimen adalah langkah sama yang dibuat pada Januari - untuk mengelak keperluan melaksanakan undi di Parlimen.

"Mereka terpaksa membatalkan semua ordinan berkenaan kerana jika tidak, mereka terpaksa membentangkan rang undang-undang mengenainya di Parlimen dan ia pasti memalukan Muhyiddin sekiranya beliau kalah atau menang dengan majoriti tipis," kata James Chin, penganalisis politik dari Tasmania, kepada BenarNews.

Tiada perbahasan

Ahli-ahli Parlimen pembangkang juga mendakwa bahawa kerajaan telah memutuskan lebih awal untuk tidak mengadakan perbahasan atau undi pada persidangan Parlimen itu.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mempersoalkan apa gunanya persidangan Parlimen itu diadakan tanpa sebarang perbahasan terutamanya ketika kes jangkitan dan kematian COVID-19 yang tinggi di negara itu.

"Adakah kita perlu menunggu sehingga 1,000 orang mati dalam sehari barulah kita nak ambil tindakan? Apakah kita akan membincangkan cara-cara mengatasi masalah tersebut? Tetapi ini langsung tidak menjadi fokus sepanjang sesi bukan Parlimen ini,” kata Mahathir pada Isnin, yang menegaskan bahawa persidangan itu bukanlah persidangan biasa Parlimen.

"Ini hanya taklimat. Kami tidak perlu diberi penerangan kerana kami sudah pun membaca mengenai rancangan itu dan kami tahu ia tidak akan berjaya."

Para pengkritik menyatakan bahawa protokol perintah kawalan pergerakan yang mengelirukan di mana lebih 12 sektor pengeluaran dibenarkan beroperasi pada kapasiti 60 peratus adalah antara sebab peningkatan jangkitan virus itu walaupun sekatan pergerakan dilaksanakan sejak 1 Jun.

Sebelum Parlimen diadakan pada Isnin, Muhyiddin mempertahankan kerajaannya apabila negara itu mencatatkan lebih 1 juta kes COVID-19 pada hujung minggu lalu, dengan kes jangkitan baru yang tinggi dicatatkan pada Sabtu dan Ahad.

"Benar, kerajaan ini tidaklah sempurna," kata Muhyiddin kepada badan perundangan itu.

"Tetapi, apa yang benar juga adalah kerajaan ini tidak hanya berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, dan sebaliknya kerajaan sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa serta kehidupan rakyat."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.