Malaysia: Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 Bermula 6 September

Istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agung.
S. Adie Zul
2021.07.15
Kuala Lumpur
Malaysia: Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 Bermula 6 September Anggota Parlimen Malaysia menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 13 Julai 2020.
[Reuters]

Malaysia pada Khamis mengumumkan yang sidang penuh Parlimen ke-14 akan bermula 6 Sepetember depan, menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat, susulan titah Yang di-Pertuan Agong, dengan terbaharu sebanyak dua kali pada bulan lalu yang mahukan para penggubal undang-undang kembali bersidang bagi mengekalkan fungsi Parlimen sebagai institusi semak dan imbang.

Azhar Azizan Harun dalam dua kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh Parlimen Malaysia memberitahu yang mesyuarat pertama bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September manakala mesyuarat kedua selama 32 hari, bermula pada 25 Oktober.

Kali terakhir Parlimen mengadakan persidangan adalah pada Disember tahun lepas dan telah ditangguh sejak kerajaan membuat pengisytiharan darurat bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos, dengan menggunakan alasan penggantungan itu diperlukan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Selaras dengan Peraturan 11(2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memutuskan Takwim Dewan Rakyat bagi Penggal Keempat, Parlimen ke-14 Tahun 2021 iaitu mesyuarat pertama mulai 6 September hingga 30 September 2021 bersamaan 15 hari.

“Mesyuarat Kedua akan bermula pada 25 Oktober hingga 16 Disember 2021 bersamaan 32 hari,” kata Azhar dalam kenyataan sambil menambah yang kesemua tarikh itu telah mendapat persetujuan Pedana Menteri Muhyiddin Yassin dengan Al-Sultan Abdullah akan merasmikan istiadat pembukaan Parlimen.

Sementara itu, Azhar dalam satu lagi kenyataan medianya berkata Yang di-Petuan Agong turut memberi perkenaan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen selama lima hari yang dijadualkan bermula pada 26 Julai nanti, walaupun Darurat masih berkuat kuasa.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan mesyuarat tersebut walaupun Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 masih berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin akan menyusul dengan mengeluarkan Pemberitahuan Mesyuarat Khas tersebut kepada semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada hari ini,” kata Azhar dalam kenyataan medianya itu.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu dijangka bersidang selama lima hari bermula 26 Julai.

Azhar turut mengingatkan semua Ahli Dewan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan persidangan Parlimen yang telah ditetapkan dengan mengambil kira pandangan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang masa.

Pada 24 Februari lepas, Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan titah bahawa Darurat tidak menghalang Parlimen daripada bersidang dan bulan lepas, Baginda telah mengeluarkan dua lagi titah dalam selang masa dua minggu, menyatakan bahawa Parlimen perlu dibuka secepat mungkin.

Sembilan Raja-Raja Melayu yang mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada satu mesyuarat khas turut mengeluarkan kenyataan menyatakan persetujuan bahawa Parlimen perlu dibuka segera dan Darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Parti Pejuang tidak hadir

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, dengan mempunyai tiga wakil di Parlimen berkata mereka sedang mempertimbangkan sama ada Anggota Parlimennya perlu hadir ke sidang Dewan Rakyat Khas sekiranya sesi pembentangan usul dan perbahasan tidak dibenarkan.

Mahathir mendakwa yang sidang Parlimen Khas selama lima hari itu hanya akan menjadi seperti sebuah majlis taklimat, jika tiada pembentangan usul dan perbahasan dibenarkan.

"Kita nak tahu sama ada akan ada perbahasan atau pun tidak, kalau ada perbahasan ada usul kami akan hadir. Kalau tak ada kami akan fikir sama ada kami akan hadir atau pun tidakm” kata bekas perdana menteri itu dalam satu sidang media pada Khamis.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan media pada Isnin memberitahu yang beliau telah menghantar usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat menggesa supaya persidangan akan datang dapat membahaskan perkara berkaitan pandemik COVID-19.

“Sidang dewan akan datang mesti membahaskan Ordinan Darurat, situasi pandemik Covid-19, kadar vaksinasi, kadar ujian saringan serta perincian terkait perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Pihak pembangkang sebelum itu menyuarakan kebimbangan bahawa sesi sidang Parlimen yang dijadualkan selama lima hari itu hanya akan menjadi sesi taklimat oleh pihak kerajaan, dan bukannya sesi perbahasan bagi membincangkan isu berkaitan langkah kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.