Parlimen Malaysia Akan Bersidang Semula Pada 26 Julai, kata Perdana Menteri
2021.07.05
Kuala Lumpur
Hampir seminggu selepas Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan pandangan buat kali ketiga supaya Parlimen bersidang secepat mungkin, Pejabat Perdana Menteri pada Isnin mengumumkan bahawa Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari pada akhir Julai diikuti persidangan Dewan Negara selama tiga hari pada Ogos.
Muhyiddin Yassin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri itu berkata sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 26 Julai sehingga 29 Julai dan 2 Ogos manakala sidang Dewan Negara pula pada 3 Ogos sehingga 5 Ogos.
"Mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid," kata Muhyiddin yang masih menerima rawatan dan pemantauan akibat diarea di sebuah hospital di Ibunegara, dalam kenyataan media itu.
Persidangan hibrid yang dicadangkan melibatkan kehadiran fizikal untuk menepati kehendak korum iaitu sekurang-kurangnya 26 ahli Dewan Rakyat dan 10 ahli Dewan Negara makanala selebihnya, ahli Dewan mempunyai pilihan untuk hadir secara maya mahupun fizikal - tertakluk pada syarat oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia pada masa persidangan berlangsung.
Muhyiddin, Perdana Menteri yang tidak dipilih tetapi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang berikutan pertelingkahan dalaman tahun lalu, menerajui kerajaan ketika negara itu menghadapi gelombang baharu jangkitan koronavirus berkata nota Jemaah Menteri juga telah diedar kepada para menteri kabinet untuk makluman mengenai keputusan tersebut.
Bagaimanapun cadangan pembukaan pada tarikh itu masih perlu dibawa oleh kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu.
Pengumuman tarikh pembukaan semula Parlimen itu dibuat hanya beberapa hari selepas Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah bahawa Baginda mahukan supaya persidangan dibuat sebelum 1 Ogos, iaitu tarikh berakhirnya Proklamasi Darurat.
Kali terakhir Parlimen Malaysia mengadakan persidangan adalah pada Disember tahun lepas dan telah digantung sejak kerajaan membuat pengisytiharan darurat bermula 11 Januari, dengan menggunakan alasan penggantungan itu diperlukan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Walaubagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lepas telah mengeluarkan titah bahawa darurat tidak menghalang Parlimen daripada bersidang dan bulan lepas, Baginda telah mengeluarkan dua lagi titah dalam selang masa dua minggu, menyatakan bahawa Parlimen perlu dibuka secepat mungkin.
Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan titah bahawa Parlimen yang sedang digantung mesti bersidang dengan secepat mungkin dengan Baginda membuat kenyataan itu selepas selesai bermesyuarat dengan Raja-Raja Melayu, yang turut bersetuju mengenai Parlimen dibuka semula dengan segera dengan titah Darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos.
Pandangan Yang di-Pertuan Agong sekali lagi disampaikan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun serta Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim, selepas keduanya bersama timbalan masing-masing mengadakan pertemuan di Istana Negara pada 29 Jun lepas.
Sehari selepas itu, Azizan dan Rais telah mengeluarkan kenyataan bersama yang memaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah bertitah mahukan kedua-dua cabang Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos.
Titah Al-Sultan Abdullah yang dibuat berkali-kali mengenai pembukaan semula Parlimen itu membuatkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin menerima tekanan hebat serta kecaman dari pelbagai pihak, kerana dilihat tidak mengendahkan serta tidak menghormati kemahuan Institusi Diraja.
Muktamad oleh Jemaah Menteri
Pada 2 Julai, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Perdana Menteri telah memutuskan bahawa sidang Parlimen akan dipanggil sebelum 1 Ogos, seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.
"Sehubungan dengan itu Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021. Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai 2021," kata Takiyuddin dalam kenyataan tersebut.
Pengumuman dibuat Muhyiddin mengenai keputusan tarikh persidangan Parlimen pada Isnin adalah dua hari lebih awal berbanding apa yang dinyatakan oleh Takiyuddin, iaitu keputusan hanya akan dimuktamadkan semasa mesyuarat kabinet.
Sebab kenapa di sebalik pengumuman awal itu tidak dapat dipastikan, tetapi ianya dibuat pada hari yang sama berakhirnya tempoh 14 hari yang diberikan oleh Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kepada kerajaan supaya menetapkan tarikh persidangan Parlimen.
Untuk rekod, UMNO adalah sebahagian daripada parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional, dengan mempunyai bilangan ahli parlimen seramai 38 orang.
Pada 21 Jun lepas, presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan Muhyiddin tempoh 14 hari untuk membuka Parlimen, dan menyatakan bahawa kegagalan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong adalah satu bentuk penderhakaan.
"UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini. Kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah,” kata Zahid.
Masa singkat
Walaubagaimanapun, pengumuman Muhyiddin itu tidak diterima dengan baik oleh banyak pihak termasuk Ahli Parlimen, yang mempersoalkan mengenai sidang khas itu diadakan selama lima hari hanya untuk sesi penerangan.
Ahli Parlimen Muar dari Parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertikaikan agenda persidangan yang hanya untuk sesi penerangan tanpa membincangkan mengenai masalah rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
"Kes begini banyak tetapi Parlimen hanya dibuka lima hari sahaja untuk buat penerangan. Bila akhirnya nak bawa masalah rakyat? Jadikan ini sesuatu yang masuk akal," kata beliau dalam ciapan di Twitter.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Zin pula dalam muatnaik di Twitter mempersoalkan kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan bahawa persidangan Parlimen hanya menyaksikan sesi penerangan tanpa sebarang perbahasan mengenai masalah rakyat.
"Dari kenyataan ini, ahli-ahli Parlimen berasa gusar bahawa persidangan Parlimen tersebut hanya akan menjadi satu sesi penerangan. Tidak ada soal-jawab, tidak ada perbahasan.
"Bagaimana kami mahu bawakan isu rakyat seperti vaksin, moratorium, Perintah Kawalan Pergerakan dan Prosedur Operasi Standard?" soal beliau.
Malaysia terus merekodkan kes harian COVID-19 yang tinggi melebih 6,000 setiap hari dengan pada Isnin, Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 6,387 kes baharu, menjadikan jumlah mereka yang telah dijangkiti COVID-19 setakat ini sebanyak 785,039.
Kes kematian juga turut meningkat sebanyak 77, menjadikan jumlah kehilangan nyawa berkaitan dengan pandemik kini seramai 5,574 orang.