Parti-parti Bergabung Tidak Boleh Memerintah Tanpa Sokongan Parti Islam - Presiden PAS
2018.04.17
Perak & Pulau Pinang, Malaysia
Gabungan parti pemerintah dan pakatan pembangkang di Malaysia memerlukan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum bulan depan, dan PAS sedia memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang bersetuju untuk menjadikan Islam sebagai asas dalam pentadbiran baru negara, kata pemimpinnya kepada BeritaBenar.
PAS yakin dapat menggandakan bilangan kerusinya di Parlimen kerana sokongan terhadap parti itu semakin meningkat, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang semasa diwawancara lewat malam Isnin di negeri utara, Perak. Parti itu hanya mempunyai 13 kerusi di Parlimen, yang dibubarkan awal bulan ini, tetapi Abdul Hadi percaya ia boleh memperoleh kira-kira 40 kerusi pada pilihan raya umum 9 Mei ini.
“Kami yang akan menjadi penentunya," katanya kepada BeritaBenar. "BN dan PH tidak akan dapat memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan. PAS yang akan menjadikan keadaan itu berbeza."
Pilihan raya umum itu dijangka menyaksikan pertarungan sengit antara gabungan parti Barisan Nasional (BN) yang memerintah kerajaan Malaysia sejak penubuhan negara itu pada 1957 dan Pakatan Harapan [PH], pakatan pembangkang yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Pakatan Harapan sedang berusaha untuk menyekat Najib Razak daripada meneruskan khidmatnya bagi penggal ketiga sebagai Perdana Menteri.
"Dalam usaha membentuk kerajaan, mereka memerlukan PAS dan kami mempunyai satu syarat jika ia berlaku - iaitu menjadikan Islam sebagai asas bagi mana-mana pentadbiran kerajaan," kata Abdul Hadi.
"Sekiranya mereka enggan menerima syarat kami, kami tidak kisah menjadi pembangkang tetapi persoalan di sini adalah bagaimana mereka hendak membentuk kerajaan tanpa majoriti? Kerana inilah PAS yakin bahawa mereka akhirnya akan menerima syarat kami. "
Kempen untuk hari pengundian pada 9 Mei belum bermula secara rasminya sehingga 28 April ini, tetapi presiden dan parti PAS sudah pun melakukannya di negeri-negeri Perak dan Pulau Pinang sejak kebelakangan ini.
Pada Ahad lalu, Hadi diiringi ke majlis perhimpunan parti itu di Pulau Pinang oleh 300 ahli dewan pemuda parti, yang menunggang motosikal dan basikal.
Seperti yang dilakukannya di Pulau Pinang sehari sebelum itu, Hadi memakai jubah hijau - warna rasmi PAS yang dikaitkan dengan Islam – di luar kemeja putih ketika beliau berucap di hadapan kira-kira 1,000 penyokong di Bandar Seri Iskandar, sebuah bandar yang terletak 40 km (24.8 batu) dari Ipoh, ibu negeri Perak.
“PAS akan menggunakan Islam sebagai platform dalam kempennya untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang, di mana perjuangan kami adalah untuk menunjukkan bahawa semua urusan pentadbiran perlu berasaskan agama. Pembangunan juga perlu dilaksanakan berasaskan prinsip-prinsip Islam.
"Kami tegas berhubung perkara ini dan prinsip-prinsip Islam tidak boleh diketepikan langsung... Kami menghormati ideologi parti-parti lain tetapi apabila ia berkaitan dengan Islam, kami tidak boleh bertolak ansur dan semua pihak harus menghormati prinsip asas ini. Ini adalah platform PAS sejak awal lagi, dan ini akan terus menjadi teras perjuangan kami. "
Presiden PAS Abdul Hadi Awang (tengah, berjubah hijau) berdiri bersama-sama pemimpin PAS tempatan pada majlis parti itu di Permatang Pauh, Pulau Pinang, 15 April 2018. [Fairuz Mazlan /BeritaBenar]
'PAS hanya bersama-sama dengan mereka mereka yang menyokong Islam'
PAS telah mentadbir negeri utara pantai timur, Kelantan, selama tiga dekad yang lalu. Kelab malam dan pawagam diharamkan di negeri itu, yang konservatif agama dan majoriti penduduknya beragama Islam. Di pasar raya-pasar raya di negeri itu, terdapat laluan keluar berasingan untuk lelaki dan wanita.
Tiga tahun lalu, penggubal undang-undang negeri itu sebulat suara meluluskan rang undang-undang yang bertujuan menguatkuasakan penalti yang lebih ketat bagi kesalahan jenayah di bawah undang-undang jenayah Islam yang dikenali sebagai ‘hudud’.
Pada masa ini, kes-kes jenayah dikendalikan oleh undang-undang Persekutuan Malaysia, di mana umat Islam adalah lebih 60 peratus daripada jumlah penduduk seramai 30 juta orang.
Para pengkritik memberi amaran bahawa penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam di peringkat negeri akan menyebabkan negara terpisah mengikut garis agama dan etnik.
Pada masa itu, PAS merupakan ahli pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat, tetapi pendirian tegas terhadap isu hudud menyebabkan pakatan itu berpecah pada Jun 2015.
PAS juga mencadangkan rang undang-undang Parlimen yang kontroversi pada Mei 2016 bagi memperkasakan mahkamah-mahkamah Syariah di negara itu dengan membolehkan ia meningkatkan hukuman jenayah sedia. Rang undang-undang itu mendapat sokongan awal parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib, tetapi dikritik oleh para penyokong hak asasi manusia kerana ia berpotensi melanggar Perlembagaan sekular negara.
"PAS hanya akan bersama-sama dengan mereka yang menyokong Islam," kata Hadi kepada para penyokongnya di Pulau Pinang pada Ahad. "Mengapa PAS keluar Pakatan Harapan? Kerana mereka menolak Syariat Islam. "
Pakatan pembangkang utama Malaysia kini dikenali sebagai Pakatan Harapan. Tetapi, kerana Pendaftar Pertubuhan Malaysia baru-baru ini menolak permohonannya untuk didaftarkan sebagai sebuah pakatan parti selain pendaftaran parti Mahathir dibatalkan, kesemua parti pakatan itu sepakat untuk bertanding dalam pilihan raya umum dengan menggunakan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR). Parti itu dipimpin oleh pemimpin pembangkang de facto yang sedang dipenjarakan, Anwar Ibrahim.
Dalam wawancara itu, Hadi juga menafikan dakwaan bahawa partinya menerima sumbangan RM90 juta (AS$23.1 juta) daripada parti Najib.
“[Ia] adalah satu pembohongan. Bagaimana BN boleh menderma RM90 juta kepada PAS, parti yang tidak akan bersama mereka dalam pilihan raya akan datang? "kata Hadi kepada BeritaBenar.
Semasa berucap di Pulau Pinang sehari sebelum itu, Presiden PAS mengecam negarawan Malaysia, Mahathir, yang berusia 92 tahun, dan menyarankan bekas perdana menteri itu yang dilatih sebagai doktor profesional supaya bersara daripada politik dan kembali berkhidmat dalam bidang perubatan.
Pada Selasa, Mahathir membalas kecaman itu dengan berkata bahawa Hadi "tidak tahu apa-apa pun tentang politik," menurut laporan berita Malaysia.
"Hadi tidak sepatutnya menyertai politik. Beliau harus menjadi ustaz, mengajar di kampung-kampung. [Ini] sesuai dengannya, "lapor The New Straits Times yang memetik Mahathir sebagai memberitahu para pemberita.