Keluarga Paderi Pertimbang Tinggalkan Malaysia Sebelum Penculikannya

Hadi Azmi
2017.10.20
171020-MALAYSIA-pastor-620.jpg Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di Kuala Lumpur telah menjalankan satu siasatan awam berhubung kehilangan empat individu, 20 Okt 2017
[HadiAzmi/BeritaBenar]

Keluarga seorang paderi Kristian yang diculik lapan bulan lalu hidup dalam ketakutan sehingga mereka menimbangkan untuk berpindah ke Australia, namun beliau memutuskan untuk terus tinggal di Malaysia, isterinya memberitahu satu panel pencarian fakta pada Jumaat dalam nada sebak.

Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62, telah diculik sekumpulan lelaki pada siang hari iaitu pagi 13 Feb selepas mereka memaksa beliau menghentikan keretanya ketika keluar dari lebuh raya di Petaling Jaya berhampiran Kuala Lumpur. Koh, anggota minoriti Kristian di Malaysia, telah didapati hilang selepas itu.

Isterinya, Susanna Liew, berkata keluarga mereka tinggal dalam ketakutan berikutan ancaman mati yang diterima sejak 2011, apabila sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Koh dituduh cuba mengkristiankan belia Islam, satu tindakan yang dianggap menyalahi undang-undang di Malaysia. Masalah mereka bermula apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis makan malam kesyukuran yang dihoskan Koh serta dihadiri orang Islam.

“Saya berfikir untuk berpindah ke Australia tetapi suami saya sayangkan negara ini. Dia hendak tinggal di Malaysia,” kata Liew kepada panel tiga anggota yang dilantik oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), sebuah badan kerajaan.

Suasana misteri yang menyelubungi kehilangan Koh mendapat liputan meluas media sehingga membawa kepada penemuan beberapa lagi kes yang disebut sebagai kehilangan paksa, istilah yang digunakan bagi menggambarkan penculikan membabitkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang.

Publisiti itu telah menyebabkan Persatuan Peguam Malaysia, kumpulan mewakili peguam yang paling dihormati di negara ini, mengeluarkan satu kenyataan keras pada April mendesak pihak berkuasa menyiasat kes-kes itu dengan teliti.

“Adalah sesuatu yang memeranjatkan dan keterlaluan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia boleh hilang tanpa penjelasan dan tidak dapat ditemui selepas berhari-hari, berminggu-minggu dan berbulan-bulan. Ini tidak pernah berlaku di negara ini, sepanjang pengetahuan kita, dan telah menimbulkan persepsi umum serta spekulasi mengenai kehilangan paksa,” kata persatuan tersebut ketika itu.

Panel yang dilantik Suhakam itu sedang menyiasat dakwaan bahawa Koh dan tiga individu lain menjadi mangsa kehilangan paksa yang dikatakan. Minggu ini, panel itu telah memulakan prosiding inkuiri awam selama 10 bagi bagi kes-kes terbabit.

Pada Khamis, hari pertama pendengaran, pengerusinya, Mah Weng Kwai telah menegaskan bahawa panel siasatan itu bukanlah satu perbicaraan jenayah atau sivil.
“Matlamatnya adalah untuk mencari kebenaran dan keadilan,” kata Mah kepada anggota lain panel itu.

Diculik pada siang hari

Para pegawai polis telah mengesahkan bahawa Koh telah diculik, tetapi mereka dengan berhati-hati menggunakan istilah “orang hilang” untuk mengklasifikasi kes-kes lain yang berlaku berasingan pada 2016.

Penculikan Koh dirakam oleh sebuah kamera keselamatan yang mendedahkan beberapa buah kenderaan SUV dan motosikal mengelilingi kereta mangsa dan memaksanya berhenti sebelum dilarikan. Kereta Koh masih belum ditemui.

Koh memimpin sebuah NGO berpangkalan di Kuala Lumpur, dikenali sebagai Harapan Komuniti, yang melakukan kerja-kerja kebajikan untuk komuniti miskin.
Pada 2011, pihak berkuasa Islam telah menyiasat NGO Koh berhubung dakwaan bahawa ia telah menganjurkan satu majlis makan malam kesyukuran yang dihadiri orang Islam di gereja, menurut laporan akhbar.

Siasatan itu susulan dakwaan yang telah diterbitkan bahawa beliau cuba mengkristian belia Islam apabila kumpulannya menganjurkan satu majlis di sebuah gereja dalam negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan murtad adalah satu kesalahan jenayah.  

Bagaimanapun, pada Jumaat, isteri Koh berkata mangsa berulang kali mengingatkan para sukarelawan NGOnya agar menahan diri daripada menyampaikan sebarang khutbah yang menyentuh agama.

“Raymond secara khusus memberitahu para sukarelawan ketika orientasi mereka agar tidak berkhutbah atau bercakap soal agama,” katanya ketika disoal sama ada NGO itu mempunyai niat untuk menyebarkan atau berkhutbah mengenai agama Kristian.

“Amaran ini diberikan secara lisan dan semua aktiviti di situ adalah inklusif serta membabitkan semua kaum, dan tidak ada niat untuk berkhutbah mengenai mana-mana agama,” kata Liew.

NGO itu menjalankan pelbagai program bagi membantu banduan dan individu yang dijangkiti HIV/AIDS tanpa mengira latar belakang agama mereka, katanya.

‘Mereka tanya jika terdapat orang Islam’

Liew, 61, berkata beliau berada di majlis makan malam kesyukuran itu bersama-sama suaminya pada Ogos 2011 ketika kira-kira 50 pegawai penguatkuasaan undang-undang, termasuk pihak berkuasa agama, memasuki gereja terbabit.

“Kami ada bertanyakan waran tetapi mereka kata mereka tidak memerlukannya kerana ada aduan,” katanya. “Mereka hanya meluru masuk ke satu majlis peribadi tanpa kebenaran dan memulakan rakaman.”

Liew berkata seorang pegawai JAIS memaklumkan beliau bahawa mereka telah menerima aduan mengenai kehadiran orang Islam pada majlis itu.

“Mereka tanya jika terdapat orang Islam, dan ya, memang ada kerana mereka adalah orang yang mempunyai kepentingan serta penyokong, orang yang kami bantu, sukarelawan dan penyumbang lain,” katanya.

Selepas serbuan itu, 12 penganut Islam diarah hadir ke pejabat JAIS untuk disoal siasat, kata Liew kepada panel yang diketuai Mah Weng Kwai, yang bersidang bersama-sama pesuruhjaya Aishah Bidin dan pesuruhjaya Nik Salida Suhaila.

Insiden itu, menurut Liew, telah membawa publisiti negatif terhadap keluarganya dan ancaman maut.

“Ada orang telah mengambil gambar kami seperti paparazzi dan mereka akan menaiki kereta dan mula mengekori kami,” katanya.

Pada 26 Ogos 2011, Koh telah membuat laporan polis selepas menerima satu bungkusan dengan dua butir peluru dalam sebuah kotak kecil yang turut memuatkan kertas yang mengandungi ancaman maut dan ditulis menggunakan dakwat merah,” katanya.

Beberapa posting di blog mendakwa pasangan itu sebelum ini beragama Islam sebelum menganut agama Kristian dan mereka telah mengkristian orang lain.

Susanna memaklumkan inkuiri itu bahawa beliau amat takut dan menggesa suaminya untuk meninggalkan negara ini.

“Gambar-Gambar saya dan suami, rumah serta alamat kami semuanya telah dimuat naik di Internet dengan pesanan kepada orang ramai agar mengambil tindakan terhadap kami,” katanya.

Kes-Kes lain

Kehilangan Koh pada mulanya kelihatan seperti kes penculikan terpencil, namun apabila kes itu semakin mendapat publisiti, lebih banyak laporan mengenai kehilangan rakyat Malaysia timbul, termasuk kes aktivis sosial Amri Che Mat, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya, Ruth Sitepu.    

Amir, pengasas bersama sebuah NGO tempatan, telah didakwa diculik dari keretanya pada 24 Nov 2016 di Perlis, sebuah negeri di bahagian utara. Isterinya telah menafikan bahawa beliau menyebarkan ajaran Syiah, yang tidak begitu disukai dalam negara yang majoriti penduduk Islamnya berfahaman Sunnah.

Hilmi dan Ruth, kedua-duanya pengkhutbah Kristian, dilihat buat kali terakhir pada 30 Nov di rumah mereka dalam negeri Selangor. Satu laporan orang hilang, bagaimanapun tidak dibuat sehingga 6 Mac, kata para pegawai.

Panel itu telah mensapina sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, dan menyoal siasat 35 yang lain.

Saksi pertama inkuiri awam 10 hari itu, yang bermula pada Khamis, berkata seorang pegawai polis berpangkat Inspektor telah memaklumkan beliau bahawa penculikan Koh berlaku dengan begitu pantas dan kelihatan seperti satu operasi polis.

Penculikan Koh berlaku kurang daripada seminit dan disaksikan beberapa pemandu lain yang kemudian membuat laporan polis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.