Hilang: Isteri Paderi Koh Saman Polis Untuk Ketahui Kebenaran
2020.02.12
Kuala Lumpur, Malaysia
Isteri paderi minoriti Kristian Malaysia yang hilang dalam kes penculikan berprofil tinggi tiga tahun lepas, pada Rabu memberitahu yang beliau dan keluarganya telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap kerajaan dan polis persekutuan dalam usaha untuk mengetahui apa kesudahan terhadap kes kehilangan tersebut.
Susanna Liew menamakan dua bekas ketua polis negara, Mohamad Fuzi Harun dan Khalid Abu Bakar bersama dengan beberapa yang lain, dalam saman sivil yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.
Suaminya, Raymond Koh, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng hitam yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan [SUV] bersama sebuah motosikal pada siang hari di sebuah lebuh raya di Petaling Jaya berdekatan Kuala Lumpur pada 13 Februari 2017.
Membaca dari salinan dokumen undang-undang, Liew berkata saman itu adalah kerana pelanggaran perlembagaan dan hak berkanun atas penculikan Koh, kegagalan menyatakan atau mendedahkan di mana beliau, kesalahfahaman di pejabat awam, konspirasi untuk mencederakan dan kecuaian.
Tuntutan itu bagaimanapun tidak menyatakan kerosakan yang mahu dituntut, katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis makan malam mengingati kehilangan Koh yang sudah masuk tahun ketiga pada Rabu.
Kemudian, beliau memberitahu BeritaBenar keluarganya berharap tuntutan itu akan membawa kepada satu jawapan dan penutupan terhadap kes kehilangan tersebut.
"Kami sangat berharap dengan memfailkan saman sivil, ianya dapat membantu untuk membongkar kebenaran mengenai penculikan itu," katanya dalam satu hantaran pesanan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), membuat kesimpulan pada April 2019 bahawa Koh telah menjadi mangsa penculikan oleh ejen-ejen negeri, termasuk yang dikaitkan dengan Cawangan Khas yang berpusat di ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman.
Liew berkata beliau telah kehabisan pilihan untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada 2017.
"Kami tidak mempunyai pilihan, tetapi beralih kepada usaha terakhir dalam mencari keadilan dan kebenaran – melalui badan kehakiman kita. Hanya masa yang akan memberitahu sama ada kebenaran akan diperolehi dan semua mereka yang melakukan perbuatan ganas terhadap seorang warganegara Malaysia akan dipertanggungjawabkan terhadap perbuatan yang menyalahi undang-undang," kata Liew kepada wartawan.
Peguam yang mewakili Liew, Jerald Gomez berkata pelanggannya tidak membuat sebarang permintaan ganti rugi yang perlu dibayar sekiranya memenangi tuntutan mahkamah tersebut, sebaliknya hanya menyerahkan mahkamah untuk membuat keputusan.
"Dalam kes sivil, kami menuntut ganti rugi am. Saya tahu ada amalan meletakkan angka, tetapi itu tidak digalakkan oleh mahkamah kerana itu akan mensensasikan kes berkenaan, dan akhirnya kita tidak mendapat sebarang angka," katanya.
"Jadi, biarlah mahkamah yang akan menentukan berapa jumlah pampasan yang perlu dibayar," kata Gomez.
Fuzi dan Khalid tidak menjawab permintaan BeritaBenar untuk ulasan mengenai saman tersebut.
Antara mereka yang turut dinamakan dalam saman Liew itu adalah pegawai yang sedang bertugas dan juga telah bersara daripada perkhidmantan termasuk Awaludin Jadid (Ketua bahagian Extremism Sosial Cawangan Khas), Huzir Mohamed (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah), dan Fadzil Ahmat (Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor), demikian menurut laporan media tempatan.
Pegawai polis lain yang dinamakan adalah Supari Ahmad, Khor Yi Shuen, Hazril Kamis, Mohamad Shamzaini Mohd Daud, dan Saiful Bahari Abdul Aziz.
Saman pertama Liew dalam kes itu berlaku kira-kira dua bulan selepas satu pasukan khas yang ditubuhkan pada Jun 2019 gagal mengeluarkan laporan pada akhir siasatan terhadap
kehilangan suaminya itu.
Kerajaan telah melanti enam anggota pasukan petugas khas yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Rahim Uda untuk menyiasat dan mengenal pasti sama ada ejen kerajaan terlibat dalam kehilangan paderi Kristian dan aktivis syiah pada 2017 dan 2016.
Panel berkenaan bertanggungjawab dalam meneliti hasil laporan Suhakam bahawa "berdasarkan keimbangan kebarangkalian", kehilangan secara paksa Paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat dilakukan oleh pegawai polis.
Pasukan petugas itu mempunyai tempoh enam bulan tetapi memohon lanjutan dari Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan siasatannya.