Hampir AS$29 Juta Wang Tunai Dirampas Dari Hartanah Punya Kaitan Dengan Najib
2018.05.25
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis Malaysia berkata, mereka menemukan wang tunai hampir AS$29 juta dalam beg-beg pakaian yang dirampas semasa serbuan minggu lepas di beberapa kediaman di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Penggeledahan di sekurang-kurangnya enam hartanah yang mempunyai kaitan dengan keluarga Najib di dalam dan di sekitar ibu negara Malaysia dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas skandal kewangan besar-besaran berhubung dana negara yang dikenali sebagai 1MDB, kata para pegawai pada ketika itu.
Pada Jumaat juga, menteri kewangan yang baru berkata, beliau telah mengarahkan para pegawai percukaian negara supaya menyiasat sama ada hartawan Malaysia Low Taek Jho – yang lebih dikenali sebagai Jho Low - memegang aset atau keuntungan yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib, bekas Perdana Menteri yang parti pimpinannya tewas dalam pilihan raya umum pada 9 Mei, menafikan dakwaan bahawa beliau mengambil wang daripada 1MDB.
Sejumlah besar wang tunai dalam 26 matawang itu telah dijumpai dalam 35 beg pakaian yang dirampas dari sebuah unit yang tidak didiami di Pavilion Residences, bangunan kondominium mewah di Kuala Lumpur, semasa serbuan dilakukan pada 18 Mei, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis (JSJK) DiRaja Malaysia kepada pemberita di ibu pejabat JSJK pada Jumaat.
"Saya boleh mengesahkan bahawa sejak 21 Mei hingga 23 Mei 2018, dengan bantuan 21 pegawai dari Bank Negara (Bank Negara Malaysia) dan seorang pegawai dari Bank Islam, kami mengira wang yang terdapat di dalam 35 beg daripada 72 beg yang ada," kata Pengarah JSJK Amar Singh Ishar Singh.
Sebahagian besar wang tunai itu adalah dalam matawang Ringgit Malaysia (RM) dan dolar Singapura.
"Jumlahnya setakat semalam, 24 Mei, ialah RM114 juta [AS$28.75 juta], "kata Amar Singh.
Beg-beg lain yang dirampas pula mengandungi barang kemas dan jam tangan mewah, dengan polis merancang untuk mengesahkannya dengan bantuan pakar mulai Isnin, kata Amar Singh.
Dalam serbuan selama 28 jam di Pavilion Residences, pegawai JSJK turut merampas 284 kotak berisi beg tangan mewah, yang kebanyakannya berjenama Hermes Birkin, kata pegawai kanan polis itu.
"Kami telah mengadakan perbincangan dengan Hermes, dan kami akan mengambil gambar dan menghantarnya ke Paris untuk mengesahkan kesahihan dan nilainya," kata beliau.
'Apakah anak perempuan saya tidak berhak menerima hadiah perkahwinan?'
Serbuan pada 18 Mei menyasarkan tiga unit kediaman dalam bangunan kondominium itu, dengan dua daripadanya diduduki oleh anak lelaki dan anak perempuan Najib, Norashman dan Nooryana. Polis menemukan 72 beg pakaian dan 284 kotak di unit ketiga yang tidak didiami, kata para pegawai.
Serbuan itu adalah antara penggeledahan dengan waran yang dilakukan oleh pihak polis di pelbagai lokasi, termasuk di pejabat yang pernah digunakan Najib semasa menjadi perdana menteri dan kediaman utamanya, kata Amar Singh. Tetapi beliau enggan mendedahkan nama pemilik tiga unit kondominium tersebut.
Najib telah mengkritik bahawa serbuan polis di kediaman anak-anaknya adalah salah. Barang-barang mewah berkenaan merupakan hadiah daripada rakan-rakannya manakala berpaket-paket wang tunai itu merupakan sumbangan untuk kempen pilihan raya Barisan Nasional, lapor media yang memetiknya sebagai berkata.
Semasa penggeledahan dilakukan di unit kediaman anak perempuan Najib, polis berkata, mereka telah merampas 150 beg tangan mewah lagi. Mereka juga merampas jam tangan mewah dan sekurang-kurangnya 50 lagi beg tangan serta RM500,000 (AS$125,620) dalam bentuk tunai semasa menggeledah kediaman utama Najib.
"Apa kaitan 1MDB dengan hadiah perkahwinan?"kata Najib pada Ahad ketika berucap kepada para penyokongnya di Pekan, kawasan Parlimen beliau, yang merujuk kepada barangan yang dirampas dari kediaman anak perempuannya, termasuk hadiah perkahwinan dan kasut bayi cucunya.
"Apakah anak perempuan saya tidak berhak menerima hadiah perkahwinan? Dia berkahwin dengan seseorang yang mampu membelinya di Kazakhstan, "kata bekas PM itu.
Anak perempuan Najib berkahwin dengan Daniyar Kessikbayev, anak saudara presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.
"Jika mereka mahu mengambil barangan itu, mereka mesti mempunyai bukti. Harus ada kes prima facie terhadap saya bahawa barangan itu diperoleh secara haram, "kata Najib kepada penyokongnya itu.
"Rakyat Pekan tahu saya. Saya bukannya pencuri. Saya bukan penyangak, "katanya. "Untuk menjatuhkan parti, mereka terpaksa menyasarkan presiden. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk memusnahkan nama saya."
Polis berkata wang tunai yang dirampas itu disimpan di Bank Negara manakala semua barang kemas dan barangan mewah yang dirampas pula disimpan di ibu pejabat polis di Bukit Aman.
Selain itu, polis berkata, mereka memegang dokumen yang berkaitan dengan 1MDB yang turut dirampas semasa penggeledahan dilakukan di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia.
UMNO mahu wangnya kembali
Selepas Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum dua minggu lalu, Najib dan isterinya dihalang daripada meninggalkan Malaysia ketika kerajaan baru melancarkan siasatan ke atas skandal rasuah 1MDB. Beliau juga telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Barisan Nasional dan presiden parti utamanya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Pada Khamis, UMNO, yang menguasai politik Malaysia selama 61 tahun sehingga kekalahannya pada 9 Mei, mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa wang yang dirampas oleh polis semasa serbuan di hartanah yang mempunyai kaitan dengan Najib sebenarnya adalah wang parti itu.
Sebagai presiden UMNO, Najib bertanggungjawab untuk mendapatkan dan menguruskan dana tersebut, termasuk wang yang sepatutnya digunakan untuk pilihan raya umum, kata kenyataan itu.
UMNO meminta pihak polis untuk mengembalikan wang itu.
"Adalah sedih untuk menyatakan bahawa baki dana kempen dan dana parti telah dirampas oleh polis ketika dalam proses untuk memindahkannya kepada kepemimpinan baru UMNO selepas peletakan jawatan Najib sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN," kata parti itu.
"UMNO sedang dalam proses membina semula parti dan dana parti yang dikembalikan itu boleh membantu dalam proses itu," kata kenyataan itu.
Arahan Siasat Jho Low
Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu tweet pada Jumaat berkata bahawa beliau telah mengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri "untuk menyiasat Jho Low dan keluarganya berhubung dengan mana-mana pulangan [cukai] atau apa-apa yang diterima dalam skandal 1MDB."
Jho Low menjadi tumpuan siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS berhubung dakwaan pengubahan wang yang dikatakan berbilion ringgit yang dikatakan diselewengkan daripada 1MDB dan digunakan untuk membeli hartanah serta karya seni berharga tinggi selain barangan berharga yang lain.
DOJ berusaha merampas kapal layar bernilai $250 juta, yang dikatakan dibeli oleh Jho Low dengan wang 1MDB yang telah diubah. Tetapi bulan lalu, seorang hakim Indonesia bersetuju untuk melepaskan kapal itu, Equanimity, daripada ditahan selepas polis Indonesia dan ejen FBI merampasnya pada akhir Februari di luar perairan Bali.
Jho Low menafikan sebarang perbuatan jenayah dalam urusan 1MDB, tetapi beliau tidak diketahui berada di mana.
Jabatan Kehakiman AS menyifatkan hal ehwal 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama," dengan menyatakan bahawa lebih daripada AS $4.5 bilion telah dicuri dari dana itu sejak penubuhannya.
Apabila pendakwa AS memfailkan kes saman bagi melucutkan hak sivil yang berkaitan dengan 1MDB pada Julai 2016, mereka menyifatkan berlakunya tahap penipuan yang amat besar di mana lebih daripada $730 juta daripada apa yang dianggap sebagai wang 1MDB telah dialihkan dalam siri transaksi penuh rumit sebelum akhirnya dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi "Pegawai Malaysia 1," yang merupakan rujukan kepada Najib.
Najib menafikan sebarang salah laku jenayah dan berkata, wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya adalah derma daripada putera Arab Saudi.