Ketua Polis Negara Ramal Selangor Negeri Paling ‘Panas’ Pada PRU14

Hadi Azmi
2018.04.24
Kuala Lumpur
180424-MY-FUZI620.jpg Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun (tengah) diapit Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor (kiri) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Amar Singh pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, 24 April 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia berkata Selangor adalah negeri yang dilihat memiliki beberapa kawasan paling 'panas' pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), dengan Polis Diraja Malaysia [PDRM] mengambil keputusan menempatkan lebih 15,000 anggotanya bagi memastikan keadaan terkawal.

Angka tersebut adalah sebahagian daripada  jumlah keseluruhan 70,000 anggota PDRM pelbagai peringkat yang bakal ditugaskan menjaga keamanan dan keselamatan sepanjang proses PRU 14 di seluruh negara. Angka berkenaan adalah 69 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota PDRM yang kini mencecah 130,401 orang.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata keutamaan kawalan keselamatan akan diberi kepada Selangor kerana negeri itu memiliki bilangan pengundi paling ramai di Malaysia.

“Terdapat kira-kira 4.8 juta pengundi di sejumlah 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri,”  kata Mohamad Fuzi sambil menambah “komposisi pengundi [di Selangor] adalah yang tertinggi di Malaysia.”

Lebih 14,000 daripada 15,000 anggota polis bakal membabitkan anggota berpangkat rendah manakala sejumlah 1,100 lagi merupakan pegawai semua peringkat kontinjen dari seluruh negara.
Pihak berkuasa Malaysia juga telah mengenal pasti sejumlah 116 kawasan ‘panas’ di Semenanjung Malaysia dengan 33 lagi di Sabah dan Sarawak di mana persaingan sengit dijangka berlaku berdasarkan kepada sentimen pengundi.

Bagi mendepani sebarang kemungkinan, polis kontinjen Selangor telah bersiap siaga dengan pasukan tempur khasnya.

Antara yang bakal terlibat ialah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Antirusuhan (PORU) dan Pasukan Bertindak Ringan (LSF).

Bercakap kepada BeritaBenar, Mohamad Fuzi berkata pihak polis telah melakukan tangkapan pencegahan lebih awal dari tarikh pilihan raya.

“Setakat ini tiada tangkapan baharu kecuali kalau keadaan mendesak… kita akan mengambil langkah proaktif bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku, ” kata Mohamad Fuzi yang enggan mendedahkan jumlah dan skop tangkapan sedia ada.

Ketua Polis Negara itu juga berkata polis kini aktif memantau individu yang disyaki berpotensi melakukan kekacauan sepanjang proses pilihan raya.

“Ada penambahan sembilan ke sepuluh individu yang kita syaki berdasarkan risikan yang diterima di negeri-negeri.”

Polis sebelum ini telah mengenal pasti sejumlah 1,131 individu yang disyaki berpotensi melakukan kekacauan pada PRU 14.

Antara yang terdapat dalam senarai ialah beberapa badan bukan kerajaan, kumpulan kongsi gelap, gengster dan mereka yang diklasifikasikan polis terlibat dalam jenayah samseng.

“Ini ialah (angka) di seluruh Malaysia, bukan di Selangor sahaja. Jika mereka pilih untuk membuat kacau, kita akan mengambil tindakan serta-merta,” kata Mohamad Fuzi.

Beliau turut mengingatkan semua Ketua Polis Daerah untuk tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan menjalankan tugas secara adil dan telus.

Elaun Khas Polis


Kerajaan Malaysia juga baru-baru ini telah mengumumkan pembayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus yang membabitkan elaun tugasan kepada pegawai dan anggota polis yang berkhidmat pada PRU 14.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara itu berkata elaun tersebut diberikan untuk kegunaan anggota keluarga mereka yang terlibat, dan pengumuman itu dibuat dalam sesi lawatan Kementerian Dalam Negeri ke Maktab PDRM Cheras, Kuala Lumpur bulan lepas.

Ahmad Zahid turut mengingatkan pihak polis supaya tidak melakukan sebarang kekerasan serta provokasi semasa menjalankan tugas.

“Kita harus lakukan pertemuan dengan individu-individu parti politik berbeza dan jangan berkompromi terhadap keselamatan serta ketenteraman awam yang tinggi harganya,” kata beliau.

Lebih 15 juta rakyat Malaysia berdaftar sebagai pengundi dan dijadualkan membuang undi pada hari pengundian PRU14 pada 9 Mei depan.

Penganalisis politik menjangkakan Barisan Nasional akan terus menguasai Putrajaya meskipun bakal kehilangan majoriti undi popular kepada blok parti pembangkang di bawah pimpinan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.