Thailand, pemberontak BRN bincang redakan ketegangan menjelang Ramadan, Songkran
2024.02.07
Kuala Lumpur
Perunding kerajaan Thailand dan pemberontak selatan negara itu bersetuju mengadakan mesyuarat pada akhir bulan ini dan Mac untuk membincangkan pelan hala tuju damai yang "ditambah baik" serta gencatan senjata semasa Ramadan dan Songkran, kata fasilitator Malaysia pada Rabu selepas berakhirnya rundingan dua hari mereka di Kuala Lumpur.
Tiada pencapaian besar yang terhasil daripada rundingan pertama dalam masa setahun ini di antara Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak utama di Selatan Thailand, dan kerajaan pertama Thailand yang diketuai oleh orang awam sejak hampir sedekad lalu. Tetapi para perunding dan pemerhati menyifatkan pertemuan itu menampilkan langkah positif berbanding mesyuarat-mesyuarat sebelumnya.
Mengulangi perbincangan daripada pertemuan terakhir mereka pada 12 bulan yang lalu, panel Thailand dan BRN bersetuju untuk mencari pemuafakatan bagi tiga isu utama – perundingan awam, pengurangan keganasan dan penyelesaian politik – yang bertujuan menamatkan konflik puak pemisah di Selatan Thailand yang mempunyai ramai pejuang bersenjata terutamanya di wilayah sempadan yang diduduki Melayu Islam itu.
"Secara ringkasnya, kedua-dua pihak sangat gembira dengan hasil dialog ini," kata Zulkifli Zainal Abidin, fasilitator Malaysia bagi rundingan itu, kepada media selepas berakhirnya rundingan tersebut. “Anda sedia maklum, sejak setahun lalu, dialog ini terhenti, bukan kerana mana-mana pihak tetapi kerana keadaan di mana Thailand mengadakan pilihan raya umum.
“Panel rundingan damai telah membentangkan versi Pelan Komprehensif Bersama ke arah Keamanan [JCPP] yang dikemas kini dan ditambah baik tetapi terdapat beberapa cadangan tambahan yang dikemukakan oleh BRN untuk menjamin ketelusan, yang menghasilkan situasi memanfaatkan kedua-dua pihak pada penghujung rundingan itu,” kata Zulkifli.
Delegasi Thailand - kini diketuai oleh orang awam - berikrar untuk meredakan ketegangan dengan mengurangkan pusat pemeriksaan keselamatan dan mengurangkan serbuan di wilayah selatan semasa perayaan Ramadan dan Songkran.
Lt. Jeneral Pramote Prom-in, timbalan komander tentera wilayah selatan dan anggota delegasi Thailand, berkata kerajaan bercadang untuk membenarkan wilayah di selatan lebih mudah dikunjungi.
Ia juga merancang untuk menarik balik poster individu yang dikehendaki berhampiran pusat pemeriksaan dan mengurangkan penempatan pihak berkuasa di kawasan-kawasan bagi menangani aktiviti yang disyaki berkaitan pemberontak.
“[Kerajaan] Thailand bersedia untuk mengurangkan bilangan pusat pemeriksaan keselamatan di wilayah bergolak di Selatan Thailand – Narathiwat, Pattani, Yala dan sebahagian Songkhla – untuk memudahkan pergerakan orang ramai sepanjang Ramadan dan Songkran,” kata Pramote, yang mengetuai pasukan teknikal yang mewakili Thailand.
Ramadan, yang merupakan bulan umat Islam menjalani ibadah berpuasa, bermula pada 10 Mac. Songkran pula adalah cuti kebangsaan selama tiga hari sempena Tahun Baharu Thai dan ia bermula pada 13 April.
"Sebaik-baiknya ia akan bermula seminggu sebelum Ramadan dan berlangsung sehingga akhir April," kata Pramote kepada BenarNews.
“Tetapi ini juga bergantung kepada BRN dalam mengurangkan keganasan di kawasan itu. Kunci kejayaan ialah kesediaan untuk bekerjasama.”
'Momentum untuk keamanan'
Selepas mesyuarat terakhir delegasi penuh berlangsung di Kuala Lumpur pada Februari 2023, perunding yang mewakili BRN menangguh perbincangan dengan menyatakan mereka mahu menunggu sehingga selepas pilihan raya umum Thailand diselesaikan pada tahun itu sebelum kembali ke meja rundingan.
Kebuntuan politik selepas pilihan raya umum pada Mei berlarutan kira-kira tiga bulan sebelum Srettha Thavisin dilantik sebagai perdana menteri dan parti Pheu Thainya berkuasa menjadi kerajaan.
Pada November, Srettha melantik Chatchai Bangchuad menggantikan Jeneral Wanlop Rugsanaoh sebagai ketua perunding Thailand dalam rundingan damai itu. Sebelum itu, Chatchai berkhidmat sebagai timbalan Wanlop dalam panel keamanan Thailand.
Pada Rabu, ketua pasukan pemberontak Anas Abdulrahman dan enam anggota perwakilannya berkata mereka bersetuju menggunakan pelan komprehensif bersama itu, yang juga dikenali sebagai rangka tindakan bagi membawa keamanan ke wilayah Selatan itu.
"Dalam dua hari ini, kami memberi tumpuan terutamanya untuk mencari hala tuju proses rundingan," kata Anas, yang memakai pakaian tradisional Melayu Muslim, kepada pemberita selepas mesyuarat itu.
"Kami berharap perubahan dalam kerajaan Thailand, yang dikatakan ke arah demokrasi, akan menjadi momentum untuk keamanan dalam masyarakat Melayu Patani dan menyumbang kepada menyelesaikan konflik yang berpanjangan di Patani," kata Anas, merujuk kepada Selatan Thailand.
Perunding dan delegasi yang mewakili pemberontak Barisan Revolusi Nasional termasuk pemimpinnya Anas Abdulrahman (tengah) menyertai sidang media di Kuala Lumpur selepas mengadakan pertemuan dua hari dengan kerajaan Thailand, 7 Feb. 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Anas menyatakan bahawa perbincangan yang dirancang untuk mesyuarat akan datang perlulah menumpukan kepada usaha mencapai keamanan "tulen, bermaruah, dan berkekalan".
Perunding itu bercadang untuk mengadakan mesyuarat teknikal pada akhir bulan ini dan pada Mac, walaupun tarikh sebenar belum disahkan.
"Perbincangan akan datang adalah mengenai tadbir urus di Patani, pengiktirafan identiti masyarakat, isu ekonomi dan pembangunan, hak asasi manusia, pendidikan, budaya dan sistem keselamatan Patani," kata Anas.
Sejak beberapa dekad lalu, BRN telah memperjuangkan kemerdekaan di wilayah sempadan Selatan Thailand yang kebanyakannya diduduki oleh Melayu yang beragama Islam.
Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh dan lebih 13,600 lagi cedera dalam keganasan di wilayah itu, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.
Kerajaan Thailand telah mengadakan rundingan terus dengan pemberontak BRN bermula pada 2020. Sebelum itu, perunding kerajaan mengadakan pertemuan dengan MARA Patani, panel induk yang mewakili pertubuhan dan puak pemberontak Selatan Thailand termasuk BRN.
Pelan hala tuju
Chatchai, ketua perunding baharu kerajaan, menegaskan bahawa pelan hala tuju itu akan diikuti sebagai panduan untuk mesyuarat akan datang.
“Bagi pemeteraian [rangka tindakan], kami perlu menilai hasil mesyuarat ini dan sama ada kedua-dua pihak berpuas hati dengan Pelan Komprehensif Bersama ke arah Keamanan sebelum menentukan masa yang sesuai untuk menandatanganinya,” kata beliau kepada pemberita.
Orang awam pertama yang mengetuai Thailand dalam rundingan damai itu, Chatchai juga berkhidmat sebagai timbalan setiausaha agung Majlis Keselamatan Negara dan telah terlibat dalam rundingan damai sejak sebelum Malaysia memulakan usaha menjadi pemudah cara pada 2013.
"Mungkin kerana saya orang awam, mereka berasa lebih selesa bercakap dengan saya tetapi, atau walaupun pada masa lalu kita mempunyai seorang anggota tentera sebagai ketua panel keamanan, mereka ini mengetahui proses damai dengan baik," katanya kepada BenarNews dalam satu temu bual.
Chatchai Bangchuad, orang awam pertama yang mengetuai Thailand dalam rundingan damai dengan pemberontak selatan BRN, semasa ditemu bual BenarNews di sebuah hotel di Kuala Lumpur, tempat pertemuan terbaharu kedua-dua pihak itu, 7 Feb. 2024. [S . Mahfuz/BenarNews]
Mohd. Mizan Mohammad Aslam, penganalisis keselamatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, berkata para perunding itu nampaknya sedang berusaha untuk membawa keamanan di wilayah tersebut.
“[Ia] menunjukkan bahawa kerajaan Thailand sangat serius dalam semua janjinya dan ini bermakna ia berada di landasan yang betul, terutamanya dalam mengurangkan serangan dan isu yang berkaitan dengan pemisah Thailand,” katanya kepada BenarNews.
Penganalisis itu berkata beliau berharap kurangnya kehadiran anggota tentera dan pasukan keselamatan di Selatan Thailand akan berterusan selepas berakhirnya Ramadan dan Songkran.
Mengenai BRN, Mohd Mizan berkata kesediaan perunding untuk mengambil bahagian dalam rundingan itu menunjukkan mereka serius dalam usaha mencapai kemerdekaan.
"Mungkin untuk mencapai kemerdekaan atau autonomi masih jauh, tetapi sekurang-kurangnya mereka telah mengambil langkah pertama untuk masa depan yang lebih baik."