Aktivis mahu Malaysia pisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya

Isu itu hangat diperkatakan selepas mahkamah menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri atas arahan Pendakwa Raya.
Minderjeet Kaur
2023.09.21
Kuala Lumpur
Aktivis mahu Malaysia pisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan dua mahkamah tertinggi di Malaysia, 12 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kumpulan masyarakat sivil dan peguam menggesa agar pemisahan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara dipercepat selepas pertuduhan rasuah terhadap timbalan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim digugurkan pada awal bulan ini.

Peguam Negara, yang memikul tanggungjawab untuk mempertahan kerajaan, tidak seharusnya memiliki kuasa untuk melakukan pendakwaan susulan wujudnya konflik kepentingan terutama jika seseorang pemimpin dalam kerajaan dibicarakan, kata mereka.

Sebagai contoh, kes timbalan kepada Anwar iaitu Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar.

Pada 4 Sept lepas, sebuah mahkamah di Malaysia menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid yang dikaitkan dengan penyelewengan berjuta-juta dolar milik yayasan kebajikan yang ditubuhkan beliau bagi membasmi kemiskinan.

Pendakwa Raya telah mengarahkan agar kesemua pertuduhan itu digugurkan atas alasan lebih banyak masa diperlukan untuk menyiasat kes itu. Perkara ini berlaku meskipun di peringkat awal kes itu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk perbicaraan.

Sebaik keputusan itu diumumkan, kritikan demi kritikan dilemparkan bagi menyelar tindakan pihak pendakwaan yang mendakwa terdapat campur tangan politik kerana Ahmad Zahid dan Ahli Parlimen daripada parti pimpinannya diperlukan dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kritikan terus meningkat apabila beberapa hari selepas Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan rasuah, mahkamah telah membebaskan seorang lagi Ahli Parlimen daripada parti sama atas pertuduhan serupa.

Mengapa dakwaan wujud campur tangan politik dibuat?

Ini kerana Peguam Negara yang dilantik oleh kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab mempertahankannya juga adalah pihak yang membuat keputusan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap seorang pemimpin dalam kerajaan, kata Thomas Fann, Pengerusi BERSIH, sebuah kumpulan yang memperjuangkan reformasi institusi dan pilihan raya.

“Persepsi ini (mengenai campur tangan politik) wujud kerana Peguam Negara dilantik atas nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada BenarNews.

“Berdasarkan fakta bahawa kerajaan pimpinan Anwar memerlukan sokongan Ahmad Zahid bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil, rasa syak wasangka orang awam ialah beliau telah membuat perjanjian dengan Ahmad Zahid untuk membebaskannya sebagai pertukaran bagi sokongan beliau."

Memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan menjadi kunci kepada penyingkiran syak wasangka ini, kata Fann.

“Ia akan memastikan bahawa keputusan pihak pendakwaan seperti menarik balik pertuduhan telah dibuat secara bebas tanpa sebarang pengaruh politik yang tidak sewajarnya,” katanya.

Bagi pihaknya, Anwar menafikan bahawa beliau telah campur tangan dalam kes Ahmad Zahid dan berkata hanya Peguam Negara yang mengendalikan kes itu.

“Ia seolah-olah seperti saya harus mengarahkan AG supaya meneruskan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri untuk diangkat sebagai seorang hero – tetapi saya tidak boleh melanggar Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya di Parlimen pada 19 Sept, menurut laman sesawang berita akhbar The Star.

Perkara yang dirujuk Anwar menyatakan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara untuk memulakan, meneruskan atau menghentikan prosiding bagi sebarang kesalahan.

Anwar juga berkata Peguam Negara ketika itu sudah bersara semasa pertuduhan terhadap Ahmad Zahid digugurkan dan beliau telah dilantik oleh kerajaan terdahulu dan beliau tidak menukar individu yang memegang jawatan itu selepas mengambil alih kuasa.

Jabatan Peguam Negara pula berkata hakim perbicaraan telah menyifatkan bahawa alasan pendakwaan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai 'kukuh.'

MY-politics-law-pic-2.JPG

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi melambai ke arah penyokong ketika meninggalkan kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mahkamah menggugurkan pertuduhan rasuah terhadapnya, 4 Sept 2023. [Hasnoor Hussain/Reuters]

Tidak ramai rakyat Malaysia yang sedar tentang pengaruh Perdana Menteri ke atas badan kehakiman dan peranan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya, kata Fann.

Sesetengah rakyat menyedarinya pada 2015 apabila Perdana Menteri ketika itu Najib Razak memecat individu yang menyandang jawatan Peguam Negara.

Najib memecat Peguam Negara Abdul Gani Patail pada 2015 dan telah menggantikan beliau dengan Apandi Ali. Abdul Gani sedang menyiasat peranan Najib dalam kes kecurian berbilion-bilion dolar dana pelaburan negara 1MDB.

Apandi enggan mendakwa Najib namun selepas kerajaan baharu dipilih pada 2018, ia telah melantik Peguam Negara baharu yang kemudian mendakwa beliau bagi kesalahan sama.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah dalam kes yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Keputusan berbeza kedua-dua Peguam Negara dengan jelas menunjukkan sikap berat sebelah, kata peguam merangkap penulis Charles C.J. Chow dalam kolum bagi sebuah akhbar tempatan Free Malaysia Today.

“Perbezaan yang begitu jelas dalam tindakan kedua-dua Peguam Negara menyarankan sekurang-kurangnya ketidakseragaman dalam proses membuat keputusan pendakwaan. Paling teruk ialah ia membayangkan sikap berat sebelah dan menggambarkan kelemahan besar dalam pentadbiran keadilan," katanya.

Hakim Mahkamah Rayuan yang sudah bersara Hishamudin Yunos berkata Malaysia sepatutnya mencontohi negara seperti India, Mauritius dan Ireland, di mana peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipegang oleh dua individu berbeza.

Di negara terbabit. Pendakwa Raya turut diberikan jaminan dari segi tempoh perkhidmatan yang melindungi mereka daripada pemecatan secara tiba-tiba oleh ketajaan yang berkuasa, katanya.

“Pelantikan Pendakwa Raya perlu diamanahkan kepada sebuah jawatankuasa bebas yang terdiri daripada hakim dan wakil Majlis Peguam Malaysia, iaitu antara pihak berkepentingan yang relevan,” kata Hishamudin kepada BenarNews.

“Individu yang dilantik hendaklah memiliki keberanian dan integriti yang tinggi bagi memerangi rasuah terutama dalam kalangan mereka yang berkedudukan tinggi dan meningkatkan persepsi orang awam terhadap badan kehakiman.”

Pelantikan Pendakwa Raya yang bebas juga boleh dilakukan oleh jawatankuasa khas pilihan Parlimen atau Dewan Negara bagi memastikan orang awam mempercayai proses itu, kata Yusmadi Yusoff, peguam kanan dan pengasas kumpulan keadilan sosial Rights Foundation.

“Dalam demokrasi yang matang, Peguam Negara adalah selari dengan kerajaan namun Pendakwa Raya haruslah benar-benar bebas,” katanya kepada BenarNews.

Anwar mengulangi komitmen beliau terhadap pembaharuan dalam institusi kehakiman susulan kritikan yang diterima berikutan keputusan membebaskan Ahmad Zahid daripada pertuduhan rasuah.

Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said memberitahu pemberita pada 12 Sept lepas bahawa kerajaan sedang meneliti untuk mempercepat reformasi institusi termasuk memisahkan kuasa Peguam Negara berhubung pendakwaan.

IDEAS, sebuah badan pemikir mengenai demokrasi dan hal ehwal ekonomi yang berpangkalan di Kuala Lumpur, telah menyatakan dalam kertas kerja pada 2016 bahawa pembaharuan ini akan menjadi satu langkah yang besar dalam usaha mengurangkan rasuah.

“Apabila peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya didefinisikan dengan jelas, dan berbekalkan perlindungan sewajarnya bagi memastikan komflik kepentingan diminimumkan, usaha memerangi rasuah di Malaysia akan dapat diperkasa,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.