Pelajar Malaysia mahu kembali tamat pengajian di Bangladesh
2024.07.29
Kuala Lumpur
Ibu bapa pelajar Malaysia berharap situasi rusuhan di Bangladesh akan reda bagi membolehkan anak-anak mereka dapat kembali untuk menamatkan pengajian masing-masing meskipun kerajaan telah memberi tawaran bagi meneruskan pelajaran di dalam negara.
Seorang bapa pelajar terbabit, Nubli Hashim, 61, berkata, beliau masih mahu anak perempuannya, Siti Naquiah, 29, yang merupakan pelajar perubatan di Universiti Pertanian Bangladesh (BAU) untuk menamatkan pengajian di Bangladesh.
"Saya akan memantau situasi dalam tempoh beberapa bulan lagi, paling lama enam bulan. Apabila situasi sudah terkawal, saya lebih suka dia kembali ke universiti untuk menamatkan pengajian tahun akhirnya.
“Anak saya hanya tinggal enam bulan saja lagi untuk menamatkan pengajian," katanya yang juga bekas panglima tentera kepada BenarNews pada Isnin.
Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir pada Ahad berkata para pelajar terbabit boleh menyambung pengajian di universiti tempatan atau kembali ke pusat pengajian masing-masing di Bangladesh apabila keadaan sudah selamat.
“Kita akan tengok dahulu bagaimana kedudukan mereka ketika ini, apa pilihan kalau mereka hendak sambung dalam negara. Kita kena tengok dari segi kelayakan, kedudukan mereka dan subjek yang ambil dan sebagainya.
“...tanpa menyusahkan mereka terlebih dahulu, kita mahu supaya mereka diberikan kaunseling atau berjumpa dengan pegawai-pegawai kementerian untuk mengetahui tentang kedudukan mereka,” kata Zambry sambil berkata terdapat kemungkinan pelajar terbabit mahu pulang semula ke Bangladesh setelah keadaan reda.
Beliau berkata kementerian telah mengadakan kerjasama dengan Wisma Putra bagi mengenal pasti pelajar Malaysia yang telah pulang ke tanah air dan mereka yang masih berada di sana.
"Pelajar yang masih kekal di sana telah membuat keputusan untuk meneruskan pengajian kerana buat masa ini mereka tidak terganggu dengan apa yang berlaku di Bangladesh ketika ini,” jelasnya.
Pada 23 Julai lalu, seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar dari Bangladesh yang menaiki penerbangan khas dari Dhaka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
Misi membawa pulang rakyat Malaysia itu dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara susulan protes berdarah di Bangladesh bermula bulan ini.
Rusuhan bermula pada 15 Julai lalu antara polis dan penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar yang menuntut penamatan kuota 30 peratus pekerjaan kerajaan untuk waris veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan 1971.
Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Asaduzzaman Khan pada Ahad berkata sekurang-kurangnya 147 orang terbunuh semasa keganasan, dalam angka pertama diterbitkan pihak kerajaan, lapor Al-Jazeera.
Sambung pengajian
Nubli berpendapat bagi pelajar yang masih baru memulakan pengajian mungkin boleh dicadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) campur tangan namun berbeza dengan anak perempuannya yang sudah di tahun akhir.
“Nanti silibus macam mana? Adakah universiti awam akan terima apa yang dia sudah belajar dan ijazah nanti siapa akan beri Bangladesh atau Malaysia? Perkara ini perlu dibincangkan antara universiti dengan universiti baru ibu bapa boleh buat keputusan," katanya yang membiayai sendiri kos pengajian anaknya.
Nubli berkata keadaan yang berlaku di Bangladesh tidak sama seperti terjadi di Mesir ketika kerajaan membawa pulang lebih 8,300 pelajar Malaysia melalui Op Piramid ketika berlaku Arab Spring pada 2011.
"Saya tidak mahu kaitkan keadaan di Mesir dengan Bangladesh, sebab rakyat yang berbeza dan sikap yang berbeza. Namun Bangladesh sebuah negara yang tidak dapat dijangka, macam-macam boleh terjadi, jadi tawakal saja, tidak lama saja nak habis (pengajian)," jelasnya.
Seorang lagi bapa pelajar, Abdul Halim Othman, 51, berkata anak perempuan yang merupakan penuntut tahun empat di Mymensingh Medical College (MMC) hanya tinggal baki setahun setengah hingga dua tahun lagi untuk menamatkan pengajian.
“Dikhuatiri kalau sambung di Malaysia, mungkin terpaksa bermula dari tahun yang lebih rendah, sedangkan sudah habiskan banyak masa untuk pembelajaran di sana.
"Dari sudut pelajar, mungkin kurang tekanan kerana sudah biasa suasana pengajian lebih tiga tahun di sana. Dari pengamatan saya, anak saya dan kawan-kawannya mungkin akan balik ke Bangladesh selepas situasi semakin baik.
"Apa pun, kami pihak ibu bapa sentiasa terbuka kepada perbincangan dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi, sekiranya terdapat peluang yang lebih baik bagi masa depan anak-anak kami belajar di dalam negara," katanya kepada BenarNews.
Sementara itu, pelajar tahun empat Mymensingh Medical College, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, 23, berkata beliau merancang untuk kembali menyambung pengajiannya setelah keadaan di Bangladesh kembali reda dalam tempoh dua bulan lagi.
“Tinggal setahun setengah, kalau sambung di Malaysia rasa rugi sebab risau bukan semua jam kredit boleh dipindahkan, subjek memang semua sama tapi pengurusan universiti di kedua-dua negara agak berbeza, ada yang belajar subjek tertentu pada tahun satu di Malaysia tapi kalau di Bangladesh belajar semasa tahun empat.
“Kami sudah biasa dengan budaya pembelajaran di sana, amali juga berbeza berbanding di Malaysia, contohnya akses kepada pesakit di Bangladesh, bagi pelajar macam kami lebih meluas.
“Harap situasi makin reda. Namun apa yang kerajaan cadangkan itu adalah suatu perkara yang baik dan boleh dipertimbangkan sekiranya tiada pilihan lain. Cuma harap proses pertukaran dapat dipermudahkan dan sesuai untuk kedua-dua pihak (pelajar dan universiti),” katanya kepada BenarNews.