Bekas pelajar saman guru kerana tidak hadir kelas
2022.09.26
Kuala Lumpur
Dalam satu kes luar biasa di sebuah daerah termiskin di Malaysia, empat bekas pelajar perempuan sebuah sekolah kerajaan telah memfailkan saman terhadap bekas guru Bahasa Inggeris mereka, pegawai pendidikan serta kerajaan atas dakwaan bahawa guru berkenaan telah tidak hadir untuk mengajar selama hampir setahun, iaitu semasa mereka masih bergelar pelajar sekolah.
Dua saman telah difailkan secara berasingan dengan mendakwa bahawa guru mereka tidak hadir mengajar selama tujuh bulan pada 2015 dan empat bulan pada 2017, sekaligus telah menafikan mereka dan pelajar miskin lain daripada akses terhadap pendidikan berkualiti.
"Pendidikan berkualiti adalah harapan kami untuk keluar daripada kemiskinan," kata Siti Nafirah Siman, salah seorang daripada pelajar yang memfailkan saman tersebut, dengan pendengaran kehakiman kes yang bermula pada 5 September masih berjalan.
Siti Nafirah serta tiga lagi bekas pelajar iaitu Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung telah gagal dalam peperiksaan mereka bagi kertas Bahasa Inggeris dan mereka percaya ia disebabkan ketidakhadiran guru berkenaan untuk mengajar mereka secukupnya.
Mereka sebelum ini telah membawa rasa tidak puas hati mengenai perkara berkenaan kepada pihak pentadbiran negeri serta Kementerian Pendidikan sebelum membawa kes itu ke mahkamah.
BenarNews telah cuba mendapatkan maklumbalas daripada Kementerian Pendidikan mengenai kes berkenaan namun tidak menerima sebarang respon.
Keluar dari kemiskinan
Siti Nafirah, 22, berkata ketika beliau memulakan tindakan saman pada 2018, daerah Kota Belud di mana sekolah tersebut terletak adalah antara 30 daerah termiskin di Malaysia. Pada tahun berikutnya (2019), Kota Belud telah disenaraikan antara 10 daerah paling miskin dalam negara itu dan masih kekal tersenarai sehingga tahun lepas.
Menurut Siti Nafirah, kebanyakan pelajar yang menghadiri sekolah tersebut datang daripada latarbelakang keluarga miskin.
"Guru tidak kehilangan apa-apa jika mereka tidak mengajar, tetapi pelajar rugi segalanya jika mereka tidak dapat belajar," tambahnya.
Aktivis sosial percaya kanak-kanak Sabah selalu terkebelakang dan dilupakan dari segi hak mereka untuk mendapatkan pendidikan secukupnya, dengan kebanyakan pelajar melahirkan rasa gembira apabila keempat-empat wanita muda tersebut mengambil tindakan dengan memfailkan saman dan tidak hanya berdiam diri.
Sabrina Melisa Aripen, pengasas Society for Equality, Respect and Trust for All yang berpusat di Kota Kinabalu, Sabah, memberitahu BenarNews bahawa terdapat banyak isu yang tidak mendapat perhatian di negeri itu, termasuk penyediaan jambatan dan jalan yang selamat untuk para pelajar dan guru pergi ke sekolah.
"Kita jangan lupa bahawa anak-anak ini adalah pemimpin masa depan dan mereka layak mendapatkan hak dan akses sama terhadap pendidikan. Pada pendapat saya, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta kerajaan secara amnya, perlu mempunyai minda yang membina dan bukan sekadar memberi sumbangan. Punca masalah ini harus ditangani dengan secepat mungkin," kata beliau.
Sabrina menambah dengan berkata sebelum ini mungkin terdapat kes serupa pernah dihadapi wanita muda seperti empat bekas pelajar tersebut, tetapi tidak seteruk kes mereka, apabila ramai yang berasa takut atau tidak mengetahui hak mereka.
Beliau percaya empat wanita muda itu menunjukkan contoh yang baik dengan tindakan mereka.
Berkongsi pandangan serupa dengan Sabrina, Chan Soon Seng, ketua pegawai eksekutif Teach for Malaysia, sebuah organisasi yang memperjuangkan isu ketidakadilan pendidikan, berkata pelajar mesti dibenarkan bersuara dalam sistem pendidikan.
"Para pelajar ini amat prihatin mengenai pendidikan mereka dan berasakan bahawa tindakan sebegini harus menjadi pilihan. Orang yang dituduh itu tidak mewakili majoriti guru dan sekolah. Kementerian Pendidikan mempunyai polisi mengenai waktu pengajaran. Terdapat sesetengah kes yang memerlukan kadar kehadiran guru yang perlu diperbaiki," katanya kepada BenarNews.
Beliau percaya bahawa apa dilakukan guru tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan tindakan sewajarnya harus diambil terhadap guru itu.
Sementara itu, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata jabatan pendidikan perlu mewujudkan unit pengurusan dan pembangunan untuk memastikan tidak ada sekolah dan pelajar di kawasan pedalaman tercicir daripada mendapatkan pelajaran. Unit tersebut perlu berfungsi sebagai satu tempat di mana orang ramai boleh mengadu masalah mereka.
"Kerana ketika ini, tidak jelas di mana kita boleh memfailkan aduan mengenai keadaan sekolah yang daif serta mengenai guru. Kita melihat tindakan diambil saban tahun tetapi masalah sekolah miskin masih tidak selesai.
“Kami berharap masanya sudah tiba untuk jabatan pendidikan mempunyai unit khusus untuk mengurus dan membangunkan sekolah pedalaman. Ini akan menunjukkan bahawa kerajaan benar serius untuk memperbaiki sekolah di Sabah," kata Anuar, yang juga adalah seorang pensyarah di Pusat untuk Kajian Kepelbagaian Pendidikan.