Pelarian di Malaysia bergelut dapatkan akses penjagaan kesihatan
2024.02.26
Kuala Lumpur
Seramai 200,000 pelarian di Malaysia berdepan kehidupan sukar kerana tidak dibenarkan bekerja dan terpaksa hidup dalam keadaan daif manakala anak-anak mereka dilarang bersekolah di institusi pendidikan awam.
Namun tidak banyak dibincangkan mengenai ketiadaan akses kepada penjagaan kesihatan dengan kos berpatutan yang boleh menentukan hidup mati mereka.
Memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian secara sah, golongan itu yang kebanyakannya menganggur terpaksa membayar caj mengikut kadar warga asing yang lebih mahal hingga 40 kali ganda berbanding bayaran bagi rakyat tempatan di hospital dan klinik kerajaan.
Terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, sebahagian daripada mereka tidak mampu menanggung kos tersebut.
Bagi Rashid Ahmad Abdul Kadir, lelaki etnik Rohingya, nyawanya ibarat telur di hujung tanduk kerana menghidap penyakit batu karang.
Bapa dua anak itu mampu bertahan hanya selepas dana untuk membiayai pembedahannya di sebuah hospital awam berjaya dikumpul.
“Sejak Januari, saya mula rasa sakit-sakit dan sukar bernafas. Kemudian saya ke klinik tetapi mereka minta saya ke hospital. Di hospital, doktor memarahi saya kerana lambat datang mendapatkan rawatan hingga organ dalam badan sudah rosak.
“Saya pulang ke rumah dan kembali ke hospital untuk pembedahan membuang batu karang setelah rakan-rakan bantu mengumpulkan dana. Saya membayar RM1,500 (AS$314.30) sebagai deposit manakala baki RM2,300 (AS$481.93) dilunaskan selepas pembedahan,” katanya kepada BenarNews.
Jumlah itu, walaupun sudah diberikan diskaun, masih dianggap membebankan bagi pekerja rencam seperti Rashid Ahmad. Lelaki berusia 35 tahun itu yang tinggal di Ampang, Selangor menjadi pelarian di Malaysia sejak 2012 dan merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
“Saya tidak mampu membayar sendiri kos pembedahan itu kerana gaji tidak tetap dan ia bergantung kepada hari, bulan bekerja atau jenis pekerjaan yang diperoleh,” katanya.
Dia kini masih dalam proses pemulihan dan terpaksa mencuci luka di klinik yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun terdapat hari-hari yang menyaksikan dia tidak dapat ke klinik.
“Saya tidak boleh pergi ke klinik sendiri. Perjalanan ke klinik juga memerlukan wang,” katanya yang tidak begitu fasih berbahasa Melayu.
Shahinah Kasim, 26 warga Rohingya bersama bayi berusia 15 hari di rumahnya di Selayang, Kuala Lumpur, 25 Februari, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Shahinah Kasim, seorang balu etnik Rohingya yang melahirkan anak pada Februari, pula berkongsi dengan BenarNews mengenai beban kewangan yang dihadapinya untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik kerajaan.
Ibu muda itu membayar RM1,500 (AS$314.30) untuk pendaftaran manakala RM1,200 (AS$251.41) lagi selepas melahirkan anak.
“Memang betul pendaftaran dan pemeriksaan di klinik NGO lebih murah tetapi doktor nasihatkan saya agar membuat pemeriksaan ibu mengandung di klinik kerajaan selepas mendapat rekod kesihatan (buku merah jambu).
“Saya terpaksa meminjam wang beberapa kali untuk pemeriksaan kesihatan semasa bayi dalam kandungan,” katanya kepada BenarNews dengan bantuan jurubahasa.
Pelarian perlu membayar caj rawatan kesihatan mengikut kadar warga asing di klinik dan hospital kerajaan iaitu antara RM40 (AS$8.37) bagi pesakit luar am sehingga RM120 (AS$25.12) untuk pesakit luar pakar.
Kadar lebih tinggi akan dikenakan jika pesakit perlu dibedah atau dimasukkan ke wad.
Ratusan ribu pelarian di Malaysia berdepan masalah serupa. Menurut data, terdapat 186,490 pelarian berdaftar dengan agensi pelarian PBB di Malaysia dengan majoritinya adalah etnik Rohingya.
Namun Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian kerana ia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 sekali gus menyebabkan golongan berkenaan dilarang bekerja secara sah.
Bagi Rashid Ahmad, dia terpaksa bergantung kepada komuniti Rohingya untuk membayar sewa bilik sebanyak RM600 (AS$125.60) sebulan dan perbelanjaan lain sehingga keadaan kesihatannya pulih dan mampu bekerja semula sebagai pemotong rumput atau pencuci pinggan.
Warga Rohingya sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di Klinik Bantuan Kemanusiaan kepada Pelarian yang menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) sumbangan Kerajaan Qatar, di Selayang, Kuala Lumpur, 25 Februari, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Tidak mampu bayar kos
Norhayati Ali, aktivis Rohingya yang kini menetap di Wisconsin, Amerika Syarikat pula berkata penjagaan kesihatan asas adalah kebimbangan utama bagi pelarian Rohingya.
“Terdapat satu kes di mana seorang pelarian wanita tidak mampu membayar deposit RM5,000 (AS$1,046.27) sebelum melahirkan anak. Dia dibiarkan di luar hospital. Wanita itu dan kandungannya meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya semasa taklimat media di Kuala Lumpur ketika beliau dalam rangka lawatan selama dua minggu ke Malaysia.
Debbie Stothard, pengasas ‘Alternative ASEAN Network on Burma’ berkata dasar kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan pelarian mendapat akses penjagaan kesihatan dengan kos berpatutan adalah tidak logik dan tidak bertanggungjawab.
“Kita menghalang etnik Rohingya dan pelarian lain daripada menyumbang kepada masyarakat Malaysia. Mereka perlu sihat bagi memastikan mereka mampu memberikan sumbangan. Ini perkara asas,” katanya.
Ahmad Ikram, pengarah urusan sebuah klinik NGO yang beroperasi di Selayang berhampiran Kuala Lumpur berkata masalah pelarian berdepan kesukaran membayar kos rawatan kesihatan adalah perkara biasa.
"Ada kes pelarian terpaksa tinggal di hospital lebih lama walaupun sepatutnya sudah boleh keluar dari wad kerana tidak mampu membayar caj perubatan dan terdapat juga kes pelarian melarikan diri atas sebab yang sama,” katanya.
Menurut UNHCR, terdapat 15 klinik yang dikendali oleh NGO khusus untuk merawat pelarian di lima negeri di Malaysia namun Ahmad Ikram berkata sukar untuk menentukan sama ada terdapat perlindungan perubatan mencukupi bagi menampung keperluan pelarian di Malaysia.
Klinik Bantuan Kemanusiaan kepada Pelarian yang menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) sumbangan Kerajaan Qatar mula beroperasi sejak 2019 memberi perlindungan kesihatan sejagat sebagaimana yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia terhadap pelarian di Malaysia, di Selayang, Kuala Lumpur, 25 Februari, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Jumlah pelarian yang sanggup mendapatkan rawatan kesihatan juga berbeza, bergantung kepada situasi.
“Jika ada serbuan, tidak ramai yang akan ke klinik,” katanya.
Menurut Ahmad Ikram, antara masalah kesihatan yang sering dialami oleh golongan pelarian adalah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan radang kulit.
Berdasarkan data dari kliniknya, beliau berkata kes yang memerlukan rujukan ke hospital ialah kelahiran pramatang, penyakit respiratori, jangkitan, pembedahan dan masalah gastrointestin.
Antara Julai 2022 hingga Januari 2024, klinik itu telah memberikan sokongan kewangan kepada 14 kes kelahiran bayi pramatang.
Klinik itu turut menawarkan rawatan am, suntikan vaksin dan surat jaminan kepada pelarian dengan kad UNHCR selain program perancangan keluarga susulan terdapat kes-kes mengandung membabitkan golongan remaja.
Ustaz Rafik Shah Mohd Ismail, Ketua komuniti pelarian Rohingya dengan berlatar belakang gambar-gambar pelarian menerima rawatan kesihatan di klinik badan bukan kerajaan semasa bercakap kepada BenarNews di Selayang, Kuala Lumpur, 25 Februari, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Stigma negatif
Seorang pemimpin komuniti Rohingya yang berpangkalan di Selayang iaitu Rafik Shah Mohd Ismail berkata bagi sesetengah kes yang menyaksikan kos perubatan terlalu mahal sehingga tidak mampu dibantu oleh komuniti atau NGO, mereka akan membiarkan pihak hospital memutuskan sama ada pesakit boleh keluar walaupun tidak membayar bil.
Beliau berkata pelarian terutama etnik Rohingya turut berdepan stigma daripada masyarakat tempatan yang menganggap mereka tidak menjaga kebersihan.
"Kita tidak galakkan mereka duduk dalam keadaan yang tidak bersih tetapi bagaimana hendak menjaga kebersihan jika satu unit kediaman terpaksa dikongsi oleh dua hingga tiga keluarga kerana mereka tidak mampu. Sebuah kediaman kadang-kadang dihuni oleh tiga hingga lima keluarga yang jumlahnya mungkin mencecah berbelas individu,” katanya.
Justeru itu, beliau menggesa rakyat Malaysia agar membantu pelarian Rohingya dalam beberapa aspek yang menyaksikan komuniti itu ketinggalan terutama berkaitan kebersihan.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Parlimen pada Jun tahun lepas bahawa kementeriannya sedang mengumpulkan angka sebenar pelarian dan pencari suaka di Malaysia bagi membolehkan kerajaan mewujudkan pelan untuk komuniti pelarian termasuk hak bekerja serta akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.