Logo alternatif Hari Kebangsaan blok pembangkang boleh gugat perpaduan

Hal berkaitan perpaduan negara seharusnya tidak dipolitikkan kerana boleh memecahbelahkan masyarakat, kata penganalisis.
Iskandar Zulkarnain & Iman Muttaqin Yusof
2023.08.21
Kuala Lumpur
Logo alternatif Hari Kebangsaan blok pembangkang boleh gugat perpaduan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melambai kepada rakyat sewaktu tiba di hadapan pentas utama dengan menaiki kereta kuda untuk menyaksikan perarakan dan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Cadangan pembangkang Malaysia untuk menggugurkan logo Kerajaan Persekutuan bagi sambutan Hari Kebangsaan dengan mahu menggunakan logo alternatif di negeri-negeri yang ditadbir blok itu boleh membawa kepada ketidakseimbangan politik dan ideologi yang semakin mendalam serta mampu menggugat perpaduan negara, demikian kata para penganalisis pada Isnin

Logo yang telah digunakan oleh kerajaan Persekutuan semasa kempen pilihan raya negeri baru-baru ini, tidak bersifat inklusif, kata Ahmad Fadhli Shaari dari sayap pemuda Perikatan Nasional yang mengulas mengenai logo dan tema bagi menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu sebaliknya mempersoalkan langkah Putrajaya menggunakan terma seperti “Madani”, “Perpaduan” dan “Harapan” iaitu ungkapan yang digunakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kempen Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya di enam buah negeri sebelum ini – ke logo Hari Kebangsaan dan temanya.

Penganalisis politik James Chin, yang juga seorang profesor di Pusat Pengajian Asia Universiti Tasmania berpendapat penggunaan logo alternatif oleh pihak pembangkang adalah satu cubaan untuk menonjolkan bahawa Perikatan Nasional mempunyai sokongan majoriti komuniti Melayu.

“Itulah tujuan mereka. Mereka mahu menunjukkan bahawa tindakan mereka akan disokong oleh orang Melayu.

“Isu melibatkan perpaduan negara atau simbol nasional tidak seharusnya dipolitikkan, tetapi Perikatan (Nasional) jelas mahu memecahbelahkan masyarakat,” kata Chin kepada kepada BenarNews.

Azmil Mohd Tayeb pula berpandangan ketidakseimbangan yang semakin melebar di antara pembangkang dan kerajaan Persekutuan di Malaysia mengancam perpaduan nasional.

“Sekiranya kedua-dua pihak terus menekankan kepada perbezaan dan menganggap satu sama lain sebagai ancaman, perpaduan di kalangan rakyat Malaysia akan terjejas.

“Isu ini menunjukkan wujudnya perpecahan politik dalam masyakarat kita sekarang. Ia sama sekali bertentangan dengan semangat perpaduan yang sewajarnya dipupuk semasa sambutan Hari Kebangsaan,” ujar Azmil yang merupakan profesor madya di Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia kepada BenarNews.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos sebagai meraikan kemerdekaan dari penjajah British pada 1957, disusuli dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September sebagai memperingati perjanjian dengan British pada tahun 1963 yang menyaksikan pembentukan Malaysia, penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dengan setiap tahun, sambutan itu menggunakan logo dan tema baharu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada Mei lalu telah mengumumkan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun ini, iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

Pada Sabtu lalu pula, Perikatan Nasional turut melancarkan logonya sendiri, menampilkan bunga raya dengan lima kelopak – mewakili simbol bunga kebangsaan Malaysia, diiringi dengan elemen bendera kebangsaan dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.

Pada ketika ini, empat buah negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu berada dibawah pemerintahan Perikatan Nasional setelah masing-masing berjaya membentuk majoriti untuk memegang tampuk pimpinan kerajaan negeri semasa Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

Guna logo dan tema

Fahmi semasa berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementeriannya pada Isnin berharap semua negeri akan menggunapakai logo dan tema yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Kita berharap semua negeri akan mengambil bahagian dengan menggunakan tema yang sama, ini adalah aspirasi kita. Tempoh untuk berpolitik telah berlalu, malah pilihan raya negeri juga telah selesai.

“Sebelum ini kita mengibarkan bendera parti (politik), sekarang waktunya untuk kita mengibarkan bendera Malaysia. Inilah matlamat kita, untuk mengeratkan dan memperkukuhkan hubungan sesama kita, serta memupuk semangat perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli menjelaskan bahawa tidak ada kewajipan kepada negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional untuk menggunapakai tema dan logo yang dicadangkan oleh Pemuda Perikatan.

“Terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing untuk membuat keputusan. Segala keputusan adalah termaktub kepada kepimpinan kerajaan negeri masing-masing, biarpun perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sebelum pengumuman berkenaan dibuat,” katanya kepada BenarNews.

Terengganu yang ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), komponen gabungan Perikatan Nasional telah memutuskan untuk tidak menggunakan logo alternatif, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

“(Kami) tidak akan mengikut cadangan oleh Pemuda Perikatan... Terengganu akan menggunapakai logo dan tema sambutan yang sama dengan kerajaan Persekutuan,” jawabnya dalam satu mesej ringkas kepada BenarNews.

Negeri di utara Semenanjung Malaysia, Perlis yang turut ditadbir oleh Perikatan Nasional, masih belum memutuskan sama ada akan menggunapakai logo alternatif atau tidak, demikian menurut laporan media.

“Perbalahan berhubung logo Hari Kebangsaan boleh memecah-belahkan kita. Apa yang menyedihkan, kedua-dua blok politik bertanggungjawab kepada situasi ini,” ujar penganalisis Teo Kok Seong, felo utama Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia kepada BenarNews.

“Ketika ini, setiap blok politik cuba untuk meluaskan naratif bagi sambutan Hari Kebangsaan dengan menggunakan frasa-frasa dan terminologi yang dipilih secara khusus untuk kepentingan politik.

“Susulan dari ketidakstabilan landskap politik yang berterusan, parti-parti politik mengeksploitasi elemen-elemen ini untuk kepentingan masing-masing. Namun, pertalian (politik) ini tidak sepatutnya menyerap masuk ke dalam tema sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Merdeka. Tema itu seharusnya kekal neutral,” ujar Teo.

Pernah berlaku

Langkah menggunakan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza dengan kerajaan Persekutuan pernah berlaku pada tahun 2012 dan seterusnya pada tahun 2020 dan 2021.

Pada tahun 2012, empat negeri yang ditadbir oleh gabungan Pakatan Rakyat melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan PAS telah menolak tema sambutan Hari Kebangsaan kerajaan Persekutuan yang dipimpin Barisan Nasional iaitu “Janji Ditepati”.

Keempat-empat negeri berkenaan menggunapakai tema berbeza dengan kerajaan negeri Kelantan dan Kedah yang diterajui oleh PAS menggunakan tema “Menerajui Perubahan” dan “Terus Berbakti” di negeri masing-masing.

Selangor yang diterajui oleh PKR pada waktu itu menggunakan tema “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” manakala Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP menggunakan tema “Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat”.

Pada tahun 2020 kerajaan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan tidak menggunapakai tema “Malaysia Prihatin” yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin Yassin, sebaliknya menggunakan tema “Kita Merdeka”.

Pada tahun berikutnya, Selangor menggunapakai tema “Malaysia Prihatin” namun tidak menggunakan logo.

Langkah sama turut diambil oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sepanjang pentadbiran Muhyiddin dan penggantinya, Ismail Sabri Yaakob di antara tahun 2020 hingga 2022.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.