Pemuda UMNO Negeri Desak Najib Lepas Jawatan Presiden

Nani Yusof & Hareez Lee
2018.05.11
Washington & Kuala Lumpur
180511-my-pemuda1000.jpg Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada Mesyuarat Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra [PWTC] di Kuala Lumpur, 25 Mac 2009.
AFP

Ketua Pemuda UMNO dari beberapa buah negeri telah tampil ke depan dengan bersuara mendesak Perdana Menteri Najib Razak yang juga Presiden UMNO supaya berundur dan memberi peluang kepada muka baharu selepas parti itu dan Barisan National kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14, Rabu lalu.

Antara mereka yang bersuara mendesak Najib melepaskan jawatannya sebagai Presiden parti terbesar orang Melayu itu ialah Ketua Pemuda dari negeri Kedah, Johor, Terengganu, Pulau Pinang. Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin pula mengajak ahli UMNO membina semula UMNO yang tegasnya memerlukan satu perubahan yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata, Pemuda UMNO Pulau Pinang mendesak Presiden UMNO Najib Razak segera meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada pemimpin muda dan lebih disayangi oleh rakyat Malaysia.

“Kami bukan cuba mencari alasan atau tempat untuk menunding jari di atas kekalahan Barisan Nasional [BN] baru-baru ini tetapi pada hakikatnya Datuk Seri Mohd Najib adalah penyebab utama kekalahan Barisan Nasional di peringkat Pusat mahupun di peringkat Negeri. Beliau [Najib] perlu menghayati apa yang beliau selalu sebut ‘Saya Berjiwa Besar’ dan segera menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi UMNO kepada orang yang lebih layak daripada beliau,” kata Rafizal kepada BeritaBenar semasa dihubungi dari Washington pada Jumaat.

Desakan yang sama juga disuarakan oleh Pemuda UMNO Kedah apabila Ketuanya Shaiful Hazizy Zainol Abidin semasa dihubungi BeritaBenar berkata, “Ya, kami mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengosongkan jawatannya sebagai Presiden dengan kadar segera,”

"Pemuda UMNO Kedah juga konsisten mempertahankan Presiden sebelum ini, namun demi kelangsungan parti pada masa hadapan kita minta Najib mengosongkan jawatannya segera. Kita mohon agar presiden dengan segera mengatur proses transisi kuasa demi menyelamatkan parti. Sudah nyata bahawa beliau gagal mentadbir dan mempertahankan kuasa yang telah kita pegang selama 60 tahun yang lalu,” tambah ketua pemuda negeri itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Johor Hahasrin Hashim pula berpendapat bahawa parti itu tidak boleh terus berada dalam keadaan ‘in denial’ dan rakyat sudah bersuara, maka UMNO perlu bersuara.

"Pemuda mahu Presiden UMNO berundur dan memberi ruang kepada muka-muka baharu yang saya percaya mampu melakukan perubahan kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Hahasrin turut memohon maaf kepada kesemua ahli UMNO dan jentera parti kerana UMNO Johor gagal mempertahankan negeri dan parti keramat orang Melayu itu, selepas UMNO tewas kepada Pakatan Harapan. Johor adalah negeri bermulanya UMNO.

Katanya, semua ahli UMNO perlu berani melakulan perubahan dalaman parti, dan bukan hanya sekadar laungan tetapi perlu terus dizahirkan.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii  pula berkata pemimpin tertinggi UMNO perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan parti pada PRU Ke-14.

"Pemimpin tertinggi perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya atas malapetaka ini dan harus bersedia untuk berundur diri dan seterusnya memberi laluan kepada muka baru mengetuai parti keramat Umno," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bina UMNO semula

Khairy dalam catatan dilaman media Facebooknya berkata, “Saya mengajak rakan-rakan yang ingin membina semula UMNO daripada keruntuhan yang kita lihat hari ini, untuk bersama-sama dengan saya kerana perubahan ini mesti bermula dengan serta-merta,”

"Kita tidak boleh tangguhkannya lagi. Jasa UMNO kepada agama, bangsa dan negara terlalu besar untuk kita biar parti keramat ini musnah dan hilang selama-lamanya," tambah Khairy.

Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia sejak kemerdekaan daripada Britain enam dekad berjaya disingkirkan oleh Pakatan Harapan yang dipimpin bekas perdana menteri Mahathir Mohamad pada Khamis dengan mengejutkan dunia apabila meraih kemenangan yang tidak disangka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Blok Pakatan Harapan yang dipimpin oleh veteran politik Mahathir, berusia 92, berjaya merebut 112 kerusi parlimen untuk mendapat majoriti mudah di dalam institusi yang diwakili oleh 222 ahli parlimen.

Tercemar oleh dakwaan rasuah, gabungan Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak hanya memenangi 79 kerusi parlimen, lalu menyingkirkannya daripada pucuk kepimpinan setelah berada di puncak politik Malaysia selama hampir satu dekad.

Gabungan Pakatan Harapan yang menang terdiri daripada beberapa parti pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP), dan parti Amanah, yang berteraskan agama Islam.

Mahathir, mengetuai gabungan parti Barisan Nasional (BN) dan memerintah negara sebelum bersara pada 2003, kembali daripada persaraan dan menyertai pembangkang pada 2016, dengan menyurakan rasa berangnya terhadap skandal rasuah membabitkan dana pelaburan milik negara, 1Malaysia Development Berhad, yang diketuai oleh bekas anak didiknya, Najib, yang menafikan sebarang salah laku.

Mahathir, bekas doktor perubatan yang dikenali sebagai “Doktor M,” pernah mentadbir Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam selama 22 tahun mulai 1981.

Penyertaan Mahathir bersama pembangkang telah mengejutkan semua kerana sanggup bergabung dengan musuh ketatnya, bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pernah dipenjarakannya atas pertuduhan liwat. Anwar kini menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat yang lain, namun dijangka dibebaskan pada Jun.

Pada pilihan raya 2013, BN hilang undi majoriti namun terus mengekalkan kekuasaan dengan memenangi 133 kerusi.

Semasa ditemu bual oleh BeritaBenar pada September 2016, Mahathir menggambarkan UMNO sebagai “tidak dapat dipulihkan, sukar untuk mengembalikannya kepada keadaan sebelum ini.”

“Ia menjadi amat teruk. Ia dengan jelas, dan ketaranya menjadi sangat korup. Pemimpin-pemimpinnya korup,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.