Penceramah Agama Dihukum Sembilan Bulan Penjara Hina Sultan
2018.04.09
Kuala Lumpur
Mahkamah Malaysia pada Isnin menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara ke atas seorang penceramah agama setelah mendapatinya bersalah mengeluarkan kata-kata yang menghina Sultan Selangor berkaitan isu keagamaan.
Penceramah agama, Wan Ji Wan Hussin , 35 dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan oleh hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail.
Hakim Mohd Sabri membenarkan Wan Ji, yang juga Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu proses rayuan.
Peguam bela Mohd Radzlan Jalaludin dalam rayuannya meminta hukuman diringankan terhadap anak guamnya itu dengan berkata Wan Ji merupakan seorang bapa dan penanggung tunggal kepada lima orang anak yang berusia antara 1 bulan dan 13 tahun dan juga terpaksa menanggung isteri yang menghidap penyakit kencing manis.
Wan Ji, yang juga seorang pemimpin dalam Pemuda Parti Keadilan Rakyat [PKR] didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada jam 10 pagi 5 November 2012.
Beliau kemudiannya didakwa pada 10 September 2014 kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam laman sosial Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.
Pendakwaraya Naliatul Huzaimi Ab Rasip berkata, tertuduh telah mengeluarkan enam kenyataan berbaur fitnah melalui akaun Facebook beliau terhadap Sultan Selangor.
“Dalam kes ini, tertuduh telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook yang boleh diakses serata dunia. Penggunaan ayat dalam kenyataan itu adalah kasar, bukan sahaja kepada Sultan Selangor tetapi kepada mana-mana individu dan merupakan satu penghinaan kepada Sultan dan memenuhi kriteria berbentuk hasutan.
“Saya meminta supaya mahkamah memberikan satu bentuk hukuman dengan mengambil kira setiap perkataan yang digunakan oleh tertuduh dalam mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan,” kata pendakwaraya terbabit.
Wan Ji dalam kenyataan di laman media sosial Facebooknya berkata, sabitan hukuman akan bermula pada tarikh beliau dijatuhkan hukuman.
"Atas permohonan peguam bela saya, pelaksanaan hukuman penjara itu ditangguhkan kerana saya akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi,” kata Wan Ji.
Wan Ji pernah ditahan polis pada 13 Oktober 2017 sejurus selepas beliau menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di Pulau Pinang.
Menurut Ketua Polis Negara Fuzi Harun pada masa itu, penangkapan penceramah berkenaan adalah berkaitan dengan sebuah video yang tular di media sosial yang memaparkan Wan Ji sebagai menghina sultan.
Fuzi juga dilaporkan berkata tindakan diambil berdasarkan beberapa laporan yang dibuat dan polis sebelum ini tidak dapat mengesan Wan Ji.
Sebelum ini pernah tersebar rakaman video pada 2013 yang menunjukkan Wan Ji, yang juga Ketua Biro Agama Pemuda PKR, memberi satu kuliah yang menyentuh kedudukan raja-raja Melayu dalam sistem pentadbiran negara.
Siasatan terhadap Wan Ji kebetulan dibuat pada minggu yang sama pihak berkuasa Malaysia yang sedang menyiasat mengenai seorang pegawai agama di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, yang juga dibuat di bawah Akta Hasutan 1948, berhubung kenyataannya pada satu kuliah di Shah Alam yang dikatakan mengecam Sultan Johor.
Portal berita Malaysian Insight pada masa itu melaporkan Wan Ji sebagai berkata, beliau tidak menolak dirinya dijadikan “kambing hitam” rentetan kes penahanan Zamihan yang ditahan polis dua hari sebelum Wan Ji juga di bawah Akta Hasutan.
Zamihan membuat kenyataan terhadap Sultan Johor berkenaan isu kedai dobi khas untuk orang Islam dalam sebuah ceramah di Shah Alam.
Video ceramah itu yang dimuatnaik ke laman YouTube memaparkan beliau mengkritik titah Sultan Johor terhadap pengusaha dobi tersebut untuk menghentikan dasar yang mendiskriminasi golongan bukan Islam itu.
Zamihan sebaliknya menegaskan bahawa kenyataan beliau tidak sama sekali merujuk kepada Sultan Johor.
Zamihan, seorang penceramah terkenal kini bertugas di Jabatan Penjara Malaysia sebagai guru agama. Beliau sebelum ini bertugas sebagai pegawai di Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan bahagian buku agama di Kementerian Dalam Negeri dan juga merupakan Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).