Undi Orang Muda Penting Bagi Pilihan Raya Malaysia - Adakah Mereka Akan Mengundi?

Hadi Azmi, Lex Radz & Zam Yusa
2018.05.07
Kuala Lumpur, Malaysia
180507-MY-youth-620.jpg Anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia beratur bagi menunggu giliran untuk mengundi pada pengundian awal pilihan raya umum ke-14 di Kuala Lumpur, 5 Mei 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pilihan raya umum Malaysia kali ini menyaksikan seorang bekas pemimpin berusia 92 tahun mengetuai pembangkang untuk menggulingkan kerajaan yang sudah 61 tahun berkuasa namun, agak sukar untuk melihat penglibatan besar calon dan pengundi muda.

Dengan lebih 2,000 calon bertanding merebut kerusi parlimen dan dewan undangan negeri pada pilihan raya ke-14 Rabu ini, hanya 19 orang calon yang berusia bawah 31 tahun, menurut kiraan tidak rasmi BeritaBenar.

Calon paling muda iaitu penuntut jurusan undang-undang, P. Prabakaran, 22, yang memberitahu satu kempen pada Ahad bahawa agenda utamanya ialah untuk "membangkitkan suara belia" dan menunjukkan bahawa orang muda boleh melibatkan diri dalam pemerintahan negara.

"Di Parlimen, kebanyakannya ahlinya berusia 50 tahun ke atas. Kami, golongan belia, mesti menakluki Parlimen,"katanya dalam ucapan ringkas, lapor The Star. "Demokrasi bukan hanya tentang pengundian ... saya akan menggunakan platform ini untuk pembangunan belia, bukan hanya di kawasan Batu tetapi di seluruh negara."

Prabakaran bertanding sebagai calon Bebas untuk kerusi Parlimen Batu, satu daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan. Beliau menerima sokongan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, selepas calonnya bagi kerusi itu, Chua Tian Chang, hilang kelayakan bertanding kerana sabitan menghina seorang pegawai polis.

Antara calon yang berusia 30 tahun dan ke bawah, seramai 15 orang daripadanya mewakili Pakatan Harapan yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri berusia 92 tahun Mahathir Mohamad, dan empat lagi mewakili gabungan parti Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Najib Razak yang memerintah negara sejak 1957.

Mereka yang berusia 21 tahun dan mengundi buat pertama kalinya, berusia 6 tahun ketika Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003 selepas menyandangnya selama 22 tahun.

Mohd Izzuddin Ramli dari lembaga pemikir Institut Pulau Pinang berkata, calon muda bukanlah pilihan yang mudah bagi parti-parti politik kerana para pengundi cenderung memilih calon yang lebih tua terutamanya di kawasan luar bandar.

"Tetapi, mereka perlu menyambut gesaan supaya meremajakan politik dengan menarik belia menyertai bidang politik untuk mendapatkan undi pemilih muda," kata Izzuddin kepada BeritaBenar.

Kebimbangan Tentang Kos Sara Hidup

Dalam manifesto kempen mereka, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional cuba menarik pengundi muda dengan janji peluang pekerjaan dan pendidikan, serta perumahan khusus untuk keluarga muda.

Kebimbangan orang muda adalah sama dengan pengundi yang lebih tua, kata Oh Ei Sun, penasihat kanan bagi Hal Ehwal Antarabangsa di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia.

"Tetapi, saya percaya mereka lebih berminat dengan isu-isu asas seperti keadilan sosial," kata Oh.

Kajian terbaru tentang pendapat pengundi Malaysia yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendapati tumpuan utama mereka adalah kebimbangan ekonomi - inflasi, peluang pekerjaan dan pendapatan - diikuti oleh rasuah dan perumahan.

Pengundi kali pertama, Regunaa Narayanan Sharma, 27, berkata dia bercadang  pulang ke kampungnya di negeri utara, Kedah, untuk mengundi pada Rabu ini dan mungkin mengundi untuk menukar kerajaan, yang menurutnya, telah berkuasa terlalu lama dan menjadi "berpuas hati" dalam menguruskan negara.

"Kerajaan gagal melindungi rakyat. Kos sara hidup adalah tinggi walaupun bagi keluarga yang berpendapatan sederhana, "kata Sharma.

Pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Adryan, 30, dari Sabah, di timur Malaysia, menyatakan kebimbangannya mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus yang dikenakan kerajaan dan hutang negara yang secara rasmi berjumlah RM684 bilion  (AS$174 bilion) , menurut portal perniagaan Malaysian, theedgemarkets.com.

"Kerajaan sekarang telah meletakkan banyak beban kepada rakyat dan menyebabkan kos sara hidup meningkat dengan mengenakan GST," katanya.

Tidak peduli?

Raja Azraff Raja Azmil, 29, yang juga pengundi kali pertama di Selangor, menegaskan pentingnya tanggungjawab sebagai pengundi. "Saya selalu percaya bahawa mengundi adalah tanggungjawab, keistimewaan dan hak untuk warganegara," katanya.

Terdapat 5.8 juta rakyat Malaysia berumur antara 21 hingga 30 tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jika mendaftar sebagai pengundi, mereka akan menjadi kumpulan pengundi yang lebih sedikit daripada 28 peratus pengundi, menurut Watan, sebuah badan bukan partisan yang berkempen untuk menggalakkan orang muda keluar mengundi.

Tetapi, kerana kadar pendaftaran sebagai pengundi yang rendah di kalangan golongan ini, orang muda hanya merangkumi 18.55 peratus daripada 14.96 juta pengundi berdaftar di Malaysia, kata Watan, yang menganggap orang muda sebagai bank bukan pengundi yang terbesar di Malaysia.

Satu tinjauan yang dijalankan Merdeka Centre dan Watan pada Ogos 2017 yang melibatkan 604 rakyat Malaysia dalam kumpulan umur itu mendapati bahawa 71 peratus daripada mereka berpendapat yang mereka tidak mempunyai pengaruh terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan, dan satu daripada empat orang pula percaya mengundi tidak memberi sebarang  perbezaan.

"Keputusan kaji selidik itu membuktikan hasil daripada perbincangan kumpulan fokus yang dijalankan oleh Watan pada awal tahun ini yang menunjukkan tahap sikap tidak peduli terhadap pendaftaran sebagai pengundi di kalangan belia Malaysia," kata pengarah eksekutif Watan, Masjaliza Hamzah, pada masa itu.

Unsur menang?

Tetapi Izzuddin, penganalisis Institut Pulau Pinang, mendakwa pengundi muda yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan undi popular pada pilihan raya umum 2013.

"Sokongan untuk BN di kalangan orang muda berusia antara 18 dan 35 tahun telah menurun daripada 57 peratus pada pilihan raya umum 2008 kepada 54 peratus pada 2013. Ia pasti jatuh lagi dalam tempoh lima tahun lalu dan mungkin masih rendah di kalangan belia Cina dan India,"kata Izzuddin, yang memetik data daripada Politweet,  badan peninjau pendapat awam.

Beberapa pemerhati mendakwa keputusan untuk mengadakan hari pengundian pilihan raya Malaysia pada Rabu bertujuan mengurangkan jumlah pemilih yang keluar mengundi. Ramai anak muda yang bekerja atau belajar jauh daripada tempat kediaman mereka perlu pulang untuk mengundi.

Pengumuman berhubung hari pengundian itu mencetuskan gerakan Go Home and Vote (#PulangMengundi) di media sosial untuk mengumpul derma dan mengatur perkongsian kenderaan bagi membantu orang ramai pulang pada pertengahan minggu untuk mengundi.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, yang terkenal kerana membuat ramalan  tepat mengenai keputusan pilihan raya 2008 dan 2013, memberitahu BeritaBenar bahawa unsur kemenangan kali ini adalah dalam kalangan pengundi luar bandar dan orang muda.

"Siapa pun yang memenangi pilihan raya bukan sahaja perlu menambat hati pengundi muda tetapi juga pengundi luar bandar termasuk di Felda, rancangan penempatan yang ditubuhkan kerajaan untuk membantu orang miskin  memiliki tanah dan melibatkan diri mereka dalam penanaman kelapa sawit," katanya.

Daim adalah seorang daripada dua bekas menteri yang dipecat oleh parti pemerintah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada hujung minggu lalu kerana menghadiri perhimpunan kempen anjuran parti pembangkang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.