Malaysia Asingkan Pesalah IS Dengan Banduan Lain

Hata Wahari
2016.07.29
Kuala Lumpur
160729-my-IS-banduan-620 Pengawal penjara mengiringi pelawat ke dalam Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak, yang menempatkan banduan yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 29 Mei 2004.
AFP

Malaysia mahu mengasingkan pesalah yang terlibat dengan kumpulan Negara Islam (IS) dengan banduan lain, selepas mendapati tujuh warden Jabatan Penjara Malaysia, turut terpengaruh dengan ideologi kumpulan itu.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat pendedahan mengenai tujuh warden jabatan itu dengan berkata tindakan mengasingkan banduan IS dengan banduan lain perlu supaya pengaruh ideologi IS tidak merebak di dalam penjara.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri semasa memaklumkan mengenai perkara itu mengakui ia merupakan satu perkembangan terbaru yang sangat tidak menyenangkan tetapi  sesuatu yang tidak boleh dinafikan dan memerlukan tindakan segera.

“Mereka [warden] sendiri perlu menjalani program pemulihan iaitu proses deradikalisasi yang membabitkan modul program yang dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti pakar psikologi, ulama dan pakar motivasi,” katanya seperti laporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Khamis dengan tidak menyatakan tempat bertugas bagi tujuh warden yang terlibat itu.

Pada 20 Julai lepas, agensi berita itu melaporkan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Hassan Sakimom sebagai berkata, tahanan IS yang ditahan di Malaysia sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam, Johor dan Penjara Machang, Kelantan.

Ahmad Zahid yang menggelarkan banduan IS sebagai penjenayah ideologi berkata, sehubunagn itu kerajaan bersetuju untuk menempatkan penjenayah IS di Kem Tahanan Kamunting, di Taiping, Perak dalam usaha kerajaan mengasingkan mereka.

Katanya, mereka yang ditempatkan di kem itu akan menjalani program de-radikalisasi yang diselia oleh Jabatan Penjara, Polis, Kementerian Kesihatan dan juga Jabatan Agama Islam.

Kem Tahanan Kamunting dibuka pada November 1973 bertujuan menempatkan tahanan, yang melakukan kesalahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri  antaranya  yang terlibat dalam  anasir subversif, ekstremis politik, pelampau agama dan juga bekas anggota komunis yang menyerah diri

Kem itu dikosongkan selepas kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2014.

“Seramai 261 rakyat Malaysia telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan yang kini diletakkan di penjara biasa bersama-sama dengan pelaku kesalahan lain,’’ kata Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi HELP University Akhbar Satar memberitahu bahawa beberapa gesaan telah dibuat kepada kerajaan dalam mengasingkan banduan IS dengan banduan lain kerana kumpulan itu berisiko tinggi untuk mempengaruhi orang lain dengan ideologi yang tidak dapat dilupakan mereka itu.

“Pengasingan banduan membolehkan usaha memulihkan tahanan dapat dilaksanakan dengan baik dan tidak ada pengaruh atau ideologi mereka dapat diperkembangkan,’’ katanya kepada BeritaBenar.

Pakar Politik Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani pula mencadangkan kepada kerajaan supaya hanya warden yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai agama Islam dan bahaya IS dibenarkan menguruskan tahanan berisiko tinggi itu.

“Pengawai penguatkuasa yang berurusan secara berterusan dengan tahanan IS ini perlu mendalami ajaran Islam sebenar, dan tahu bertapa bahayanya ideologi sesat IS’’ katanya semasa dihubungi BeritaBenar.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia  Supri Hashim ketika dihubungi BeritaBenar berkata, program deradikalisasi yang dijalankan oleh jabatan berkenaan tidak pernah didedahkan kerana ia adalah sulit.

“Sekiranya maklumat itu didedahkan mungkin militan IS yang masih bebas boleh menggunakan pengetahuan itu untuk mencari jalan bagaimana untuk  melatih diri untuk meneutralkan diri mereka apabila ditahan pihak berkuasa,” katanya ketika ditanya mengenai program deradikalisasi jabatan berkenaan.

Pada Januari lepas, Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Fuzi Harun berkata, Malaysia memperkenalkan tiga modul pemulihan yang diguna pakai untuk pemulihan tahanan militan yang merangkumi penglibatan masyarakat yang meluas, kekerapan mengadakan program pemulihan dan program integrasi semula bekas ahli kumpulan militan.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja di Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Menangani Ekstremis Ganas di ibunegara Kuala Lumpur yang dihadiri 19 buah negara dalam mencari objektif serta meningkatkan kerjasama dalam program  deradikalisasi di antara agensi-agensi keselamatan di seluruh dunia.

Katanya, Malaysia mengambil pendekatan dengan bergabung tenaga yang melibatkan tiga agensi kerajaan iaitu PDRM, Jabatan Penjara Malaysia (Penjara) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM ) dalam mewujudkan modul untuk memulihkan bekas militan di negara itu.

“Strategi baru itu ternyata berkesan kerana Malaysia mempunyai angka pencapaian baik dalam mengembalikan tahanan kepada masyarakat; mereka kini memulakan hidup baru dengan bekerja sebagai ahli perniagaan dan profesional,” tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.