Program Deradikalisasi POTA Masih Terlalu Awal Untuk Dinilai

Hata Wahari, Fadzil Aziz & Hadi Azmi
2018.01.05
Putrajaya
kamunting.jpeg Pengawal penjara mengiringi pelawat ke dalam Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak, yang menempatkan banduan yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 29 Mei 2004.
AFP

Program deradikalisasi yang dilaksanakan dua tahun lalu di bawa Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dalam usaha kerajaan Malaysia untuk memulihkan mereka yang terlibat dalam kegiatan militan Negara Islam (IS) masih terlalu awal untuk menentukan sama ada telah membuahkan hasilnya, kata pegawai.

Ketua Pengarah Penjara, Zulkefli Omar memberitahu, sembilan daripada 135 orang yang ditahan dibawah POTA sejak program itu dilaksanakan pada Sept 2015, akan hanya dinilai pada akhir Januari ini bagi menentukan sama ada mereka boleh diletakan di bawah fasa terakhir iaitu fasa empat, sekaligus akan membenarkan mereka berintegrasi semula dengan masyarakat.

“Pada masa ini apa yang dilihat ialah program deradikalisasi militan IS ini belum lagi membuahkah hasil kerana proses ini adalah satu proses yang panjang dan memerlukan penilaian oleh anggota jawatankuasa penilai POTA,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk `Bersama Kita Memerangi Keganasan` pada majlis dua hari - Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PSID) yang bertemakan `Kebijaksaan dan Kesederhanaan Dalam Mengatasi Keganasan` di Putrajaya yang akan berakhir pada Sabtu.

Program deradikalisasi itu melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi-agensi yang berkaitan.

Program berkenaan juga membabitkan empat fasa di mana fasa pertama adalah selama enam bulan dan dijalankan oleh Jabatan Penjara dengan memberi tumpuan terhadap program orentasi.

Fasa kedua pula merangkumi tempoh antara tujuh hingga 12 bulan dengan membabitkan proses deradikalisasi dan dipecahkan kepada tiga bahagian serta dijalankan oleh Jabatan Penjara, KDN dan Jakim serta polis.

Manakala Fasa Ketiga membabitkan tempoh antara 13 hingga 20 bulan yang memberi perluang kepada tahanan untuk memperkukuhkan personaliti mereka serta turut perlu mengikuti kursus pembangunan diri manakala jika berada di fasa keempat, yang mengambil masa antara 21 dan 24 bulan, mereka perlu melalui proses berintergasi dengan masyarakat sebelum dibebaskan.

Zulkifli bagaimanapun memberitahu, pada masa ini tidak ada seorangpun daripada 135 orang yang ditahan di bawah POTA berada di fasa keempat, tetapi mereka sudah atau berada di fasa pertama, kedua dan ketiga.

Katanya, setiap tahanan akan diberikan markah berdasarkan kepada penilaian yang dibuat – berada di peringkat lemah akan membuatkan mereka terus berada dalam tahanan selama dua tahun lagi; peringkat sederhana (sambung tahanan selama setahun), berada di peringat baik, akan membolehkan mereka dibebaskan tetapi berada dalam pemerhatian selama dua tahun dan cemerlang, bermakna mereka dibebaskan terus.

“Bagi warga asing, mereka yang dibebaskan akan terus dihantar pulang ke negara asal,” tambah Zulkefli.

Beliau berkata, penilaian yang dibuat secara bersepadu oleh KDN itu meliputi 20 peratus dalam bidang agama dan psikologi, sebanyak 40 peratus oleh Jabatan Penjara yang membabitkan modul deradikalisasi dan laporan kemajuan dari pegawai penjara, kaunselor, agama dan pegawai pemulihan manakala penilaian oleh Polis DiRaja Malaysia pula membabitkan `Digital Voice Stree Analysis (DVSA) Method.

Berkaitan dengan sembilan tahan pertama yang akan dinilai pada akhir Januari ini, Zulkefli berkata, kesemua mereka kini berada di fasa ketiga, sama ada mereka berjaya atau tidak untuk melepasi fasa keempat ia bergantung kepada penilaian.

“Sekiranya mereka gagal, mereka akan kekal di fasa 3 ataupun terpaksa melalui fasa lebih rendah sekiranya panel penilaian mendapati mereka tidak mencapai tahap untuk kekal di fasa 3 kerana berkemungkinan masih mempunyai kecendurangan terhadap ideologi IS,

“Saya tidak dapat mendedahkan identiti kesembilan tahanan itu tetapi mereka semua adalah rakyat Malaysia dan antaranya terdiri daripada mereka yang ditahan semasa hendak berlepas ke Syria serta pelajar, ” tambah ketua pengarah penjara itu.

Masa pendek, kurang berkesan

POTA merupakan satu undang-undang bagi menangani aktiviti militan untuk mencegah perlakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas dari sesuatu negara asing serta bagi kawalan terhadap orang yang terlibat dengan perbuatan sedemikian serta memastikan tiada individu terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan.

Akta itu memastikan rakyat dan keamanan negara tidak diganggu gugat oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti militan dan keputusan penahanan dibawah akta berkenaan dibuat oleh Lembaga Pencegahan Keganasan yang anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu  POTA juga membenarkan waris kepada orang yang ditahan bertemu dan boleh mendapatkan khidmat peguam yang menjadi pilihan masing-masing

Perbezaannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan oleh kerajaan pada tahun 2014 ialah penahanan seseorang yang dipercayai terlibat dalam keganasan dibuat tanpa sebarang perbicaraan selama dua tahun dengan menteri dalam negeri mempunyai kuasa eksekutif untuk menahan mereka.

Dalam pada itu, Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Bahagian Anti-Keganasan, Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia semasa diminta mengulas mengenai program deradikalisasi POTA memberitahu, tempoh masa yang pendek dalam POTA menyebabkan ia kurang berkesan dalam program deradikalisasi terhadap mereka yang ditahan.

Katanya, berbanding dengan program deradikalisasi di bawah ISA yang memperuntukkan penahanan tanpa bicara selama dua tahun, mereka yang terlibat dalam kegiatan militan ditahan di kem khas iaitu Kem Kemunting, di Taiping Perak untuk menjalani semua program yang diatur.

“Pendapat saya, program ini terlalu pendek dan memerlukan bukti yang amat kukuh bagi membolehkan mereka yang terlibat dalam militan ditahan untuk tempoh dua tahun tetapi jika tidak ada bukti kukuh, paling lama mereka boleh ditahan adalah selama sebulan dan terpaksa dibebaskan, tetapi polis sentiasa memantau agar mereka tidak terlibat dalam aktiviti militan semula,” katanya.

Tambah beliau program deradikalisasi yang dilaksanakan di bawah ISA, mencapai tahap 97 peratus kejayaan pemulihan.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, seramai 66 anggota telah dibebaskan, demikian menurut data yang diperolehi BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 32 anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 55 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, menurut data tersebut.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.