Malaysia ringankan hukuman mati, penjara sepanjang hayat di bawah pindaan undang-undang baharu

Hukuman mati tujuh banduan dan penjara sepanjang hayat empat lagi kerana jenayah dadah diganti dengan hukuman penjara 30 tahun.
Iman Muttaqin Yusof & Minderjeet Kaur
2023.11.14
Kuala Lumpur
Malaysia ringankan hukuman mati, penjara sepanjang hayat di bawah pindaan undang-undang baharu Pemandangan di Istana Kehakiman di Putrajaya, yang menempatkan dua mahkamah tertinggi Malaysia iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, 6 Julai 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah tertinggi di Malaysia, dalam keputusan semakan bersejarah pada Selasa, telah menggantikan hukuman mati tujuh banduan dengan penjara seumur hidup dan meringankan hukuman penjara sepanjang hayat empat lagi dengan hukuman sama selepas negara itu memansuhkan hukuman mati mandatori pada April lepas bagi beberapa jenayah serta melakukan reformasi lain.

Kesemua sebelas banduan terbabit diperintah menjalani hukuman penjara 30 tahun dari tarikh mereka ditangkap, menurut agensi berita nasional Bernama.

Kesemua kes merupakan kumpulan pertama yang disemak semula selepas hukuman mati mandatori dihapuskan bagi 11 jenayah manakala hukuman penjara sepanjang hayat diringankan bagi semua jenayah.

Antara banduan bertuah pada Selasa ialah Teh Hock Leong, yang sudah lama dijatuhi hukuman mati iaitu pada usia 24 tahun selepas ditahan pada 1999 bagi kesalahan dadah. Selepas mahkamah menggantikan hukuman matinya dengan penjara seumur hidup, ia kemudian mengurangkan lagi tempoh itu kepada 20 tahun kerana berkelakuan baik.

Ini bermakna Teh dibebaskan pada Isnin selepas Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan itu, kata peguamnya Guok Ngek Seong kepada BenarNews.

“Teh bebas hari ini selepas hukumannya diringankan kerana berkelakuan baik. Keluarganya sangat bersyukur kerana dia telah kembali ke pangkuan mereka,” kata Guok.

Semakan hukuman ke atas 11 banduan terbabit pada Isnin dijalankan selepas menteri undang-undang Malaysia berkata rayuan bagi hukuman ringan boleh dimulakan pada 12 Sept susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori pada 4 Julai lepas. Hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan termasuk mengedar dadah dan membunuh.

Sejumlah 1,020 banduan yang dijatuhi hukuman mati dan penjara sepanjang hayat layak mengemukakan permohonan untuk menyemak semula hukuman itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pada Selasa.

Sejak 9 Nov, Mahkamah Persekutuan telah menerima 871 permohonan semakan semula bagi hukuman mati dan 117 bagi penjara sepanjang hayat, kata menteri itu.

Azalina bagaimanapun berkata hukuman mati dikekalkan bagi kesalahan jenayah.

Kes bekas pengawal peribadi Najib

Semakan pada Isnin dibuat beberapa hari selepas Australia membebaskan seorang tahanan imigresen iaitu bekas anggota polis Malaysia, Sirul Azhar Umar, yang telah melarikan diri ke negara itu selepas dijatuhi hukuman mati dalam kes pembunuhan berunsur politik.

Sirul Azhar dan rakannya Azilah Hadri adalah anggota pasukan keselamatan bekas Perdana Menteri Najib Razak. Mereka telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman pada 2015 kerana membunuh seorang model serta jurubahasa Mongolia Altantuya Shaariibuu pada Oktober 2006.

Wanita malang itu telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan di hutan terpencil di luar Kuala Lumpur.

Azilah, yang dijatuhi hukuman mati, telah mengaitkan Najib, yang kini meringkuk di dalam penjara, dan seorang penganalisis pertahanan dengan pembunuhan itu dalam akuan bersumpahnya pada 2019 bahawa mereka telah mengarahkan beliau dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya kerana wanita itu adalah seorang pengintip.

Sirul Azhar telah melarikan diri dari Malaysia dan mendapatkan suaka di Australia di mana beliau dibawa ke pusat tahanan imigresen serta ditahan di sana sejak Januari 2015 sebelum dibebaskan pada 6 Nov oleh sebuah mahkamah Australia, lapor media tempatan.

Undang-undang Australia melarang pengusiran individu ke lokasi di mana mereka berdepan hukuman mati. Sejak dibebaskan, Sirul tinggal di Canberra bersama anaknya yang telah menetap di Australia selama lebih sedekad, menurut media Australia.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata peluang untuk membawa pulang Sirul Azhar adalah tipis kecuali jika beliau memohon untuk menyemak semula hukuman mati terhadapnya serta menggantikan ia dengan penjara seumur hidup, sekiranya permohonan itu dibenarkan.

“[Namun] Sirul mempunyai hak untuk memohon semakan [ke atas hukumannya] melalui peguamnya. Hanya selepas semua proses dilengkapkan baharulah kita boleh kemukakan proses ekstradisi,” kata beliau dalam sidang media pada Selasa.

BenarNews cuba menghubungi peguam Sirul Azhar iaitu William Levingston dan Pusat Tahanan Villawood di Sydney, di mana bekas anggota polis itu meringkuk selama sembilan tahun, dua hari selepas berita itu dilaporkan namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.

Iskandar Zulkarain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.