Malaysia Dilanda ‘Perang’ Dalam Talian
2016.03.07
Kuala Lumpur
Malaysia dilanda ‘perang’ dalam talian antara kumpulan yang menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri, Najib Razak, yang dilanda pelbagai skandal rasuah dengan penyokong kerajaan.
Perang di laman sosial yang menggunakan hashtag #RespectMyPM dan #respectMalaysia serta beberapa lagi kempen menggunakan poster mula melanda laman web di Malaysia, selepas bekas perdana menteri Mahathir Mohamad melancarkan ‘Deklarasi Rakyat’ yang mengandungi 37 perkara yang menggesa penyingkiran Najib daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri pada Jumaat lepas.
Selain itu, kempen mendapat tandatangan menyokong deklarasi itu juga sedang viral di laman sosial di negara itu, bertujuan membolehkan mereka yang ingin menyatakan sokongan terhadap deklarasi berkenaan, di laman yang beralamat - https://docs.google.com/forms/d/1vuIKdnzoDln2d5_v07kz1vgUZByV4EILmecK7NjYh54/viewform?c=0&w=1.
Mereka yang menyokong deklarasi itu, mempelawa pembaharuan serta menyifatkan ia sebagai hak untuk bersuara manakala yang menentang telah menyelar Mahathir kerana tidak menghormati sistem demokrasi Malaysia di mana kerajaan dipilih melalui pilihanraya.
Para pemimpin dari kedua-dua belah jurang politik di Malaysia, sejak Jumaat lepas mengeluarkan samada tentangan atau sambutan terhadap deklarasi yang ditandatangani oleh 57 pemimpin lain dari seluruh spektrum politik dan sosial di Malaysia.
Sejak semalam (Ahad), timbul kempen dalam talian di laman facebook dan twitter dengan menggunakan hashtag #RespectMyPM sebagai usaha meminta penyokong Najib untuk terus memberi sokongan mereka terhadap perdana menteri itu.
Gambar poster bendera Malaysia dengan tulisan "saya rakyat Malaysia, dan saya... #RespectMyPM" telah dimuat naik di laman-laman sosial ke arah menyatakan sokongan mereka.
Menurut laman Facebook ‘Pertahan Negara Kita’, sudah tiba masanya untuk rakyat bersatu untuk menyokong Najib malah, segelintir penyokong turut mencadangkan menggantikan gambar profil di laman facebook mereka dengan poster berkenaan, sebagai tanda sokongan.
Pada Jumaat lepas, Mahathir mengetuai 57 pemimpin lain termasuk pembangkang dan masyarakat sivil menandatangai deklarasi 37 perkara yang antara lain mengandungi senarai panjang dakwaan rasuah dan salah urus kewangan berhubung dengan dana pelaburan negara yang dibelenggui masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat-syarikat lain yang dikaitkan dengannya.
Najib yang mengambil alih kuasa pemerintahan Malaysia pada 2009, telah menubuhkan 1MDB pada tahun yang sama, sebagai sebuah alat untuk merangsang pembangunan. Beliau mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB.
Dokumen itu juga mendakwa bahawa kerajaan Najib telah menyekat siasatan potensi pendakwaan rasuah terhadapnya, terutamanya yang berhubung deposit sebanyak RM2.08 bilion (US $ 681 juta) ke dalam akaun bank peribadinya semasa menjelangnya pilihan raya umum 2013.
Minggu lalu, The Wall Street Journal melaporkan bahawa deposit keseluruhan itu sebenarnya melebihi US$1 bilion dan wang mula disalurkan ke dalam akaun Najib seawal 2011. Menurut akhbar itu, para penyiasat dunia percaya bahawa "kebanyakan adalah berpunca" daripada 1MDB.
Najib telah menafikan sebarang salah laku atau menggunakan wang daripada $681 juta itu untuk kepentingan peribadi. Pada Januari lalu, Peguam Negara Malaysia membersihkan PM daripada potensi pertuduhan rasuah, dan berkata wang itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Memandangkan berapa siri skandal 1MDB menyelubungi Najib, "hari ini imej Malaysia amat buruk sekali," kata deklarasi itu.
‘Kempen media sosial’
Sementara itu, aktivis belia Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga merupakan jurucakap gabungan 25 belia dibawah payung yang dikenali sebagai ‘The Challenger’ memulakan satu lagi kempen di dalam talian dengan menggunakan hashtag #respectMalaysia pada Isnin.
Poster bendera Malaysia dengan hashtag #respectMalaysia itu mempunyai ‘Saya menghormati negara terlebih dahulu, sebelum menghormati individu. Saya hormati kebijaksanaan dan kerja keras, tidak ampu bodek. Saya hormati ketelusan tidak OSA, ISA atau amanah saya’.
Selain itu, antara lain yang ditulis di laman facebook bersama kempen itu oleh Syed Saddiq ialah ‘Hormat tidak boleh dipaksa, Hormat mesti diperolehi… Saya suka negara saya, akan mati untuk negara saya. Saya #RespectMalaysia, Saya tidak #RespectMyPM’
Dalam pada itu, Najib semasa mengulas mengenai ‘Deklarasi Rakyat’ yang ditandatangani oleh 57 pemimpin yang diketuai oleh Mahathir sebagai usaha untuk menyingkirkan beliau dari jawatannya berkata, UMNO melihat tindakan itu sebagai satu kesilapan besar.
“Saya tengok rata-rata di kalangan pemimpin UMNO, mereka sangat marah dan amat kecewa (dengan) tindakan Tun Dr Mahathir untuk sepakat dengan pembangkang.
“Sebab itulah, pemimpin UMNO tidak boleh terima. Mereka tahu pendirian DAP selama ini, jadi apa yang dilakukan (adalah) satu kesilapan amat besar," kata Najib semasa mengadakan lawatan kerja rasmi di Johor seperti yang dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia pada Ahad.
Seorang penjawat awam Syahidi Omar, 28, semasa diminta mengulas mengenai kempen mendapatkan deklarasi rakyat yang meminta sokongan rakyat melalui tandatangan berkata, beliau bersetuju dengan gerakan ini di mana ia sesuatu yang harus dilakukan jika ingin melihat Malaysia bebas dari ketirusan politik.
"Ini yang dinamakan demokrasi. Bersatu demi negara. Jadi termeterainya deklarasi rakyat sesungguhnya memang perlu dilakukan sejak awal lagi," katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Mengenai kempen yang sedang melandar alam siber Malaysia, beliau berkata "Walaupun masing-masing mungkin mempunyai agenda tersendiri, namun ianya hanya demi negara yang tercinta. Yang penting suara rakyat didengar, bukan diperlekeh hanya kerana kami rakyat biasa,"
Suri rumah Azmah Abidin, 44, semasa diminta mengulas mengenai ‘perang alam siber’ yang melanda Malaysia berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan Mahathir melancarkan kempen penyingkiran terhadap Najib, kerana sebagai seorang negarawan yang disanjungi ramai, beliau perlu berjiwa besar dan memahami proses demokrasi.
"Perdana Menteri dipilih berdasarkan proses pemilihan yang demokrasi. Beliau cuma boleh dijatuhkan menerusi pilihan raya dan proses pemilihan UMNO," katanya ketika ditemui BeritaBenar.