Anwar Ibrahim hadapi tekanan penuhi tuntutan hak Sabah, Sarawak
2024.09.27
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berada dalam kedudukan yang sukar apabila dua negeri Borneo Malaysia, Sabah dan Sarawak memperhebatkan tuntutan agar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya, ikatan bersejarah yang memberikan mereka kuasa autonomi ke atas bidang kritikal seperti sumber asli, kewangan dan imigresen, kata penganalisis.
Penganalisis memberi amaran bahawa desakan negeri-negeri Borneo untuk menuntut semula hak yang dijanjikan di bawah MA63 dan kegagalan Anwar untuk memenuhi tuntutan itu boleh menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan yang banyak bergantung kepada sokongan politik dari Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan di Semenanjung kini berada pada tahap paling lemah,” kata Jayum Anak Jawan, seorang profesor sains politik di Institut Kajian Borneo kepada BenarNews.
“Kerajaan gabungan Anwar memerlukan sokongan Sabah dan Sarawak untuk mengekalkan kuasa mereka.”
Perjanjian Malaysia 1963 yang membawa kepada pembentukan Malaysia dengan menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura yang kemudian keluar pada 1965 menjadikan status negeri-negeri Borneo sebagai unik.
Kedua-dua negeri itu sebelum ini mempunyai kawalan ke atas sumber asli mereka, imigresen dan hal kewangan, yang membantu memastikan penyertaan mereka dalam negara yang baru dibentuk.
Anwar sebelum Pilihan Raya Umum 2022 telah berjanji bahawa MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya sekiranya gabungan Pakatan Harapannya yang diterajuinya memenangi pilihan raya itu.
Selepas beliau berjaya membentuk kerajaan perpaduan dengan bantuan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), seteru lamanya dan sokongan daripada dua negeri Borneo, beliau mengambil langkah melantik Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Anwar menugaskan Fadillah untuk mengendalikan perbincangan dan hal-hal berkaitan MA63.
Meskipun berlaku kemajuan dalam rundingan berkaitan perjanjian itu, Fadillah baru-baru ini menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 11 permintaan berkaitan MA63, bermula daripada isu bekalan gas hingga perwakilan dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah diselesaikan, permintaan utama masih belum dipenuhi.
Perkara yang paling dipertikaikan ialah berkaitan royalti minyak dan kawalan ke atas pelantar benua, isu yang menjadi teras autonomi kewangan negeri-negeri Borneo.
Senarai lengkap 29 tuntutan itu belum dikeluarkan secara terbuka dan rundingan terdahulu mengenai isu tersebut telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Anwar, dalam usaha beliau untuk mengimbangi kepentingan di Semenanjung Malaysia dan negeri-negeri Borneo sebelum ini telah berjanji bahawa pentadbirannya komited untuk mengangkat darjat semua wilayah, khususnya yang berada di luar bandar, terpencil atau terjejas oleh kemiskinan bandar.
“Saya turut memberi jaminan akan bertungkus lumus menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama rakan pimpinan dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
“Saya percaya dengan permuafakatan serta musyawarah yang wujud antara Persekutuan dengan setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak, perkara ini mampu direalisasikan,” kata Anwar dalam sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September lalu.
“Semangat jiwa merdeka harus sentiasa disemat utuh oleh semua dalam membangun Malaysia selain menjauhi sikap perkauman sempit serta kebencian antara satu sama lain.”
Ahli Parlimen Borneo menguasai 56 kerusi Parlimen yang memberi pengaruh besar terhadap kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Bagi Anwar, pertaruhannya adalah sangat tinggi, menurut Ahmad Mohsein Azman, seorang penganalisis di BowerGroupAsia, sebuah firma perundingan risiko politik.
“Sekarang Sabah dan Sarawak jauh lebih kuat berbanding 10 tahun lalu. Perpecahan parti politik mereka daripada Barisan Nasional dan pembentukan blok seperti GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) telah mengukuhkan status mereka sebagai kuasa politik,” kata Ahmad kepada BenarNews merujuk kepada dua gabungan politik utama Borneo.
Sepanjang dekad yang lalu, kerajaan Persekutuan secara beransur-ansur menyerahkan pusat kuasa peringkat negeri terutamanya di negeri-negeri seperti Johor dan Pulau Pinang serta pihak istana diraja yang menguasai wilayah mereka, kata penganalisis.
Landskap politik telah berubah secara mendadak dengan Sabah dan Sarawak yang pernah dianggap politik pinggiran telah menjadi pemain penting dalam dinamik kuasa negara, kata mereka.
Menurut James Chin, seorang profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania dan pakar dalam federalisme Malaysia, tuntutan daripada Sabah dan Sarawak, apabila dipenuhi boleh menjadi ikutan kepada negeri lain seperti Johor dan Pulau Pinang untuk mempertaruhkan tuntutan mereka bagi mendapat lebih banyak kuasa autonomi.
'[Tetapi] mereka tidak mempunyai perjanjian seperti MA63 untuk menyokong tuntutan mereka. Ia lebih kepada tuntutan politik manakala bagi Sabah dan Sarawak, ia mengenai mengembalikan kuasa,” katanya kepada BenarNews.
Seperti yang dikatakan oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg sebelum ini, perjuangan untuk mengawal sumber bukan semata-mata mengenai soal ekonomi malah ia mengenai kedaulatan dan identiti.
“Sarawak tidak melampaui batas, kami hanya melaksanakan kuasa yang telah diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Abang Johari dipetik agensi berita nasional Bernama awal September.
“Pengurusan minyak dan gas kami adalah sebahagian daripada hak kami yang diiktiraf oleh perlembagaan. Ini adalah penegasan autonomi Sarawak dalam rangka kerja Persekutuan, bukan penyelewengan.”
Penganalisis Chin bersetuju, minyak dan gas, khususnya kekal sebagai perkara utama yang penting.
"Sebagai contoh, punca kemarahan rakyat adalah kerana Sabah dan Sarawak telah kehilangan semua hasil minyak dan gas mereka dan jika kita lihat Menara Berkembar Petronas, setiap menara itu dibina dengan hasil wang minyak dan gas dari sana," kata Chin.
Sentimen pemisah makin meningkat?
Apabila kekecewaan terhadap kerajaan Persekutuan semakin meningkat, kumpulan kecil tetapi semakin lantang telah melakukan kempen pemisahan Borneo daripada Malaysia melalui media sosial, kata Chin.
“Masalahnya ialah kumpulan kecil itu sangat mahir dalam media sosial, jadi mereka mendominasi perbincangan di Internet kerana gerakan pemisah adalah sesuatu yang sangat baharu dalam politik Malaysia,” katanya.
Pada sambutan Hari Malaysia baru-baru ini tular rakaman video menunjukkan protes di Melbourne, Australia.
Dalam klip video itu, penunjuk perasaan menggantikan bendera Malaysia dengan bendera Sabah dan Sarawak, dengan mengisytiharkan, “Kami menurunkan bendera Malaysia sebagai simbol berakhirnya penjajahan Tanah Melayu di Sabah dan Sarawak.”
Pihak berkuasa Malaysia telah melancarkan penyiasatan terhadap protes itu yang telah dikongsi secara meluas di platform media sosial dan menarik perhatian yang ketara di tanah air.
Dominique Ng, presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak berkata pertubuhan bukan kerajaan yang diterajuinya telah lama menggesa kepada pengagihan lebih banyak kuasa autonomi.
“Ia sudah tentu akan meningkatkan kehidupan rakyat Sarawak, dalam erti kata bahawa kita akan lebih banyak mempunyai kawalan terhadap nasib kita sendiri dan tidak perlu hidup mengikut kehendak politik dan ditentukan oleh budaya atau amalan dominan rakan sejawatan kita di Malaysia Barat.
“Borneo perlu berusaha sedaya upaya untuk mengawal sepenuhnya sumber asli mereka dan mentadbir sendiri,” kata Ng kepada BenarNews.
“Halangan terbesar adalah kelemahan kemahuan politik.”
Bagi kebanyakan orang di Borneo, perjuangan mereka masih jauh untuk dicapai.
“Ia akan mengambil masa yang lama untuk memperbaiki kehidupan sesiapa sahaja di sini, tetapi kami mempunyai," kata Nadia Samsuddin, seorang pekerja sektor swasta berusia 25 tahun dari Sandakan, Sabah kepada BenarNews.
“Ia bukan hanya tentang wang tetapi mengenai maruah untuk dapat mengawal masa depan kita sendiri.”