Persempadanan Semula Beri Manfaat Kepada Pengundi, Bukan Parti Politik, Penganalisa

A. Ariffin
2016.09.22
Kuala Lumpur
160922-my-persempadanan620.jpg Pelan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Negeri-Negeri Tanah Melayu yang turut terdapat dalam Syor Persempadanan semula kawasan Pilihan Raya oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, 22 September 2016.
Ihsan SPR

Persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mendapat pelbagai reaksi dari penganalisa politik Malaysia, yang antaranya berpandangan cadangan tersebut bakal memberi lebih manfaat kepada pengundi daripada parti politik.

Ketua Kumpulan Pentadbiran, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berpendapat langkah SPR itu dijangka akan membantu meningkatkan taraf hidup serta merancakkan pembangunan kawasan setempat.

“Sebenarnya, cadangan ini memberi banyak manfaat kepada pengundi dan juga parti politik. Cuma pada peringkat awal ini, ia dilihat sebagai satu kelebihan kepada parti pemerintah.

“Apabila persempadanan semula dibuat di kawasan tertentu, ia memberi faedah melalui pengwujudan kerusi baru di kawasan terlibat serta secara tak langsung dapat membantu membangunkan sosio-ekonomi kawasan bekenaan,” katanya kepada BeritaBenar.

Penganalisa  politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan pula berkata, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilihat dari perspektif pengundi dan bukannya parti politik.

“Pada pandangan saya, cadangan yang dikemukakan oleh SPR akan memberi lebih manfaat kepada para pengundi, kerana ia bertujuan memberi perkhidmatan lebih baik serta berkesan terhadap kawasan yang terlibat dalam persempadanan semula,” katanya kepada BeritaBenar.

Pendapat itu turut diakui oleh penganalisa politik Universiti Malaya (UM) Dr Noor Sulastery Yurni Ahmad yang memberitahu langkah mengemaskini kawasan pilihan raya itu adalah penting dalam mengimbangi kepesatan pembangunan di kawasan bandar yang berkepadatan tinggi.

Katanya, persempadanan semula kawasan Pilihan Raya perlu dibuat terutamanya di kawasan  yang jumlah penduduknya telah mencapai tahap tidak ideal.

“Bagi mengimbangi perkembangan ini, SPR perlu mengambil langkah untuk menyelaraskan bilangan pengundi bagi sesuatu kawasan berdasarkan bancian dan kajian mereka,” tambah beliau lagi.

Pada Khamis lepas, SPR telah membuat pengumuman mengenai usaha yang sedang dijalankan badan berkenaan melalui Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri Tanah Melayu dan Sabah.

Kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Semasa mengumumkan cadangan berkenaan, Setiausaha SPR Abdul Ghani Salleh berkata, SPR telah mengesyorkan tiada perubahan bilangan bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu.

"Bagi maksud kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, terdapat pindaan dan perubahan nama kepada bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu," katanya.

Bagi Sabah pula, Abdul Ghani berkata SPR mengesyorkan supaya jumlah kerusi DUN ditambah sebanyak 13 bahagian daripada 60 berikutan pindaan peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Sabah, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 73 kerusi DUN.

“Selain itu, SPR juga bercadang melakukan pindaan dan perubahan nama kepada bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN dalam Sabah,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia (Bernama) baru-baru ini.

Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, cadangan untuk mewujudkan kerusi Parlimen baru atau penyusunan semula kerusi DUN memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya dua-pertiga anggota Parlimen, atau 148 wakil rakyat daripada keseluruhan 222 anggota Parlimen.

Bantahan awal


Sejak pengumuman persempadanan semula itu, pelbagai reaksi timbul dari banyak pihak yang membantah mengenai cadangan yang dikemukakan oleh suruhanjaya berkenaan.

Akhbar tempatan Malaysia pada Selasa melaporkan mengenai keresahan dua parti komponen Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara itu.

Presiden Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA), Liow Tiong Lai berkata,  cadangan SPR itu telah menjejaskan 26 daripada 40 kerusi Parlimen parti yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Butiran syor persempadanan semula yang telah diumumkan hujung minggu lalu itu bukan petanda baik bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama,” kata Tiong Lai.

Tiong Lai turut mendakwa persempadanan itu boleh membahagikan pengundi mengikut pecahan kaum.

Presiden Gerakan, Mah Siew Keong dilaporkan turut menyatakan kebimbangan yang sama.

Selain itu, parti-parti pembangkang turut mempersoalkan cadangan SPR itu, sambil mahu suruhanjaya itu memberi tumpuan terhadap usaha menukar sistem pilihan raya negara daripada majoriti mudah kepada sistem berimbang atau 'proportional' supaya dapat memberi perkhidmatan yang adil dan saksama kepada mereka yang bertanding.

Dalam reaksinya, Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Najib Razak yang juga pengerusi BN dijangka akan mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada hujung minggu ini untuk meneliti cadangan yang dibentangkan oleh SPR.

“Saya juga percaya satu tempoh yang secukupnya akan ditetapkan oleh SPR untuk menentukan ketidaksetujuan syor itu diterjemahkan dalam bentuk bantahan,” ujarnya seperti lapor Utusan Malaysia.

Pertahan kajian


Sementara itu, Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah dalam reaksinya terhadap isu persempadanan semua menjelaskan bahawa suruhanjaya itu menjalankan peranan dan tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap Ahli Parlimen boleh membahaskan cadangan berkenaan semasa pembentangan Dewan Rakyat kelak,” tambah beliau.

Katanya, adalah terlalu awal bagi SPR untuk memberi sebarang ulasan kepada umum mengenai semua tuduhan terhadap suruhanjaya itu mengenai cadangannya kerana proses pameran sedang berjalan dan prosiding Siasatan Tempatan yang hanya akan berjalan selepas tempoh representasi bantahan tamat pada 14 Okt ini.

"SPR tidak akan membuat kenyataan mengenai isu kandungan pengesyoran berkenaan kerana ia masih di peringkat syor dan bukannya muktamad. Ia perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum dikuatkuasakan," ujarnya.

S. Adie Zul turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.