Malaysia Ubah Peta Kawasan Pilihan Raya Menjelang PRU

Hareez Lee, Fadzil Aziz, Hadi Azmi & N. Nantha
2018.03.28
Kuala Lumpur, Malaysia
180328-MY-Najib-1000.jpg Perdana Menteri Najib Razak berjalan masuk ke Parlimen sebelum bermulanya satu sesi di Kuala Lumpur, 28 Mac, 2018.
[AP]

Parlimen Malaysia dapat meluluskan peta pilihan raya yang baru dengan lancar pada Rabu walaupun berdepan bantahan daripada para penggubal undang-undang dan aktivis pembangkang, yang mendakwa langkah itu memihak kepada  gabungan parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak pada  pilihan raya umum akan datang.

Secara keseluruhannya, seramai 129 Ahli Parlimen mengundi bersetuju dan 80 lagi mengundi menolak usul mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang dapat dilaksanakan dengan mudah di Parlimen dan dijangka berkuat kuasa tepat pada masanya bagi Pilihan Raya Umum Ke-14, yang mesti diadakan pada Ogos.

Yang di-Pertuan Agong perlu memperkenankan usul tersebut, sebelum Najib dijangka meminta izin Seri Paduka untuk membubarkan Parlimen dan mengumumkan tarikh pilihan raya umum.

Aktivis terkemuka yang memperjuangkan pembaharuan dalam pilihan raya, S. Ambiga, menggambarkan langkah meluluskan usul itu sebagai "menipu rakyat dan perbuatan yang mencabar demokrasi."

"Kami tidak boleh membenarkannya. Kenapa mereka tergesa-gesa meluluskan usul ini, " katanya kepada pemberita semasa meyertai perhimpunan bantahan di luar bangunan Parlimen, dengan merujuk kepada dokumen yang memperincikan perubahan pada peta kawasan pilihan raya yang dikeluarkan  oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negara dan dikemukakan kepada badan perundangan itu.

Para penggubal undang-undang kecoh dalam membahaskan usul itu di Parlimen pada lewat Rabu di hadapan Speaker Pandikar Amin Mulia, yang kemudian bertindak tegas dengan menggantung pemimpin kanan pembangkang, Lim Kit Siang, selama enam bulan kerana berbahas tanpa mengikut giliran.

Semasa membentangkan usul itu, Perdana Menteri Najib Razak memberitahu Dewan Rakyat bahawa persempadanan semula itu tidak membabitkan sebarang pertambahan bilangan bahagian pilihan raya, sebaliknya, ia hanya membabitkan pindaan nama dan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya.

Beliau berkata, persempadanan semula itu diperlukan kerana peta pilihan raya itu telah dihasilkan pada 2003, dan berikutan terdapatnya "topografi dan demografi kawasan luar bandar yang berbeza antara satu sama lain."

"Ini secara tidak langsung, mewujudkan kekangan-kekangan dari segi jalan-jalan perhubungan dan pengangkutan," kata Najib.

"Hal demikian menyebabkan konsentrasi penduduk di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi, berbanding penduduk di kawasan luar bandar."

Kebanyakan penyokong Barisan Nasional (BN) berada di kawasan luar bandar, terutama kampung-kampung yang diwujudkan bagi mereka yang berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada skim pembangunan berusia berdekad-dekad lamanya yang menyasarkan etnik majoriti Malaysia.

"Sungguhpun begitu, Kerajaan tidak mengganggu mahupun mempengaruhi SPR dalam melaksanakan tugas-tugas mereka, malah Kerajaan juga sentiasa menghormati keputusan yang dibuat oleh SPR, untuk kebaikan semua, demi kepentingan rakyat dan negara, " kata Najib.

Daerah lebih besar

Peta kawasan pilihan raya baru itu nampaknya menarik lebih ramai pengundi ke daerah yang kini dipegang oleh pembangkang.

Sebagai contoh, ia menamakan semula kerusi Petaling Jaya Utara yang disandang pembangkang di negeri Selangor dan memperluaskannya daripada 84,456 pengundi kepada 150,439 pengundi, menjadikannya kawasan pilihan raya terbesar di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, kerusi Lembah Pantai Kuala Lumpur yang disandang anak perempuan pemimpin pembangkang de facto Anwar Ibrahim, kini diperluaskan dengan memasukkan kawasan ibu pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman dan menambah sekurang-kurangnya 6,000 undi walaupun kedua-dua kawasan itu tidak bersempadan dari segi geografi.

Nurul Izzah memenangi kerusi itu pada 2013 dengan majoriti 1,847 undi untuk menewaskan mantan menteri kerajaan dengan keputusan yang mengejutkan.

Perubahan lain termasuklah penamaan semula 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan  Negeri.

Kaum Melayu dan kaum bumiputera lain merupakan hampir 70 peratus daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 31 juta orang manakala etnik Cina membentuk 23 peratus dan selebihnya adalah etnik India.

Sebahagian besar parti-parti politik di Malaysia adalah berasaskan kaum, termasuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)  yang diterajui Najib yang juga pemimpin gabungan parti pemerintah BN.

‘Zalim’

Terdahulu, kira-kira 1,000 orang yang memakan kemeja T berwarna kuning gerakan reformasi pilihan raya, Bersih, berarak ke arah bangunan Parlimen dengan diketuai oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Beliau telah meninggalkan parti pemerintah itu pada tahun 2016, dengan mendakwa bahawa ia melindungi Najib daripada pertuduhan rasuah.

Mahathir berkata, BN berjaya membolehkan usul itu diluluskan dengan mudah  tanpa memberikan ruang secukupnya untuk ia dibahaskan.

"Undang-undang memerlukan lebih banyak masa untuk dibahaskan. Undang-undang ini hanyalah untuk pilihan raya umum, "kata Mahathir semasa mengulas perbahasan usul persempadana semula itu yang hanya mengambil masa setengah hari.

"Ini adalah satu bentuk kezaliman," katanya.

Mahathir telah dipilih sebagai calon pilihan perdana menteri oleh pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, sekiranya ia dapat memenangi lebih banyak kerusi Parlimen iaitu daripada 90 kepada majoriti mudah 112 kerusi atau lebih.

Lim, ketua pembangkang yang digantung daripada menghadiri prsidangan Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen dan penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Batu Pahat, telah mempersoalkan keputusan Pandikar Amin yang menghalang cadangan persempadanan semula itu daripada diumumkan semasa ia diserahkan kepada semua Ahli Parlemen minggu lalu.

Dalam sidang media sejurus selepas usul itu diluluskan, Lim berkata persempadanan semula itu bertujuan melindungi Najib dan gabungan parti-parti BN.

"Hari ini, Parlimen mengundi usul yang mahu melindungi Najib dan BN, esok ia akan mengundi untuk melindungi Najib daripada 1MDB dengan undang-undang antiberita palsu. Pilihan adalah adalah di tangan para pengundi sama ada mahu membenarkannya berlakuuntuk membolehkannya berjaya, "katanya kepada pemberita.

Rang undang-undang antiberita palsu itu yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin akan menjadikan perbuatan menyebarkan berita palsu sebagai suatu jenayah yang boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara.

Skandal 1MDB

Najib mungkin menghadapi pertempuran pilihan raya yang paling sukar pada pilihan raya umum ini  sukar berikutan skandal rasuah besar-besaran yang melibatkan dana pelaburan milik kerajaan, 1MDB. Barisan pemerintahan BN kehilangan majoriti besar pada 2008 dan menyaksikan undi majoriti mereka semakin mengecil pada 2013.

Skandal yang berkaitan 1MDB telah membawa kepada penyiasatan peringkat antarabangsa dengan tindakan terbaru adalah rampasan sebuah kapal layar mewah yang didakwa dibeli dengan dana yang dicuri daripada 1MDB oleh hartawan Malaysia, Low Taek Jho, sasaran utama penyiasatan pengubahan wang haram oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Najib mengakui menerima hampir AS$ 681 juta dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya 2013, tetapi berkata wang itu adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi. Para pegawai perdana menteri dan 1MDB telah menafikan dakwaan berhubung penyelewengan wang itu.

Kontroversi mengenai skandal 1MDB telah mencetuskan pandangan yang negatif terhadap Najib sejak 2015, tetapi pembangkang terus berusaha untuk menjejaskan sokongan luar bandar terhadap Najib, menurut penganalisis.

Parti baru Mahathir, Bersatu, pula memberi tumpuan kepada meraih undi majoriti kaum Melayu Muslim, kata presidennya, Muhyiddin Yassin, kepada BeritaBenar awal bulan ini.

"Strategi kami adalah untuk menarik sokongan daripada orang Melayu yang pernah menyokong BN dan terutamanya UMNO," katanya, sambil menyatakan bahawa pada 2013, pembangkang telah memenangi 52 peratus undi popular tetapi masih gagal membentuk kerajaan.

“Saya percaya jika ada tambahan 5 peratus, mungkin menjadi 55 peratus atau 57 peratus, yang kemungkinan besar berlaku terutama di kalangan orang Melayu, kemenangan itu pasti menjadi milik Pakatan Harapan," katanya.

Awal bulan ini, kerajaan Najib mula mengagihkan kira-kira AS$1.6 bilion kepada berjuta-juta rakyat berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi pengkritik membidas langkah itu dengan mendakwa ia sebagai daripada usaha membeli undi rakyat menjelang pilihan raya umum.


Ahli-ahli pakatan pembangkang memegang sepanduk yang tertera "Bangkit Rakyat, Hentikan Penipuan" pada sidang berita selepas Parlimen meluluskan usul persempadanan semula, 28 Mac 2018. [Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.