Malaysia gesa ASEAN bina rantaian industri pertahanan, elak bergantung kuasa luar
2025.02.26
Kuala Lumpur

Negara-negara Asia Tenggara perlu membangunkan rantaian bekalan dalam industri pertahanan bagi menjadinya lebih berdikari dalam melindungi rantau ini daripada ancaman keselamatan, kata Menteri Pertahanan Malaysia ketika menjadi tuan rumah mesyuarat rakan sejawatannya dari ASEAN.
Menteri Mohamed Khaled Nordin menggesa negara anggota pertubuhan serantau itu meningkatkan kerjasama dalam industri pertahanan bagi mengurangkan kebergantungan secara kolektif terhadap kuasa luar untuk memperoleh senjata dan kelengkapan ketenteraan, ketika mereka berdepan cabaran keselamatan seperti pertikaian di Laut China Selatan.
“Memajukan industri pertahanan ASEAN adalah penting untuk mengurangkan pergantungan kepada pembekal luar dan memupuk kebergantungan serantau dalam perolehan pertahanan serta pembangunan teknologi,” katanya pada Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Pulau Pinang pada Rabu.
“Kelangsungan jangka panjang inisiatif ini bergantung kepada usaha memperkukuh hubungan dalam industri pertahanan antara negara anggota ASEAN. Selain itu, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan pertahanan juga memerlukan pendekatan baharu seperti kemungkinan penerimaan piawaian yang diselaraskan di rantau ini,” katanya.
Tingkat keselamatan maritim
Menteri Pertahanan Malaysia turut menggesa blok serantau yang dianggotai 10 negara untuk meningkatkan rondaan maritim.
“Malaysia mencadangkan supaya kita [ASEAN] meningkatkan operasi bagi memastikan keselamatan maritim di rantau kita berikutan cabaran di Laut China Selatan serta keperluan untuk kita semua memastikan kebebasan pelayaran, menegakkan undang-undang antarabangsa dan mengelakkan kawasan ini daripada menjadi medan pertempuran kuasa besar,” kata Mohamed Khaled kepada media pada acara tersebut.
“Rantau ini berdepan ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang tidak dapat ditangani oleh satu negara secara bersendirian,” katanya.
Malaysia merupakan antara empat negara ASEAN yang mempunyai tuntutan bertindih di kawasan perairan Laut China Selatan yang percayai kaya dengan mineral dan gas itu.
Tuntutan tersebut turut melibatkan Filipina, Vietnam dan Brunei dengan masing-masing turut berdepan dengan tekanan dari China yang menuntut hampir keseluruhan perairan tersebut.
Selama bertahun-tahun, ASEAN dan China berunding mengenai “kod tatalaku” bagi perairan tersebut tetapi masih jauh untuk mencapai kata sepakat.

Ketika tiba giliran untuk berucap, Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro Jr., menekankan tentang kepentingan untuk negara ASEAN untuk bersatu dalam menangani ancaman keselamatan serantau.
“ASEAN telah memastikan tempoh keamanan paling lama di rantau ini sejak Perang Dunia Kedua. Namun, keamanan ini kini terancam – bukan kerana kita tidak mampu mempertahankannya, tetapi kerana ketiadaan kesepakatan dalam isu-isu utama,” kata Teodoro kepada rakan sejawatannya.
“Bersikap diam terhadap pelanggaran undang-undang akan melemahkan ASEAN.”
Beliau menggesa negara anggota ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dalam memperluaskan rondaan maritim bersama, latihan ketenteraan dan perkongsian maklumat risikan dalam kalangan angkatan pertahanan blok itu, sambil menolak “usaha pihak luar untuk menimbulkan perpecahan di Asia Tenggara” – satu sindiran jelas terhadap China.
Sejak kebelakangan ini, ketegangan dua hala kian meningkat susulan beberapa insiden antara Filipina dan China di perairan Laut China Selatan yang berada dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina.
Menurut Teodoro, pertikaian di Laut China Selatan bukan sekadar isu domestik atau serantau malah ia merupakan “isu global” yang menjejaskan kestabilan antarabangsa.
“Teras kepada perkara ini adalah hak asasi negara-negara kecil – khususnya negara anggota ASEAN – untuk hidup dalam keadaan aman, melindungi sempadan dan menentukan hala tuju mereka sendiri,” kata Teodoro.

Keselamatan maritim
Usaha keselamatan bersama seperti Perjanjian Kerjasama Tiga Pihak 2017 antara Filipina, Indonesia dan Malaysia – yang menumpukan kepada kerjasama keselamatan maritim di Laut Sulu dan Laut Sulawesi – perlu dikembangkan lagi untuk menangani kebimbangan serantau, kata Menteri Pertahanan Filipina itu lagi.
Teodoro turut menyatakan bahawa ASEAN perlu mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mempertahankan undang-undang dan norma antarabangsa.
“Kita harus menolak sebarang bentuk paksaan dan berkongsi maklumat mengenai aktiviti pihak asing yang merugikan kepentingan negara kita, seperti penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia dan migrasi haram, yang merosakkan struktur sosial masyarakat kita,” kata Teodoro.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, operasi pusat penipuan telah berkembang secara tidak terkawal di beberapa negara Asia Tenggara seperti Kemboja, Laos dan Myanmar di mana ratusan mangsa pemerdagangan manusia telah dipaksa bekerja dalam skim penipuan dalam talian dan pusat panggilan palsu.