Selepas sedekad, waris mangsa MH17 masih tuntut keadilan
2024.07.15
Kuala Lumpur
Muhammad Faizal Abdul Rahim, abang kepada pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH17, Muhamad Firdaus melahirkan rasa gusar kerana sedekad selepas pesawat penumpang itu ditembak jatuh, keluarga hampir 300 mangsa masih berjuang untuk mendapatkan keadilan.
Dia mahu ketiga-tiga lelaki yang dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah di Belanda dipertanggungjawabkan atas tragedi itu dan mereka perlu ditangkap untuk dipenjara seumur hidup.
“Sepuluh tahun telah berlalu dan tragedi MH17 masih membekas dalam hati kerana kami terus menuntut keadilan untuk mangsa. Keluarga kami mahu mereka yang bertanggungjawab atas tragedi itu dihukum atas perbuatan mereka,” kata Muhammad Faizal kepada BenarNews beberapa hari sebelum peringatan ulang tahun ke-10 serangan itu pada Rabu.
“Apa yang paling mengecewakan kami ialah pelakunya masih bebas. Kami berharap mereka ditemui dan menghadapi hukuman setimpal atas apa yang mereka lakukan.”
Pada 17 Julai 2014, pesawat Boeing 777 dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh oleh peluru berpandu Buk buatan Rusia yang ditembak dari di wilayah Donetsk yang dikawal oleh pemberontak pemisah, menurut siasatan Belanda pada 2015 .
Serangan itu mengorbankan 298 penumpang dan kru di dalam pesawat itu termasuk 198 warga Belanda, Malaysia (43), Australia (38) dan 10 dari United Kingdom.
Mangsa melibatkan 10 kewarganegaraan kesemuanya.
Pada 2022, mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki Rusia, Igor Girkin dan Sergey Dubinskiy dan seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko secara "in absentia" (tidak hadir) atas tuduhan membunuh.
Ketiga-tiga mereka masih bebas. Seorang lagi lelaki, Rusia Oleg Pulatov telah dibebaskan.
Tahun lalu, pendakwa Belanda berkata terdapat petunjuk kukuh bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin membekalkan sistem peluru berpandu Buk kepada pemisah Ukraine, senjata yang menjatuhkan MH17.
Kremlin telah menafikan sebarang penglibatan dalam serangan 2014 yang berlaku beberapa tahun sebelum pencerobohan Russia pada 24 Februari 2022 ke atas Ukraine.
“Rusia tidak bekerjasama dengan penyiasatan dan banyak permintaan undang-undang kepada Persekutuan Rusia tidak dijawab,” Brechtje van de Moosdijk, jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Belanda memberitahu BenarNews melalui e-mel.
Moosdijk berkata terdapat dua cara undang-undang yang sedang dijalankan oleh Belanda dan Australia - satu oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan satu lagi Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) yang bertujuan untuk memastikan Rusia bertanggungjawab.
Namun, Rusia menarik diri daripada prosiding ICAO pada bulan lepas.
Di Malaysia pada Isnin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan komitmen kerajaan untuk meneruskan tindakan undang-undang antarabangsa.
"Kita akan terus mengambil langkah undang-undang, yang sekarang sedang berjalan," kata Loke kepada BenarNews pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.
"Malaysia terlibat bersama-sama negara lain dalam mengambil tindakan undang-undang antarabangsa berhubung MH17," katanya tanpa mengulas lanjut.
Tidak seperti Belanda dan Australia, Loke tidak menamakan Rusia secara jelas, mengulangi pendiriannya pada 2018 ketika beliau berkhidmat sebagai menteri pengangkutan semasa pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Setahun kemudian, Mahathir menyokong bantahan Rusia terhadap siasatan MH17 dan menggelar siasatan yang diketuai Belanda "berat sebelah dari awal."
Orysia Lutsevych, timbalan pengarah Program Rusia dan Eurasia Chatham House, sebuah badan pemikir United Kingdom berkata Malaysia sedang berjalan seiringan dengan Kremlin.
“Malaysia mengambil langkah berhati-hati dengan Putin kerana mereka tidak mahu memusuhi mereka. Siasatan antarabangsa adalah jelas, warga dan senjata Rusia menyebabkan tragedi itu,” kata Lutsevych kepada BenarNews.
Sikap berkecuali
Malah sekarang, Malaysia telah berkecuali dalam kebanyakan hubungan diplomatik terutamanya bagi tujuan ekonomi, kata penganalisis.
Oh Ei Sun, felo kanan dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Malaysia lebih baik dilayan dengan mengejar kepentingan ekonomi substantif daripada terperangkap dalam isu geopolitik.
“Secara umumnya dalam melaksanakan hal ehwal antarabangsa, berusaha untuk mendapatkan keadilan selalunya sangat pragmatik dan berkait rapat dengan kepentingan ekonomi, lebih-lebih lagi dalam kes negara membangun di mana skala sering kali lebih cenderung kepada pihak kedua,” Oh memberitahu BenarNews.
“Berbeza dengan konflik Palestin-Israel, di mana terdapat dimensi agama-persaudaraan, Malaysia nampaknya tidak berminat dengan konflik Rusia-Ukraine.”
Sementara itu, Azmi Hassan, felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata Malaysia pernah berasa seperti "orang buangan" semasa pembentukan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang merangkumi pihak berkuasa dari Australia, Belgium, Belanda, Ukraine dan Malaysia.
“Pada masa itu, Malaysia dilihat terlalu rapat atau berlembut terhadap Rusia dan proksinya. Apabila JIT mengeluarkan laporan mengaitkan pemberontak di Ukraine dengan Rusia, Mahathir tidak bersetuju dengan laporan itu walaupun kami adalah sebahagian daripadanya.
"Di mata Malaysia, MH17 telah digunakan sebagai alat geopolitik ... dan Malaysia tidak berpuas hati," katanya kepada BenarNews.
Tuntutan global
Keluarga mangsa di seluruh dunia menuntut pemimpin politik mengambil sikap yang lebih kuat berhubung tragedi pesawat itu.
Piet Ploeg, pengerusi Yayasan Bencana MH17 yang mewakili keluarga mangsa berkata, terdapat keperluan untuk tekanan antarabangsa terhadap Rusia untuk bekerjasama.
"Semua maklumat tentang anak kapal sistem Buk dan individu lain yang bertanggungjawab perlu datang dari Rusia dan Rusia tidak memberi kerjasama sama sekali," kata Ploeg kepada BenarNews.
"Jika sekatan membantu, negara [terjejas] harus mempertimbangkan perkara ini," kata Ploeg, yang kehilangan abang, kakak ipar dan anak saudaranya dalam tragedi itu.
Minggu lalu, Peguam Negara Australia Mark Dreyfus mengesahkan komitmen negaranya untuk memberikan keadilan bagi mangsa serangan.
“Kami mengingati mangsa. Australia mengingati mereka. Masyarakat antarabangsa mengingati mereka. Bersama-sama, kami akan menghormati ingatan mereka dan terus mencari keadilan atas kehilangan mereka,” kata Dreyfus dalam satu kenyataan pada 4 Julai lalu.
Malaysia telah membelanjakan lebih RM27 juta (AS$5.78 juta) untuk membiayai perbicaraan MH17, kata Loke kepada Parlimen pada Mac 2023.
Lapan bulan kemudian pada November, beliau berkata pampasan telah diselesaikan dibayar kepada 43 keluarga mangsa rakyat Malaysia, tetapi jumlahnya kekal sulit antara Malaysia Airlines dan pihak keluarga waris.
Darlina Kwan, adik bongsu pramugari MH17 Dora Shahila Kassim berkata, keluarganya memilih untuk tidak menghadiri majlis peringatan ulang tahun ke-10 di Amsterdam, sebaliknya memilih untuk bertafakur di rumah kerana faktor kesihatan ibunya.
Beliau menyeru kerajaan untuk mengekalkan sokongan kewangan dan emosi kepada waris mangsa.
“Saya hanya berharap pihak kerajaan dan Malaysia Airlines sentiasa menghubungi semua individu terbabit dan waris MH17 bagi memberikan sokongan kepada kami,” kata Darlina kepada BenarNews.