Malaysia tubuh pasukan petugas khas tangani komen jelik terhadap agama, kaum dan raja
2023.04.13
Kuala Lumpur
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat dan menangani kenyataan-kenyataan yang bersifat menghina terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R), dengan para penganalisis berkata terdapat peningkatan kes sedemikian sejak dua tahun lalu dan semakin banyak sejak pilihan raya umum diadakan hujung tahun lepas.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh ibu pejabat polis Bukit Aman, pihak berkuasa itu telah membuka tujuh kertas siasatan dalam tempoh 11 hari antara 27 Mac dan 6 April membabitkan kes-kes berkaitan 3R, dan pasukan petugas tersebut akan memastikan semua siasatan disiapkan dengan secepat mungkin.
Pada bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan amaran terhadap pihak-pihak yang cuba mencetuskan ketegangan agama dan kaum di dalam negara, ekoran peningkatan kenyataan berunsur retorik perkauman sejak kerajaan campuran pimpinannya mengambil alih pemerintahan negara pada November lalu.
"Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan Task Force siasatan 3R yang diketuai oleh pengarah Jabatan Siasatan Jenayah pada 22 Mac bagi memastikan siasatan kes penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja dijalankan dengan segera," kata Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, pasukan petugas itu ditubuhkan dengan objektif menyegerakan siasatan kes-kes penghinaan terhadap 3R dalam tempoh tujuh hari sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Noorsiah, di antara 27 Mac dan 6 April sahaja, pasukan itu telah membuka tujuh kertas siasatan, dengan empat daripadanya membabitkan penghinaan terhadap institusi diraja, dua kes penghinaan terhadap agama, dan satu kes berkenaan kenyataan berunsur perkauman.
Daripada tujuh kes berkenaan, tiga kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara manakala empat lagi masih dalam proses siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah.
"Setakat ini, dua individu telah ditahan dalam kes membabitkan penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman, manakala seorang lagi sedang dalam proses dikesan," kata beliau.
Noorsiah turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan bijak dan tidak memuatnaik sebarang gambar, video atau bahan yang boleh menjurus kepada fitnah, menyakiti hati orang lain atau mengundang kemarahan masyarakat dan menyebabkan kekacauan, terutama yang menyentuh isu 3R.
Ini adalah bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia terus terpelihara, tegas pegawai kanan polis itu.
"Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan," kata Noorsiah.
Dalam kes terbaru, polis pada Rabu menyatakan bahawa mereka telah menahan dua lagi individu berkaitan aktiviti mereka di media sosial, termasuk seorang lelaki bernama Roslizal Razali yang ditangkap di Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman.
Seorang lagi pengguna Facebook bernama Raja Hairun pula telah ditahan di negeri Pahang kerana dikatakan telah menghina institusi diraja.
Peningkatan ketegangan
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama, dengan etnik Melayu yang hampir kesemuanya beragama Islam merupakan majoriti iaitu hampir 70 peratus daripada populasinya. Etnik Cina pula merupakan kaum kedua terbesar dengan 22.8 peratus, diikuti etnik India dengan 6.6 peratus.
Beberapa orang penganalisis tempatan berkata terdapat peningkatan isu dan insiden berunsur ketegangan kaum sejak kerajaan berbilang kaum pimpinan Anwar mengambil alih pemerintahan negara pada November.
Antara insiden itu termasuk laporan polis dibuat ke atas seorang menteri yang didakwa cuba mempromosi agama Kristian kepada belia Islam, dan ugutan bunuh terhadap seorang pengarah dan penulis skrip sebuah filem "Mentega Terbang", yang dilihat sesetengah pihak sebagai menghina Islam disebabkan babak-babak yang cuba mempertikaikan kepercayaan penganutnya.
Pakar dalam isu keselamatan percaya bahawa tindakan segera oleh pihak berkuasa adalah sesuatu yang perlu dalam menangani peningkatan trend hasutan kebencian di Malaysia, terutama sekali oleh pemimpin politik yang dilihat berisiko merosakkan keharmonian antara kaum dan agama di negara itu. Mereka juga percaya undang-undang khas perlu digunakan dalam menangani kes sedemikan.
"Kebimbangan mengenai trend yang meningkat dalam kes seumpama ini bukan hanya membabitkan orang awam tetapi ia adalah lebih ketara di kalangan pemimpin politik, yang boleh menyebabkan keburukan lebih besar sehingga ke tahap menggugat keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia," kata P. Sundramoorthy, seorang kriminalogis dari Universiti Sains Malaysia, kepada BenarNews.
Kata beliau, Malaysia perlu mewujudkan undang-undang spesifik mengenai jenayah kebencian bagi menghalang insiden sedemikian daripada berulang.
"Kita perlukan undang-undang yang spesifik, di mana kegunaan utamanya ialah supaya pihak berkuasa boleh bertindak lebih efektif dan menyeluruh dalam siasatan mereka."
Sundramoorthy juga menyuarakan kebimbangannya terhadap mesej-mesej berunsur prejudis, diskriminasi dan negatif yang semakin banyak dimuatnaik atau dikongsi melalui platform media sosial seperti Whatsapp dan Facebook.
"Sekarang ini ramai yang menyangka mereka boleh terlepas daripada tindakan, dan kita perlu memperuntukkan hukuman yang lebih keras sebagai langkah pencegahan. Kita kena ingat bahawa kebanyakan perang saudara yang berlaku di dunia ini dan berlarutan sehingga berdekad lamanya adalah disebabkan isu agama dan kaum," kata beliau.
Bagaimanapun, seorang lagi pakar jenayah percaya bahawa mempunyai undang-undang baharu sahaja tidak mencukupi tanpa tindakan penguatkuasaan yang ketat.
"Apa yang sedang berlaku sekarang ini akan menjadi lebih serius, sebahagiannya adalah kerana langkah penguatkuasaan tidak dibuat dengan begitu baik. Tindakan yang tegas dan segera perlu dibuat apabila membabitkan isu agama, kaum dan institusi diraja," kata Shahul Hamid Abdul Rahim kepada BenarNews.
Tambah Shahul, pindaan undang-undang atau mempunyai peruntukan yang keras sebagai pencegahan adalah tidak bermakna sekiranya tindakan tidak diambil terhadap mereka yang mencetuskan kebencian dalam isu 3R.
"Ketiadaan kawalan terhadap bahan dan muatnaik di media sosial memburukkan lagi situasi. Pada pandangan saya, undang-undang yang ada sekarang sudah mencukupi untuk menghukum dan mencegah. Tetapi sekiranya ia dilihat tidak mencukupi, maka buatlah pindaan dan berikan peruntukan hukuman yang lebih keras sekiranya perlu," kata beliau.
Peguam jenayah veteran Naran Singh pula mencadangkan supaya mana-mana rakyat yang menghina atau mempersoalkan institusi diraja hendaklah dibuang kerakyatan mereka.
"Terdapat peruntukan undang-undang yang cukup bagi menangani isu berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja. Jika kita mengikut prinsip kebangsaan termasuk kesetiaan kepada raja dan negara, kedudukan raja-raja adalah dilindungi.
"Pada saya senang saja. Sesiapa yang menghina atau mempersoalkan raja harus dibuang kerakyatan mereka. Mereka tidak layak menjadi rakyat Malaysia. Mereka harus ingat bahawa kerakyatan adalah satu keistimewaan, bukan hak mutlak," kata Naran kepada BenarNews.
Tambah beliau, mereka yang membuat penghinaan terhadap institusi diraja hanya akan sedar faedah dinikmati mereka sebagai rakyat Malaysia, termasuk akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, selepas kerakyatan mereka ditarik.
Di Malaysia, komen-komen berunsur menghina agama, bangsa dan institusi diraja boleh disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda serta penjara sehingga lima tahun.
Selain itu, terdapat juga undang-undang spesifik terhadap kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.