‘Emir’ Militan Negara Islam di Asia Tenggara Terbunuh: Filipina

Jeoffrey Maitem, Froilan Gallardo, Mark Navales & Richel V. Umel
2017.10.16
Marawi, Filipina
111016Terror-620.jpg Panglima Tentera Filipina Jeneral Eduardo Ano menunjukkan gambar-gambar mayat Isnilon Hapilon, pemimpin tempatan Negara Islam yang diiktiraf, dan Omarkayam Maute, pemimpin puak Maute yang mengetuai serangan militan di selatan bandar Marawi, 16 Okt 2017.
[Richel V. Umel/BeritaBenar]

Pemimpin Cawangan Negara Islam (IS) Filipina di Asia Tenggara, Isnilon Hapilon, terbunuh di selatan bandar Marawi di mana pasukan tentera telah terlibat dalam pertempuran bagi mengusir kumpulan militan itu sejak Mei, kata Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana pada Isnin.

Isnilon Hapilon, seorang pemimpin kumpulan penculik Abu Sayyaf yang bersekutu dengan IS, telah terbunuh bersama-sama Omarkhayam Maute, seorang lagi pemimpin militan, dalam satu pertempuran yang berlaku pada awal pagi Isnin, kata Lorenzana.

“Mereka telah disahkan terkorban,” kata Lorenzana kepada pemberita di Manila sambil menambah kematian Hapilon boleh membantu “membasmi” ancaman IS secara menyeluruh di selatan Filipina.

“Kami telah menerima satu laporan daripada komander di lokasi di Marawi bahawa operasi yang dilakukan oleh tentera kerajaaan untuk merampas semula kubu kuat terakhir Daesh-Maute di bandar itu telah menyebabkan dua pemimpin terakhir pengganas Hapilon serta Omar terbunuh dan mayat mereka telah dibawa keluar oleh unit operasi kami,” katanya merujuk kepada IS dengan menggunakan nama lain.

Lorenzana memberi amaran kepada orang ramai agar bersedia untuk berdepan lebih banyak serangan, terutama di pulau-pulau berhampiran Basilan dan Sulu di selatan Filipina di mana IS memiliki sel-sel pengganas yang aktif.

“Kami sudah bersedia. Pasukan tentera kami juga sudah bersedia. Kami tahu ini merupakan modus operandi pihak musuh,” katanya.

Berita kematian Hapilon timbul susulan laporan berlakunya pertempuran sengit di Marawi pada hujung minggu, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 20 tentera termasuk seorang kolonel cedera manakala sekurang-kurangnya 17 tebusan dibebaskan.
Hapilon dan Maute terbunuh apabila pasukan tentera, diketuai unit elit Scout Rangers, berjaya mara ke hadapan, kata Lorenzana.

Kematian Hapilon mampu menamatkan krisis Marawi namun para pegawai berkata pemimpin-pemimpin militan lain di selatan boleh mengambil alih kedudukan beliau.

Lebih 160 anggota tentera dan polis, 822 militan serta 47 orang awam terbunuh sejak 23 Mei apabila kumpulan militan melancarkan serangan ke atas Marawi, kata para pegawai.

Emir IS di Asia Tenggara

Hapilon muncul sebagai pemimpin keseluruhan IS di Asia Tenggara tahun lepas. Beliau merupakan antara pemimpin kumpulan Abu Sayyaf yang bertanggungjawab melakukan keganasan di selatan sejak 1990-an, termasuk penculikan dan tindakan memenggal kepala tebusan warga asing.

Awal tahun ini, kumpulan itu telah memenggal kepala seorang tebusan warga Jerman berusia 70 tahun selepas kerajaan negara terbabit menolak tuntutan penculik untuk membayar wang tebusan sebanyak $600,000. Tahun lepas, mereka turut memenggal kepala dua warga Kanada yang diculik dari sebuah resort pantai di selatan Filipina.

Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan peribadi Hapilon meskipun maklumat risikan Filipina menunjukkan bahawa militan itu dilahirkan pada 1966 dan pernah menjadi komander Gerakan Pembebasan Islam Moro (MNLF), bekas kumpulan pemberontak Islam yang telah memeterai perjanjian damaai dengan Manila pada pertengahan tahun 1990-an.

Hapilon kemudian menjadi seorang daripada pemimpin Abu Sayyaf, puak bersenjata Islam paling ganas di selatan Filipina yang pada mulanya berikrar akan memperjuangkan satu negara berasingan namun kemudiannya dibubarkan dan berubah menjadi penjarah.

Hapilon, yang dianggap sebagai “emir” IS di rantau ini, berada dalam senarai pengganas paling dikehendaki kerajaan Amerika Syarikat, dan ganjaran $5 juta ditawarkan berikutan peranannya menculik 20 tebusan dari sebuah resort di selatan Filipina pada 2001, termasuk tiga rakyat Amerika.

Dua tebusan rakyat Amerika terbabit kemudian dibunuh, seorang daripadanya telah dipenggal manakala yang ketiga dibebaskan selepas tiga tahun ditahan dalam hutan.

Lorenzana berkata tentera kini memfokus kepada memburu militan warga Malaysia, Mahmud Ahmad, seorang profesor universiti yang dianggap sebagai pembiaya militan di selatan Filipina.

Sebelum ini pihak tentera telah menyifatkan Mahmud sebagai dalang yang membiayai serangan Marawi. Beliau digambarkan sebagai pernah berlatih di kem-kem al-Qaeda di Agfhanistan pada 1990-an ketika belajar di Universiti Islam Islamabad.

Beliau berkata kerajaan akan membuat pengumuman untuk menghentikan persengketaan di Marawi selepas mendapat pengesahan bahawa tiada lagi “pengganas sesat” di bandar itu.

Doa dimakbulkan


Zia Alonto Adiong, seorang jurucakap bagi jawatankuasa pengurusan krisis wilayah, berkata kematian Hapilon dan Omar menandakan pertempuran selama lima bulan telahpun berakhir.

“Kami amat gembira. Inilah yang kami nanti-nantikan. Ini adalah satu petanda bahawa pertempuran sudah berakhir,” kata Adiong.

Penduduk yang tersingkir akibat pertempuran itu gembira dengan kematian kedua-dua pemimpin militan yang merupakan antara perancang utama pengepungan bandar tersebut.

Nairah Ampaso, 28, seorang ibu kepada lima anak yang tinggal di pusat pemindahan di ibu kota wilayah itu berkata Allah telah mengabulkan doa mereka.

“Kami berdoa agar kesemua pemimpin ini terbunuh,” katanya. “Saya gembira mereka terbunuh.”

“Saya harap kematian mereka bermakna peperangan sudah berakhir dan kami boleh pulang ke rumah,” tambahnya.

Nafisa Dimaro, 24, yang rumahnya musnah dalam serangan udara di Raya Madaya iaitu salah satu zon utama peperangan, berkata beliau percaya Allah tidak akan menerima roh pemimpin-pemimpin militan itu dalam syurga.

“Baguslah roh mereka tidak boleh masuk syurga. Mereka menyebabkan kemusnahan yang begitu banyak. Anak-anak saya begitu menderita,” katanya.

Sekeping gambar yang diedarkan kepada pemberita oleh tentera Filipina menunjukkan mayat Isnilon Hapilon, pemimpin cawangan Negara Islam di Asia Tenggara, dan Omarkhayan Maute, 16 Okt 2017.
[FOTO/HO/AFP]


Undang-Undang Tentera

Kematian Hapilon seharusnya turut mendorong kerajaan Presiden Rodrigo Duterte untuk segera menarik balik undang-undang tentera di selatan “lebih cepat berbanding kemudian” dan pemulihan Marawi disempurnakan secepat mungkin, kata Rep. Gary Alejano, bekas kapten marin.

“Kesemua ini merupakan faktor kritikal dalam memulihkan keadaan seperti biasa di kawasan itu,” katanya. “Kami berharap dapat membawa pulang saudara-saudara Maranao kami ke kediaman mereka bagi membolehkan mereka memulakan hidup baharu.”

Beliau berkata kerajaan perlu bertindak segera untuk memulihkan keadaan seperti biasa di Marawi.

“Penyembuhan bukan perpecahan, tadbir urus baik bukan peperangan, kehidupan bukan peluru dan bom, pemahaman bukan kejian dan ancaman,” katanya. “Inilah masanya kami memerlukan segala sokongan daripada sekutu kami daripada mengasingkan diri kami.”



Felipe Villamor di Manila menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.