Pemimpin Filipina Isytihar Marawi Bebas Pengganas

Jeoffrey Maitem, Richel V. Umel, Froilan Gallardo & Mark Navales
2017.10.17
Marawi, Filipina
171017-MARAWI-620.JPG Anggota tentera menabik hormat bendera Filipina ketika Presiden Rodrigo Duterte bersiap sedia untuk menyampaikan ucapan di bandar Marawi, 17 Okt 2017.
[Jeoffrey Maitem/BeritaBenar]

Presiden Rodrigo Duterte telah mengisytiharkan bandar Marawi sebagai bebas daripada pengganas padaSelasa, sehari selepas pasukan tentera membunuh Isnilon Hapilon, pemimpin cawangan Negara Islam (IS) di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, sorakan kegembiraan di bandar selatan Filipina itu berlatarbelakangkan letupan berselang-sesi ketika kira-kira 30 militan sesat yang diketuai rakyat Malaysia Mahmud Ahmad cuba mencari jalan untuk memboloskan diri, menurut para pegawai tentera.

“Tuan-Tuan dan Puan-Puan, saya dengan ini mengisytiharkan bahawa bandar Marawi telah bebas daripada pengaruh pengganas yang menandakan bermulanya fasa pemulihan,” kata Duterte dalam ucapan ringkas beliau ketika melakukan lawatan khas ke atas pasukan tentera di bandar yang dilanda peperangan itu, sementara pegawai atasan tentera dan pasukan pertahanan mengelilinginya di atas pentas.

Beliau turut berjanji kepada “tentera kesayangannya,” kebanyakan daripada mereka sanggup kembali ke barisan depan meskipun mengalami kecederaan sebelum itu, bahawa pengorbanan mereka tidak akan dilupakan.

Jurucakap tentera Mejar Jeneral Estituto Padilla berkata operasi di Marawi hampir tiba ke penghujungnya, namun beliau menasihati anggota tentera agar mereka jangan sesekali terleka.

Padilla berkata pembebasan Marawi “tidak bermakna ketegangan atau pertempuran sudahpun berakhir,” dan menambah bahawa Mahmud disokong oleh beberapa pejuang asing yang masih menahan 20 tebusan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Ketika ini, pasukan tentera kami kekal di kawasan pertempuran bagi meneruskan pencarian elemen bersenjata dan berusaha menyelamatkan saki-baki tebusan di lokasi seluas dua hektar yang masih menjadi arena pertempuran,” kata Padilla sambil menambah bahawa sebanyak 80 struktur belum dibersihkan.

Padilla berkata pengisytiharan Duterte akan “membuka jalan kepada pembinaan semula bandar itu” malah beliau menekankan bahawa pasukan tentera akan bertungkus-lumus untuk membersihkan kawasan tersebut dan menyelamatkan tebusan.

“Dr Mahmud kekal sebagai antara sasaran bernilai tinggi dalam operasi kami yang masih dijalankan,” katanya.

‘Kami sudah sedia’


Pernah menjadi seorang profesor di sebuah Universiti Malaysia di Kuala Lumpur, Mahmud, 39, didakwa sebagai pembiaya militan yang menawan bandar berpemandangan indah suatu ketika itu dan dihuni 200,000 penduduk. Beliau pernah berlatih di kem-kem al-Qaeda di Afghanistan pada 1990-an ketika belajar di Universiti Islam Islamabad.

Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Malaysia Mohamad Fuzi Harun pada Selasa berkata pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga di timur negeri Sabah bagi menghalang Mahmud atau penyokongnya menyeberangi laut dari kawasan berhampiran selatan Filipina.

“Ketika ini, berdasarkan maklumat yang kami terima, terdapat lima rakyat Malaysia di Marawi dan bahagian selatan Filipina,” katanya kepada pemberita. “Kami sentiasa berjaga-jaga dan jika mereka kembali, kami sudah bersedia.”

Di Jakarta, seorang timbalan pegawai agensi anti-pengganas nasional Indonesia (BNPT) berkata pihak berkuasa negara itu di Kepulauan Borneo dan Indonesia yang berhampiran selatan Filipina turut memantau rapi kawasan sempadan.

“Kami kini mengambil langkah berjaga-jaga, terutama di kawasan sempadan seperti Maluku Utara, Sulawesi Utara dan Kalimantan Tenggara (wilayah),” kata Ketua Polis BNPT Arief Darmawan kepada BeritaBenar pada Selasa.

Sesetengah militan yang masih berjuang di Marawi dipercayai adalah rakyat Indonesia, kata Arief tanpa mengulas lanjut.

“Kebanyakan mereka telah lama menetap di Marawi. Namun kami tidak memiliki butiran mengenai identiti mereka.

Beliau turut meramalkan bahawa terdapat sesetengah rakyat Indonesia menyertai kumpulan pengganas di Marawi.

Mahmud tidak mahir bertempur

Padilla turut memperlekeh kemampuan Mahmud dalam peperangan dan menyifatkan beliau sebagai seorang “ahli akademik” yang tidak mahir bertempur seperti Isnilon Hapilon, pemimpin keseluruhan IS di rantau ini, atau Omarkhayam Maute, pemimpin puak Maute. Kedua-duanya terbunuh pada Isnin ketika pasukan tentera kerajaan mara ke kawasan yang dikuasai pemberontak, kata para pegawai Filipina.

“Beliau tidak memiliki keupayaan untuk mengetuai pertempuran,” kata Padilla tentang Mahmud sambil menambah bahawa rakyat asing, Indonesia dan Malaysia yang masih bersama dengannya merupakan “bahagian teras kumpulan itu untuk berada di barisan depan ketika pertempuran.”

Hapilon, seorang pemimpin kumpulan pelampau tempatan, iaitu Abu Sayyaf, telah membina reputasi menerusi keganasan termasuk menculik dan memenggal kepala. Pada 2001, beliau mengatur penculikan 20 tebusan termasuk tiga rakyat Amerika, dari sebuah resort pantai di selatan Filipina.

Dua daripada rakyat Amerika terbabit kemudian telah dibunuh, dan perbuatan itu menyebabkan FBI meletakkan Hapilon dalam senarai paling dikehendaki serta menawarkan ganjaran AS$5 juta untuk penangkapannya.

Tahun lepas, Hapilon muncul sebagai “emir” IS di rantau ini.

Pertempuran di Marawi bermula pada 23 Mei apabila pihak tentera mengorak langkah untuk memberkas Hapilon. Namun mereka dikejutkan oleh pasukan pemberontak yang besar jumlahnya, termasuk militan tempatan yang diketuai dua bersaudara Abdullah dan Omarkhayam Maute.

Amerika Syarikat bersama-sama Australia, telah menyediakan sokongan dari segi maklumat risikan yang penting kepada tentera Filipina.

“Kami mengucapkan tahniah kepada rakan kami dalam Angkatan Bersenjata Filipina di atas laporan kejayaan mereka membunuh kedua-dua pemimpin yang menjadi dalang di sebalik pertempuran berbulan lamanya di Marawi: Isnilon Hapilon dan Omarkhayam Maute,” kata Molly Koscina, seorang jurucakap kedutaan AS di Manila, pada Selasa dalam satu kenyataan.

Anggota tentera berjalan memasuki bandar Marawi di selatan Filipina, 17 Okt 2017.[Jeoffrey Maitem/BeritaBenar]

Hal Polis

Sementara itu, Panglima Tentera Filipina Jeneral Eduardo Ano berkata saki-baki pasukan musuh tidak lagi dianggap sebagai satu ancaman serius sebaliknya “hal yang membabitkan penguatkuasaan undang-undang.”

“Apa yang tinggal kini ialah operasi pembersihan ke atas anggota sesat Maute-ISIS di kawasan yang terpencil,” kata Ado menggunakan akronim lain untuk IS. “Kita kini boleh memulakan fasa berikutnya, iaitu penilaian kerosakan yang sudahpun menjadi sebahagian daripada proses pemulihan dan pembinaan semula.”

Beliau berkata Maute bersaudara dan Hapilon dianggap sebagai “pusat graviti” bagi pejuang IS tempatan.

“Apabila kita katakan pusat, kekuatan merekalah yang menarik keseluruhan organisasi dan penyokong mereka. Kini mereka sudah tiada, impaknya begitu besar terhadap pergerakan ISIS yang mereka cuba wujudkan di Mindanao,” kata Ano.

“Mereka tidak dapat mencari pemimpin dengan segera. Malah apa yang akan berlaku ialah, memandangkan mereka tidak mempunyai ketua, pengikut mereka akan meninggalkan pergerakan mereka. Kami di pihak tentera tidak akan berehat dan sekadar melihat. Ia akan menjadi pembakar semangat kepada angkatan bersenjata dan polis serta agensi penguatkuasaan lain untuk memburu saki-baki anggota militan dan membanterasnya,” katanya.

Angka kematian agak besar dalam pertempuran yang berlanjutan hampir lima bulan itu, dengan sejumlah 822 militan dan 164 anggota tentera terbunuh. Sekurang-kurangnya 47 orang awam turut terkorban.


Felipe Villamor dn Manila, N. Nantha di Kuala Lumpur dan Tia Asmara di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.