Pemimpin IS Malaysia Terbunuh di Marawi, Kata Duterte

Felipe Villamor, Jeoffrey Maitem & Richel V. Umel
2017.10.19
Manila & Marawi, Filipina
171019-MARAWI-620.JPG Komando-Komando Tentera Laut Filipina menaiki sebuah bot pembedil, meronda Tasik Lanao di bandar selatan Marawi, ketika asap berkepulan di kawasan di mana kumpulan militan pro-Islam membuat kubu pertahanan terakhir mereka ketika diserang secara besar-besaran oleh pihak tentera, 19 Okt 2017.
[AP]

Seorang militan Malaysia yang dianggap sebagai perekrut terkemuka Negara Islam di Asia Tenggara dan pembiaya pengepungan Marawi telah terbunuh di bandar selatan Filipina itu, kata Presiden Rodrigo Duterte pada Khamis.

Beberapa jam sebelum itu, para pegawai tentera berkata Mahmud Ahmad mungkin antara 20 militan yang terbunuh dalam pertempuran semalaman, berdasarkan keterangan ‘boleh dipercayai’ seorang tebusan yang diselamatkan dari Marawi namun memberi amaran bahawa ia belum disahkan.

“Sekarang, seorang lagi – yang mereka panggil Doktor. Terdapat tiga orang – Hapilon, Omar dan Doktor … Dia telah dibunuh tengah hari ini, dan itu adalah penamatnya,” kata Duterte ketika berucap di Dewan Perniagaan dan Industri Filipina di Manila.  

Mahmud telah diberi gelaran “Doktor” kerana ijazah kedoktorannya dari Universiti Malaya.

Kenyataan Duterte dibuat tiga hari selepas tentera membunuh Isnilon Hapilon, ketua kumpulan Abu Sayyaf dan pemimpin keseluruhan IS di Asia Tenggara, dan Omarkhayam Maute, pemimpin puak Maute yang menyertai pasukan bersenjata Hapilon untuk menawan Marawi pada 23 Mei.

Ketua Polis Malaysia Mohamad Fuzi Harun memaklumkan BeritaBenar pada lewat Khamis bahawa pejabatnya telah menerima maklumat berkaitan pembunuhan Mahmud.

“Namun kami belum mendapat pengesahan dan kami masih menunggu pihak berkuasa Filipina".

Lebih 1,000 orang terbunuh dalam pertempuran itu sejak militan yang dikaitkan dengan Negara Islam tersebut menawan beberapa kawasan di Marawi, kata para pegawai. Angka kematian membabitkan 824 militan, 162 tentera dan sekurang-kurangnya 47 orang awam, kata tentera. Lebih 1,000 tentera turut tercedera dalam pertempuran dari rumah ke rumah, menurut para pegawai hospital.

‘Masih diteruskan’


Mahmud mengambil alih kepimpinan kumpulan militan yang semakin mengecil itu selepas kematian Hapilon dan Maute pada Isnin, kata para pegawai tentera.

Mereka mendakwa Mahmud adalah antara perancang kepungan itu bersama-sama Hapilan, seorang pengganas dalam senarai paling dikehendaki FBI.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Eduardo Ano berkata seorang tebusan yang diselamatkan mendedahkan bahawa Mahmud terkorban dalam pertempuran terkini yang turut mencederakan enam tentera. Dua tebusan – seorang ibu dan anak perempuannya, yang cedera, telah diselamatkan pada Khamis, katanya.

“Kami akan mencari mayat beliau,” katanya sambil menambah bahawa proses untuk mengesahkan laporan itu “secara pasti, bagaimanapun, masih diteruskan.”

“Operasi kami untuk menghapuskan dan menentang pengganas-pengganas sesat telah diteruskan tanpa henti sejak semalam,” katanya.

“Seorang daripada tebusan mendedahkan bahawa Mahmud telah terkorban dan dikebumikan malam tadi.”

Ano berkata pasukan tentera masih cuba mencari saki-baki tebusan, yang dipercayai berjumlah 20 orang.

Dalam sebuah video yang dikeluarkan tentera pada Jun, Mahmud dan beberapa lagi kelihatan merancang serangan itu. Para pegawai risikan berkata beliau telah menyalurkan kira-kira 30 juta peso (kira-kira AS$600,000) kepada kumpulan Hapilon, bagi membolehkan mereka membeli senjata api dan makanan.

Militan terbabit menahan tebusan ketika mereka melancarkan serangan ke atas bandar yang didiami kebanyakan orang Islam dan dihuni lebih 200,000 orang, memusnahkan perniagaan dan rumah.

‘Sasaran Bernilai Tinggi’

Mahmud, dipercayai berusia antara lewat 30-an dan awal 40-an, menerima latihan di kem-kem al-Qaeda di Afghanistan pada 1990-an ketika belajar di Universiti Islam Islamabad di Pakistan. Beliau adalah bekas pensyarah pengajian Islam di Universiti Malaya di Kuala Lumpur, antara universiti terkemuka Malaysia.

Ketua pasukan tentera tempatan, Kolonel Romeo Brawner, terdahulu berkata pada Khamis bahawa kebanyakan militan bersenjata itu dibunuh oleh penembak hendap kerajaan namun proses untuk mengeluarkan mayat dan mengenal pasti mereka agak sukar.

Beliau berkata Mamud merupakan “sasaran bernilai tinggi” yang berjaya dibunuh.

“Mahmud adalah antara yang terbunuh berdasarkan keterangan tebusan,” kata Brawner sambil menambah bahawa tebusan terbabit begitu pasti Mahmud adalah antara individu yang menahan mereka.

Ditanya sama ada mayatnya telah dikeluarkan, Brawner berkata:”Belum lagi. Sebab itu kami tidak boleh mengesahkan bahawa Mahmud adalah seorang daripada mereka yang terkorban.”

Meskipun pihak tentera berkata mereka tidak dapat mengesahkan kematian Mahmud, kenyataan seorang daripada tebusan yang diselamatkan adalah ‘boleh dipercayai.”

“Masih terdapat penentangan. Pertempuran masih berterusan,” kata Brawner sambil menambah bahawa militan telah “menyusun semula penentangan mereka.”

“Mereka telah menetapkan kedudukan mereka untuk bertahan,” katanya.

Hareez Lee di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.