Rakyat Indonesia, Malaysia Antara 37 Suspek Militan Terbunuh Dalam Serangan Tentera Filipina

Felipe Villamor
2017.04.25
Manila, Filipina
170425-PH-militants-620.jpg Seorang penembak hendap Tentera Filipina menyasarkan senapang 50-cal. Barret ke arah kubu disyaki kumpulan pengganas Maute pada Ahad, 23 April, selepas tentera kerajaan melancarkan siri serangan udara di kawasan itu pada 15 April, 2017.
[Richel V. Umel/BeritaBenar]

Tentera kerajaan membunuh 37 militan termasuk tiga warga Indonesia dan seorang warga Malaysia selain menawan kubu hutan kumpulan ekstremis selatan yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS),  kata ketua turus tentera Filipina pada Selasa.

Selain itu, tentera mendakwa ia dapat membendung ancaman militan Abu Sayyaf di wilayah Visayas di tengah negara itu, dua minggu selepas ahli  bersenjata ASG menuju ke utara dari kubu kuat tradisi mereka di selatan dan terlibat dalam pertempuran maut dengan tentera di pulau Bohol.

Di wilayah selatan Lanao del Sur pada Isnin, operasi tentera kerajaan menyerang ahli-ahli kumpulan Maute dengan tembakan dari udara dan meriam,  kata Jeneral Eduardo Ano, ketua turus tentera. Kumpulan itu adalah antara sekumpulan kecil kumpulan Islam bersenjata yang berpangkalan di selatan Filipina yang diketahui telah melafazkan sumpah setia kepada IS yang berpangkalan di Timur Tengah.

"Kami mendapati kira-kira 37 musuh terbunuh, dengan 14 daripada telah dikenal pasti dan 23 masih belum dikenali, termasuk tiga warga Indonesia dan seorang rakyat Malaysia, "kata Ano kepada pemberita di Manila.

Jurucakap tentera Brig. Jen Restituto Padila pada Selasa mengumumkan bahawa tentera, yang dilengkapi dengan pesawat dan helikopter, berjaya menakluki kem militan di Lanao del Sur, yang disifatkannya sebagai pangkalan latihan yang besar bagi kumpulan militan, semasa melakukan pengeboman berterusan selama dua hari bermula Sabtu lalu.

"Kami melaksanakan satu siri operasi menggunakan aset Tentera Udara Filipina untuk mengebom sasaran dengan memastikan tiada kemusnahan yang berlaku," kata Padilla kepada pemberita. "Serangan ini dilakukan pada awal pagi Sabtu dan terus berlaku sehingga petang semalam."

Ano tidak mengenal pasti rakyat Malaysia dan Indonesia yang dibunuh itu tetapi berkata, mereka pernah bekerja dengan rangkaian pengganas serantau Asia Tenggara, Jemaah Islamiyah.

Pegawai-pegawai di Jakarta dan Kuala Lumpur tidak dapat mengesahkan identiti militan asing yang disyaki terbunuh dalam pertempuran di pulau Mindanao, selatan Filipina. Ano berkata kematian mereka telah disahkan oleh sumber perisikan dan menerusi keterangan saksi.

Dalam pada itu Ketua Polis Malaysia, Khalid Abu Bakar semasa dihubungi BeritaBenar di Kuala Lumpur untuk mengulas mengenai rakyat Malaysia yang terbunuh itu berkata "Belum lagi. Kami belum lagi dimaklumkan secara rasmi oleh Filipina,".

Keganasan Bohol

Siri pertempuran itu berlaku dalam tempoh dua minggu sebelum Manila menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), di mana satu daripada topik perbincangan adalah mengenai kerjasama anti-keganasan serantau.

Pada Sabtu, empat suspek militan terbunuh dalam pertempuran di pulau  tengah Bohol. Antara suspek yang terbunuh dalam kejadian tembak-menembak di kawasan itu adalah seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai Joselito Melloria, yang menurut perisik tentera, merupakan seorang mualaf yang menyertai Abu Sayyaf tidak lama selepas dia berkahwin dengan seorang wanita Islam.

Dan antara suspek yang ditangkap di Bohol pada Ahad adalah seorang anggota polis wanita, Supt. Maria Christina Nobleza, dan ahli Abu Sayyaf bernama Renierlo Dongon. Nobleza, yang tidak dibenarkan bercakap kepada media, adalah kekasih Dongon dan kedua-duanya disyaki berada di Bohol untuk membantu rakan-rakan mereka.

Kejadian pada hujung minggu itu berlaku beberapa hari selepas seorang pemimpin kanan Abu Sayyaf, Muamar Askali (alias Abu Rami), dan empat ahlinya dibunuh oleh tentera dalam pertempuran sengit di Bohol, yang merupakan destinasi popular bagi pelancong dan percutian di wilayah tengah yang terkenal dengan pantai-pantainya.

Pegawai-pegawai tentera berkata Abu Rami ditembak ketika dia mengetuai serbuan ASG  ke kawasan itu, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk  menculik pelancong dari pulau itu. Seorang leftenan tentera dan tiga yang lain, termasuk seorang anggota polis, turut terbunuh dalam pertempuran pada 11 April itu, yang menyaksikan Abu Sayyaf atau "Pemilik Pedang" menyusup masuk ke pulau itu buat pertama kalinya.

Puak Abu Rami Abu Sayyaf didakwa turut terlibat dalam penculikan dan pemancungan kepala tebusan asing termasuk pelayar Jerman berusia 70 tahun, Jürgen Kantner, pada Februari lalu dan dua rakyat Kanada tahun lepas.

"Angkatan Tentera dan Polis Nasional Filipina [berasa] gembira untuk memberitahu anda bahawa ancaman yang kami hadapi di pulau Bohol ... dan laporan lain yang disahkan mengenai ancaman pengganas di kawasan pelancongan kami sudah dapat ditangani," kata Padilla kepada wartawan.

“Dan dengan peristiwa yang berlaku bermula dari Minggu Suci sehingga pertempuran terakhir Sabtu lalu, kami yakin bahawa kami telah dapat menangani mereka," kata Padilla.

Padilla berkata bahawa pihak tentera telah dapat mengawal medan di wilayah-wilayah selatan Sulu, Basilan dan Tawi-Tawi, yang memaksa pihak militan menghantar nota penyerahan termasuk dari Radullan Sahiron, seorang militan Abu Sayyaf yang dikehendaki kerajaan Amerika Syarikat dengan tawaran ganjaran $1 juta.

Dikenali sebagai penjahat bertangan satu, Sahiron adalah seorang daripada  komander asal Abu Sayyaf yang mengetuai kumpulan itu dalam siri penculikan termasuk dua rakyat Amerika Syarikat pada 2001.

Abu Sayyaf, yang dipercayai pernah bergabung dengan al-Qaeda, baru-baru ini telah mengisytiharkan kesetiaan kepada Negara Islam (IS). Ia muncul dalam senario antarabangsa pada awal tahun 2000-an apabila ia menculik berpuluh-puluh pelancong asing dan tempatan dan menuntut wang tebusan berjuta-juta dolar.

Abu Sayyaf dianggap sebagai  satu daripada kumpulan militan paling kejam di Asia Tenggara, dengan sering menunjukkan rakaman video pemancungan kepala tebusannya menerusi Internet. Ia juga dipersalahkan bagi kejadian pengeboman feri di Manila Bay pada 2004 yang mengorbankan lebih  100 orang dalam serangan pengganas paling buruk di Filipina.

Richel Umel dan Mark Navales di Mindanao, Filipina, manakala N. Natha di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.