Filipina, Malaysia Bawa Pertikaian Berhubung Sabah Ke PBB

Basilio Sepe & Hadi Azmi
2020.09.03
Manila & Kuala Lumpur
200903-MY-helicopter-1000.jpg Kelihatan sebuah helikopter tentera di ruang udara Cenderawasih di Sabah, Malaysia yang memisahkan pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan lelaki bersenjata Filipina di Kepulauan Sulu yang terletak berhampiran negeri itu, 5 Mac 2013.
[AFP]

Malaysia dan Filipina membawa pertikaian mereka berhubung siapa pemilik negeri Sabah di Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dengan para penganalisis menggambarkannya sebagai tuntutan lama yang kembali panas demi memenuhi tuntutan politik tempatan.

Pertikaian itu kembali tercetus susulan tindakan Malaysia mengemukakan permohonan kepada PBB pada akhir tahun lalu untuk memperluaskan pentas benuanya melangkaui 200 batu nautika dari titik paling utara Borneo Malaysia, seolah-olah bagi menangkis perluasan China di Laut China Selatan.

Tindakan itu menerima bantahan Filipina pada Mac, melalui apa yang dikatakan sebagai nota diplomatik  kepada Setiausaha Agung PBB, dengan menyatakan bahawa Malaysia mahu mengunjurkan tuntutannya dari beberapa bahagian di Borneo Utara "di mana Republik Filipina tidak pernah melepaskan kedaulatannya."

Minggu lalu, Malaysia membalasnya dengan mengemukakan suratnya kepada pemimpin PBB Antonio Guterres, dengan menyatakan bahawa permintaan dan pertimbangan sempadannya adalah sah di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

"Perwakilan Tetap Malaysia juga ingin memaklumkan kepada Setiausaha Agung bahawa Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Republik Filipina terhadap negeri Sabah di Malaysia, yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara," kata Misi Malaysia ke PBB dalam surat bertarikh 27 Ogos itu, dan menegaskan bahawa tuntutan Filipina itu "tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa."

Dalam nota diplomatik terbarunya itu, Kuala Lumpur turut menyentuh tentang pertikaian wilayah dengan Manila berhubung rantaian pulau-pulau di Laut China Selatan.

"Malaysia secara khususnya menolak tuntutan maritim yang melampau dari Gugusan Pulau Kalayaan seperti yang ditekankan oleh Republik Filipina," menurut surat itu. Kepulauan Kalayaan merangkumi Kepulauan Spratly, rantaian pulau yang menjadi tuntutan Filipina, Malaysia, Brunei, Vietnam, China dan Taiwan.

Menetapkan agenda

Isu Sabah itu sudah lama menjadi duri dalam hubungan kedua-dua negara itu - dua negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) - kata penganalisis keselamatan Rommel Banlaoi dari Institut Penyelidikan Keamanan, Kekerasan dan Keganasan Filipina kepada BeritaBenar semasa ditanya mengapa isu itu menjadi semakin panas mutakhir ini.

"Saya fikir kedua-dua negara menggunakan isu Sabah untuk mengalihkan perhatian daripada masalah domestik yang kian meningkat berikutan pandemik [COVID-19]," katanya kepada BeritaBenar.

Namun, beliau menambah kata, "Retorik Filipina dan Malaysia mengenai isu Sabah sudah dijangka dengan ia tidak menjejaskan solidariti ASEAN."

Seorang penganalisis Malaysia bersetuju bahawa isu Sabah itu dibangkitkan kerana ia berkaitan dengan politik tempatan.

"Saya percaya kenyataan-kenyataan tegas mengenai Sabah yang dilontarkan oleh pelbagai pemimpin politik Filipina adalah lebih menjurus kepada politik tempatan mereka, dengan menetapkan agenda politik untuk diperkatakan sebagai persiapan menjelang pilihan raya presiden pada 2021," kata Lee Kuok Tiung, profesor di Jabatan Komunikasi di Universiti Malaysia Sabah.

Undi di wilayah selatan Mindanao di Filipina, yang terletak berhampiran Sabah, menjadi perkara yang amat penting bagi ahli politik dari bahagian lain Filipina yang mempunyai cita-cita sebagai presiden, katanya.

"Mereka perlu memuaskan hati masyarakat Muslim di selatan ('sultan' Sulu) bagi mendapatkan undi yang memihak suara mereka pada 2021 - demikian kenyataan yang tegas mengenai Sabah," katanya kepada BeritaBenar.

"Sudah tentu, dengan kesengsaraan ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19, mereka perlu mencari negara yang perlu dipersalahkan atas kesengsaraan mereka."

Ditubuhkan pada 1405, Kesultanan Sulu memerintah pulau-pulau di Kepulauan Sulu, yang merupakan sebahagian daripada Mindanao di selatan Filipina dan sebahagian Borneo, termasuk Sabah, sehingga  awal 1800-an. Sabah diperbadankan dalam Malaysia pada 1963 tetapi negara itu masih membayar sagu hati tahunan kepada Kesultanan Sulu.

Pada 2013, kira-kira 200 militan bersenjata dari selatan Filipina yang menggelar diri mereka sebagai anggota "Tentera Diraja Sulu" dan mendakwa sebagai pengikut Jamalul Kiram III, yang mengisytiharkan dirinya pewaris Sultan Sulu, mengumpulkan armada dan berlayar ke Sabah bagi merebut kembali wilayah tersebut namun mereka gagal berbuat demikian. Mereka bertempur dengan pihak berkuasa Malaysia selama beberapa minggu hingga menyebabkan lebih 50 militan dan 10 anggota polis Malaysia terbunuh.

'Keributan'

Mutakhir ini, diplomat tertinggi kedua-dua negara saling bertikam lidah berhubung isu Sabah khususnya.

Pada akhir Julai, setiausaha hal ehwal luar Filipina Teodoro Locsin Jr, telah mengecam Malaysia berhubung isu tersebut.

“Tidak ada negara yang boleh memberitahu sesebuah negara lain mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dikatakannya tentang apa yang negara itu anggap sebagai miliknya yang sah,” kata Locsin dalam catatan Twitter beliau, dengan menambah kata bahawa beliau .telah memanggil duta besar Malaysia selepas menteri luar Malaysia mengkritiknya berhubung kenyataannya sebelum ini di mana Locsin menyatakan bahawa Sabah "bukan berada di dalam Malaysia."

Rakan sejawatan Locsin dari Malaysia, Hishammuddin Hussein, membidas kenyataan itu pada 6 Ogos, dengan menyatakan di lobi Parlimen bahawa "saya telah menyatakan dengan jelas tentang pendirian Malaysia mengenai sebelum ini. Tidak perlu dipersoalkan lagi - Sabah tetap milik Malaysia sampai bila-bila pun. "

Pada Khamis, jurucakap Hishammuddin memberitahu BeritaBenar bahawa menteri luar itu "tetap dengan pendiriannya seperti mana yang dlakukannya di Parlimen baru-baru ini."

Selain daripada surat kepada pemimpin PBB, kementerian luar Malaysia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Sabah sejak menteri berkenaan mengulas perkara itu di Parlimen.

Sementara itu, Locsin pada minggu ini menyatakan bahawa beliau akan membuka semula jabatan di kementeriannya khusus untuk menggerakkan usaha kerajaan Filipina dalam menangani isu Sabah, menurut laporan berita Filipina.

Selain itu, cadangan jawatankuasa kongres Filipina untuk memasukkan Sabah dalam peta Filipina yang dicetak dalam pasport negara itu telah mendapat liputan utama di Malaysia dan menarik perhatian para pegawainya.

Pada Khamis, pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim mengecam Locsin kerana mengeluarkan kenyataan mengenai pembukaan semula pejabat Sabah di dalam kementeriannya.

“Sabah jelas merupakan sebahagian daripada Malaysia. Ini adalah keputusan dan muafakat yang dicapai oleh rakyat Sabah pada 1963. Rakyat Malaysia adalah rakyat yang bersatu padu dan akan mempertahankan setiap inci wilayah negara ini,” kata Anwar dalam kenyataan.

Anwar mengulas demikian ketika negeri di Borneo Malaysia itu, yang dilihat sebagai penting dalam penentuan pilihan raya umum, sedang bersiap sedia mengadakan pilihan raya negeri pada akhir bulan ini.

"Malaysia, Filipina dan rakan lain di ASEAN adalah rakan serantau dalam mendepani pelbagai isu melibatkan geopolitik dan keselamatan yang mengesankan rantau ini dan warganya," katanya. “Sekarang bukanlah waktunya untuk politik keangkuhan dan mencipta pertelagahan yang sia-sia.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.