Skim 'beli dulu, bayar kemudian' jerat orang muda Malaysia dengan hutang

Pakar ekonomi gesa peraturan skim itu diperketatkan, elak tahap hutang isi rumah negara yang sedia tinggi meningkat.
Iman Muttaqin Yusof
2025.01.07
Kuala Lumpur
Skim 'beli dulu, bayar kemudian' jerat orang muda Malaysia dengan hutang Seorang remaja membuat pembelian dalam talian melalui aplikasi ‘beli dulu, bayar kemudian’ menggunakan telefon bimbit di Kajang, Selangor, 7 Januari 2025.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Golongan muda di Malaysia semakin tertarik dengan skim ‘beli dulu, bayaran kemudian’ (BNPL) terutamanya apabila ditawarkan dengan skim ansuran tanpa faedah dan keinginan menikmati kepuasan segera untuk membeli barangan seperti gajet, barangan runcit dan pakaian.

Namun, peningkatan selera generasi Z dan milenial 'meminjam wang' daripada platform membeli barangan secara dalam talian dikatakan mendedahkan mereka kepada risiko hutang yang besar, kata pakar.

Trend ini berkembang dengan begitu pesat sehingga Bank Negara Malaysia turut menyuarakan kebimbangan pada bulan lalu.

Bank pusat itu mencadangkan supaya diwujudkan peraturan lebih ketat dengan mewajibkan pemberi pinjaman dan penyedia skim BNPL untuk menilai kemampuan pengguna sebelum meluluskan pinjaman.

Bagi Danial Syarqawi, seorang pekerja sektor swasta berusia 25 tahun yang berpendapatan RM2,900 [AS$644] sebulan, kemudahan BNPL menjadi penyelamat kewangannya.

“Ia mudah. Saya boleh membeli apa yang saya perlukan tanpa perlu membuat bayaran sekali gus,” katanya.

Danial yang menggunakan beberapa platform pembelian dalam talian berkata, dia mempunyai had pinjaman sekitar RM2,000 [AS$444] di semua perkhidmatan tersebut.

“Saya pernah terlepas pembayaran sebanyak dua kali akibat masalah kewangan,” katanya sambil menambah keadaan itu menyebabkan dia dikenakan caj lewat antara RM10 hingga RM50 [AS$2.2 - AS$11] bagi setiap ansuran.

“Syarikat itu akan menelefon saya untuk mengingatkan tentang pembayaran dan caj.”

Di Malaysia, perkembangan e-dagang dan teknologi kewangan telah menyemarakkan ledakan ini, menjadikan BNPL sebagai salah satu kaedah pembayaran digital utama.

Platform seperti Shopee PayLater, Grab PayLater, Atome dan Lazada PayLater menyasarkan golongan muda Malaysia yang membentuk sebahagian besar daripada 32.7 juta penduduk negara ini.

Menurut Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna, rakyat Malaysia melakukan 77.3 juta transaksi BNPL bernilai RM6.2 bilion [AS$1.37 bilion] pada 2023.

Pada suku pertama 2024 sahaja, terdapat 29 juta transaksi bernilai RM2.3 bilion [AS$0.5 bilion] direkodkan.

Kebanyakan pengguna skim pinjaman mudah itu merupakan golongan muda bekerja berusia antara 21 hingga 45 tahun, menurut laporan tersebut.

Doris Liew, seorang ahli ekonomi dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berpendapat, kenaikan kos sara hidup dan gaji tidak meningkat turut disebabkan daripada peningkatan penggunaan BNPL.

“Daya tarikan BNPL amat kuat dalam kalangan belia, yang mungkin menggunakan skim itu untuk membiayai barangan mahal seperti telefon pintar atau komputer riba terkini, pembelian yang mungkin di luar kemampuan segera mereka,” katanya kepada BenarNews.

Berbeza dengan sistem kredit konvensional yang berada di bawah pengawasan ketat, BNPL beroperasi dalam ruang yang sebahagian besarnya tidak dikawal, jelas Liew.

“Banyak skim ini menawarkan tawaran menarik dan akses kredit yang mudah kepada pengguna baharu selain memikat mereka dengan janji ansuran mudah tanpa faedah. Namun ia sering disertakan kos tersembunyi yang tidak disedari ramai pengguna,” katanya.

Keadaan itu terjadi kepada Alif Rizal, seorang pakar pemasaran berusia 23 tahun yang pada mulanya tidak menyedari wujud kos tersembunyi dalam perkhidmatan tersebut.

“Saya hanya tahu tentang [faedah] tersembunyi selepas kali ke-13 menggunakan perkhidmatan itu,” kata Alif sambil menyatakan dia melakukan pembelian barangan seperti pakaian, barangan elektronik dan hiasan dalaman bilik.

Dia membuat pinjaman antara RM400 hingga RM800 [AS$88.8 - AS$177.7] tetapi kini memilih untuk membuat pembayaran sekali gus untuk pembelian di bawah RM500 [AS$111] bagi mengelakkan caj faedah tambahan.

 

beli-belah(1)(1).png
Orang ramai membeli-belah pada hari pertama pembukaan pasar raya SOGO di Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu, 5 Disember 2024. [Ihsan Korporat SUK Terengganu melalui Facebook]

Belia dibelenggu hutang

Pada Oktober lalu, laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan seramai 53,000 rakyat Malaysia di bawah umur 30 tahun bergelut dengan hutang mencecah RM1.9 bilion [AS$422 juta] termasuk kebergantungan yang semakin meningkat kepada pinjaman peribadi, kad kredit dan skim BNPL.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan yang memetik laporan tersebut berkata, AKPK juga mendapati 28 peratus rakyat Malaysia yang bekerja meminjam wang untuk membeli barangan keperluan.

“Peningkatan kebolehcapaian pinjaman peribadi, kad kredit dan terutamanya skim ‘beli dulu, bayar kemudian' amat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan golongan dewasa muda.

“Kekurangan pemahaman tentang implikasi dan kekurangan disiplin dalam mengurus komitmen kemudahan ini boleh mengakibatkan hutang yang tidak terurus,” katanya pada satu majlis di Kuala Lumpur pada Oktober lalu.

Dalam pada itu, populariti BNPL mungkin kerana kemudahan yang disediakan — diaktifkan dengan pengesahan ID dalam tempoh beberapa minit, meminjam serta-merta dan memilih penetapan kaedah pembayaran selain ditawarkan had kredit lebih tinggi apabila pengguna semakin kerap menggunakan skim itu.

Semakan oleh BenarNews mendapati kebanyakan tempoh pembayaran balik BNPL biasanya antara satu bulan hingga setahun.

Kemudahan kredit yang begitu mudah menyebabkan ahli ekonomi, Carmelo Ferlito memberi amaran bahawa trend tersebut boleh memburukkan lagi tahap hutang isi rumah Malaysia yang sudah sedia tinggi.

“Dengan hutang isi rumah yang sudah berada pada tahap membimbangkan, lebih banyak pinjaman meningkatkan risiko ketidakstabilan kewangan apabila kemelesetan ekonomi berlaku,” kata Ferlito yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME) kepada BenarNews.

“Saya percaya Bank Negara bertindak betul apabila menggesa penyedia BNPL berhati-hati apabila memperluaskan perkhidmatan mereka, terutamanya kepada individu yang mempunyai risiko kewangan tinggi.”

BenarNews menghubungi platform BNPL utama, termasuk Atome, Shopee dan Lazada untuk mendapatkan komen mengenai pengguna muda mereka tetapi belum menerima maklum balas segera.

BNPL perlu dikawal selia

Sementara itu, ahli ekonomi Geoffrey Williams berkata BNPL boleh memberikan manfaat sekiranya terdapat peraturan berkesan dan literasi kewangan yang lebih kukuh dalam kalangan pengguna.

“Jika dikawal dengan betul, BNPL boleh menawarkan alternatif positif kepada kad kredit yang mahal atau pemberi pinjaman tidak berlesen,” kata Williams, pengarah Williams Business Consultancy kepada BenarNews.

“Mesti ada rangka kerja undang-undang yang jelas untuk melindungi kedua-dua pemiutang dan peminjam. Penyedia yang tidak berdaftar atau tidak dikawal selia tidak sepatutnya ada dalam mana-mana sistem BNPL.”

 

 

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.