Persidangan Ketengah Kesederhanaan Islam
2018.01.08
Putrajaya, Malaysia
Penceramah persidangan antikeganasan antarabangsa di Malaysia meminta penganut agama Islam mengamalkan kesederhanaan dalam kepercayaan mereka bagi membendung keganasan ekstremisme.
Sebanyak 1,000 peserta dari 20 negara - termasuk Indonesia, India, Pakistan, Turki, Perancis dan Britain - mengambil bahagian dalam perhimpunan dua hari itu, yang memberi penekanan terhadap "pendekatan lembut holistik" dalam memerangi keganasan serta yang lebih konvensional seperti pendidikan dan menyekat pembiayaan keganasan.
"Kami percaya kami tidak boleh memerangi keganasan melalui langkah memaksa atau punitif semata-mata," kata Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Alwi Ibrahim, pada persidangan itu Sabtu lalu, sebelum membaca kenyataan muktamad kementerian tersebut.
"Kita memerlukan pendekatan dua hala untuk menewaskan ancaman ekstremisme dan keganasan. Kita mesti berusaha untuk memenangi hati dan minda setiap orang yang terlibat, atau terdedah kepada aktiviti pengganas."
Kenyataan muktamad 12 perkara itu meminta agar diwujudkan satu "bahasa baharu kesederhanaan" bagi mempromosi toleransi perbezaan dan memerangi "ideologi takfiri" yang menyaksikan sesetengah penganut Islam begitu cepat untuk menuduh orang lain menyimpang daripada iman.
Kebanyakan penceramah pada persidangan itu membangkitkan peranan agama dalam memerangi ideologi ekstremis.
Dalam ucapan penutup beliau, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak memetik dua ayat Al-Quran yang, katanya, mengikat semua penganut agama Islam dengan kesederhanaan, iaitu "perisai penting terhadap ideologi melampau."
"Kedua-dua ayat itu membayangkan bahawa “penganut agama Islam’ adalah mereka yang mengamalkan kesederhanaan. Ia turut membayangkan bahawa sebagaimana Nabi SAW menyaksikan usaha kita untuk menjadi umat Islam dan mengamalkan kesederhanaan, kita hendaklah menjadi saksi kepada saudara seagama bahawa jika kita seorang Islam maka kita juga mengamalkan kesederhanaan, "katanya.
Malaysia, yang merujuk kepada masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama namun mampu hidup bersama dalam suasana harmoni, menaja resolusi kesederhanaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggalakkan dialog dan toleransi di seluruh dunia untuk memerangi keganasan ekstremisme. Resolusi itu telah diterima pakai pada Disember lepas.
Pada persidangan di Putrajaya itu, Najib turut menggariskan keperluan berterusan bagi kewaspadaan terhadap keganasan.
"Daesh terus menimbulkan ancaman yang serius dan berpengaruh di Malaysia serta di rantau Asia Tenggara yang luas, walaupun keadaan kumpulan itu kini lemah di Iraq dan Syria," kata Najib pada perhimpunan itu, menggunakan nama lain bagi Kumpulan Negara Islam (IS).
Sejumlah 95 rakyat Malaysia telah menyertai IS di Syria dan Iraq, kata Najib. Daripada jumlah itu, 34 terbunuh; lapan kembali ke Malaysia dan ditangkap; manakala 36 orang dewasa dan 17 kanak-kanak masih berada di sana.
Najib di Arab Saudi
Sehari selepas penutupan persidangan itu, yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Rabitah Al-Alam Al-Islami (Liga Dunia Muslim), berpangkalan di Arab Saudi, Kementerian Luar Malaysia berkata Najib akan melakukan lawatan kerja lima hari ke Riyadh bermula Isnin.
"Semasa lawatan itu, Perdana Menteri dijadual mengadap Penjaga Dua Masjid Suci iaitu Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman Abdulaziz Al Saud, masing-masing di Riyadh," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu.
Ketiga-tiga pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu termasuk penubuhan Pusat Raja Salman Bagi Perdamaian Antarabangsa (KSCIP) di Putrajaya, yang diumumkan oleh Raja Arab Saudi semasa mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada Mac tahun lepas, kata kenyataan itu.
Pusat yang disokong oleh Arab Saudi itu akan berfungsi menentang naratif pengganas. Kerajaan Malaysia mempunyai tempoh dua tahun untuk membina pusat berkenaan, yang ditempatkan di sebuah tapak seluas 40 ekar di Putrajaya.
Malaysia sudah memiliki sebuah pusat untuk mencegah mesej ekstremis secara dalam talian yang diselia oleh Polis Diraja Malaysia. Ia juga memiliki Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Antikeganasan, yang beroperasi di bawah Kementerian Luar dengan kerjasama Jabatan Negara Amerika Syarikat.