Malaysia kembalikan program wajib khidmat negara atas desakan patriotisme
2025.02.18
Kuala Lumpur

Masih jelas dalam ingatan Amalina Munirah Mohamed Zabidi, tentang ketakutan yang dirasai ketika masih berada di bangku sekolah apabila dia sentiasa dibuli rakan sebaya dan dipandang rendah kerana kurang mempunyai keyakinan diri.
Sehinggalah pada satu ketika, namanya terpilih menyertai program perintis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 2004, Amalina teruja menyahut “panggilan ibu pertiwi” itu dengan penuh yakin kerana melihat ia sebagai satu peluang untuk mengubah diri menjadi lebih kental dan berani.
“Saya selalu dibuli dan dipandang rendah semasa di zaman sekolah, jadi bila nama saya tersenarai (untuk program PLKN) saya sangat teruja. Rasa seperti jawapan kepada doa saya selama ini,” kata Amalina yang berusia 39 tahun dan kini merupakan seorang pensyarah di Kedah semasa berkongsi pengalamannya dengan BenarNews.
“Ia membantu saya menjadi lebih berani dan berkeyakinan. Saya juga banyak belajar tentang semangat berpasukan dan kepimpinan.”
Program yang berteraskan empat modul itu – latihan fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti – menyuntik keyakinan baharu dalam dirinya.
Namun PLKN melalui zaman kelamnya apabila ia telah dimansuhkan sepenuhnya pada 2018 selepas berlaku pertukaran kerajaan.
Ketika mula diperkenalkan pada 2004, individu berusia 18 tahun dipilih menjalani kursus latihan wajib PLKN selama tiga bulan yang berobjektifkan pengukuhan semangat patriotisme, daya ketahanan dan kesukarelawanan.
Bagaimanapun, kerajaan mengambil keputusan menghentikan PLKN pada 2015 ekoran langkah pengurangan kos sebelum diperkenalkan semula pada tahun berikutnya sebagai program secara sukarela.
Ia kemudian dimansuhkan pada 2018 oleh pentadbiran Mahathir Mohamad yang ketika itu berkata PLKN disalah guna untuk pengindoktrinan selain menelan belanja yang tinggi.
Program pertama dari 2004 hingga 2015 telah menelan belanja sebanyak RM565 juta (AS.$127 juta) setahun bagi melatih 71,300 pelatih manakala RM361 juta (AS$ 81 juta) pula telah dikeluarkan untuk latihan 20,000 pelatih bagi tempoh yang singkat pada 2016.
Pelatih Program Khidmat Negara (PLKN) tiba bersama keluarga mereka untuk mendaftarkan diri di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur, 12 Januari, 2025 [Ihsan Kementerian Pertahanan]
Program mandatori
Membuka lembaran baharu, setelah hampir tujuh tahun dihentikan, Malaysia menghidupkan semula program khidmat negara itu dengan menstruktur semula program khidmat negaranya, di mana kali ini ia dijadikan program mandatori melalui kerahan bersyarat berbanding sebelum ini yang ditawarkan secara sukarela.
Pada Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan tentang kepentingan pelaksanaan PLKN 3.0 ditambah baik menggunakan pendekatan bersesuaian dengan peredaran keadaan semasa.
Katanya kerajaan memutuskan untuk mengutamakan pelajar yang pernah menyertai pasukan kadet seolah untuk menyertai program khidmat negara itu.
"Ia penting agar program ini mampu melahirkan generasi anak muda Malaysia yang mempunyai daya tahan tinggi, cekal menopang rintangan kehidupan serta mampu menyumbang kepada negara selaku warganegara Malaysia yang bertanggungjawab," ujarnya.
"Terkait peranan setiap rakyat dalam membina negara bangsa, adalah mustahak usaha menyeluruh digembleng dalam memperkukuh jati diri, kekuatan iltizam bersama memajukan negara dan kesediaan untuk mempertahankan tanah air tercinta."
Fasa pertama program 45 hari itu bermula pada Januari lalu dengan penyertaan lebih 120 orang sukarelawan berusia antara 18 dan 25 tahun yang menjalani latihan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.
Fasa kedua dan ketiga yang ditetapkan pada Mei dan September pula akan melatih sehingga 500 pelatih, kata jurucakap Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) kepada BenarNews.
Rakyat Malaysia yang layak akan mendapat notifikasi daripada JLKN selepas Hari Raya Aidilfitri sekiranya mereka terpilih untuk fasa kedua, kata jurucakap tersebut.
“Ini bermakna apabila seseorang individu itu dipanggil untuk PLKN (bermula Mei), mereka wajib hadir,” kata Ketua Pengarah JLKN Ya'cob Samiran kepada pemberita pada minggu lalu.
“Sekiranya menghadapi kekangan, maka mereka perlu membuat permohonan penangguhan kemasukan.”
Majikan juga perlu memberi justifikasi kenapa mereka tidak memberi pelepasan kepada bakal-bakal pelatih untuk menyertai latihan, menurut beliau.
“Mereka juga terikat dengan Akta Latihan Khidmat Negara, sekiranya majikan tidak membenarkan mungkin proses lain kita akan laksanakan,” tambah Ya’cob.
Di bawah Akta Khidmat Negara, kegagalan menghadirkan diri ke PLKN boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 (AS $674) atau enam bulan penjara.
Sesiapa yang menghasut atau menyebabkan seorang pelatih meninggalkan latihan tanpa kebenaran akan berhadapan dengan hukuman yang sama.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin ketika sidang Parlimen pada 5 Februari lalu berkata PLKN 3.0 yang dihidupkan semula itu akan membelanjakan sejumlah RM200 juta (AS$44.9 juta) untuk melatih lebih 100,000 pelatih dalam program berkenaan.
Dengan menjalani latihan di dua kem tentera simpanan, Askar Wataniah, pelatih PLKN 3.0 diberikan pendedahan latihan fizikal, mental dan sivik dengan modul latihan mengintegrasikan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan, kata Kementerian Pertahanan.
Tingkat patriotisme
Meskipun terdapat segelintir masyarakat menggesa PLKN dibatalkan, penganalisis berpandangan program itu mampu meningkatkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Penganalisis pertahanan Ramli Dollah berkata modul baharu yang diperkenalkan untuk program tahun ini menawarkan “struktur yang lebih fleksibel dengan objektif yang jelas”.
Menjadikannya mandatori, menurut beliau,“penting bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia. Pendekatan secara sukarela sebaliknya akan menjejaskan matlamat tersebut.”
“PLKN direka secara unik untuk memenuhi keperluan khas negara. Justeru itu, program berkenaan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan negara, semangat cintakan negara dan aspek kenegaraan,” kata Ramli yang juga profesor madya Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah kepada BenarNews.
Muhammad Izmer Yusof, pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum di Universiti Malaysia Perlis pula berkata isu yang mungkin timbul dari sudut perundangan berkaitan program tersebut adalah minimum memandangkan ia pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Melainkan kerajaan mengerahkan pelatih untuk latihan tentera selama setahun dua (mungkin timbul kebimbangan dari segi perundangan), namun setakat tiga bulan latihan sepatutnya tidak menjadi isu,” kata beliau sambil menambah isu dari sudut sosial juga adalah minimum.
“Yang paling buruk mungkin berlaku adalah eksploitasi politik oleh pihak pembangkang. Namun terlalu awal untuk mengenal pasti sentimen umum terhadap program itu memandangkan bagi fasa pertama hanya melibatkan sejumlah kecil pelatih.”
Pelatih Program Khidmat Negara (PLKN) memegang senapang M16 ketika menjalani latihan di lapang sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, 8 Februari 2025. [S. Mahfuz/BenarNews]
Reaksi masyarakat
Versi lampau PLKN telah dicemari dengan laporan mengenai kes buli, gangguan seksual, keracunan makanan dan keadaan kem yang tidak mengikut standard. Dalam tempoh antara 2004 dan 2013, sekurang-kurangnya 23 kematian telah dilaporkan membabitkan pelatih PLKN.
Pengkritik berpendapat program dengan pendekatan sosial berbentuk ‘top down’(atas ke bawah) seperti PLKN bukan merupakan jalan terbaik dalam memupuk persefahaman sebenar dalam kalangan pelbagai kumpulan mahupun menanam semangat cintakan negara yang jitu.
“Hasilnya (PLKN) adalah tidak memuaskan jika kita melaksanakannya seperti dua versi terdahulu,” kata Azmil Mohd Tayeb, profesor madya Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia berkata kepada BenarNews.
“Usaha sepatutnya dibuat dari peringkat akar umbi sehingga ke atas dengan melibatkan pelbagai pemegang taruh.”
Sementara itu, masyarakat turut mempunyai reaksi bercampur mengenai perkara tersebut. Segelintir anak muda merasakan ia hanya membuang waktu dan mengganggu perancangan sesudah tamat persekolahan.
“Mungkin mereka yang tidak pernah menghantar anak ke PLKN menyokong program tersebut, namun bagi mereka yang pernah berbuat demikian hala tujunya tidak jelas,” kata pengguna Facebook Georgy Lampaah.
Seorang lagi pengguna media sosial Wahid mengingatkan: “Ia sesuatu yang bagus sekiranya program ini dapat menanam semangat patriotisme dalam kalangan anak muda. Namun jangan pula ia dilaksanakan semata-mata kerana negara lain berbuat demikian. Di tempat lain, para pelatih dijaga dengan baik, tidak ada isu buli atau gangsterisme.”
Model khidmat negara serantau
Di Asia Tenggara, Singapura and Thailand mempunyai program khidmat negara yang memberi fokus kepada latihan ketenteraan.
Di Singapura, semua warganegara lelaki dan penduduk tetap wajib menjalani khidmat sepenuh masa selama dua tahun dalam pasukan beruniform pada usia 18 tahun.
Sementara itu, pemuda di Thailand mesti mendaftar dalam program khidmat negara pada usia 18 tahun, dengan mereka yang tidak menawarkan diri akan berhadapan dengan kerahan secara ‘loteri’ pada usia 21, menurut laporan media tempatan.
Mohd Mizan Mohammad Aslam, profesor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata Malaysia perlu bersiap siaga bagi menghadapi sebarang konflik geopolitik dalam situasi ketegangan global yang kian meningkat.
“Bukan sahaja Malaysia malah seluruh dunia, berada di suasana yang genting pada masa ini berikutan perubahan politik, konflik dan polisi dalam kalangan kuasa besar tertentu terutamanya Amerika Syarikat yang menyebabkan negara kecil seperti Malaysia perlu bersedia berdepan keberangkalian yang buruk pada masa akan datang,” kata beliau kepada BenarNews.
Beliau memberi contoh, Korea Selatan, Singapura dan Turki menjadikan program khidmat negara sebagai mandatori bagi memupuk semangat cintakan negara yang utuh dalam kalangan rakyatnya.
“Mereka mewajibkan rakyat mereka untuk turut serta dan mereka yang gagal berbuat demikian tanpa alasan kukuh berdepan dengan tindakan tegas,” katanya.
“Meskipun mereka mempunyai alasan kukuh, mereka tetap perlu menyertainya kemudian. Di Malaysia, kita masih lagi longgar. Mungkin dari semasa ke semasa kita boleh menambah baik peraturan sedia ada untuk memantapkan lagi objektif dan hasil PLKN,” kata beliau.