Perdana Menteri Akui Kepincangan Dalam Perlaksanaan Misi Selamat Mangsa Banjir

Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata bukan masanya untuk menunding jari kerana semua pihak bertanggungjawab menganganinya.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2021.12.21
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Akui Kepincangan Dalam Perlaksanaan Misi Selamat Mangsa Banjir Penduduk membersihkan kediaman mereka yang penuh dengan lumpur dan sampah selepas air banjir mulai surut, di Kampung Batu 18, Hulu Langat, Selangor, 20 Disember 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengakui wujud kepincangan dalam cara pentadbirannya melaksanakan misi menyelamat mangsa bencana banjir pada hujung minggu apabila negara itu dibadai tempias Taufan Rai yang melanda negara berjiran, Filipina, sambil menegaskan tidak akan mempertahankan para pegawai yang perlu dipertanggungjawabkan atas kelemahan mereka.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara sejak 16 Disember lalu, pada hari yang sama turut meminta semua pemimpin berhenti berpolitik bagi kepentingan rakyat.

Sebelum ini ramai rakyat Malaysia menzahirkan kemarahan terhadap apa yang mereka dakwa sebagai misi menyelamat yang tidak teratur, sekaligus menjadikan keadaan yang sedia buruk menjadi lebih rumit.

Sehingga kini 28 kes kematian berkaitan banjir telah dilaporkan di seluruh negara.

“Banyak yang berlaku…Saya tidak pernah menafikan… dan kita akan tambah baik, InsyaAllah kalau negeri-negeri yang belum bersedia seperti Selangor dan mungkin Negeri Sembilan yang tidak pernah banjir besar ini… Jadi untuk masa depan, kita akan lebih bersedia.

“Cuma saya nak katakan tanggungjawab banjir ini bukan sahaja kerajaan persekutuan tetapi juga kerajaan negeri dan frontlinersnya (petugas barisan hadapan) di daerah-daerah. NADMA hanya mengkoordinasi,” kata Ismail Sabri sambil merujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sebuah dewan orang ramai di Jelebu, Negeri Sembilan, dengan turut menegaskan tanggungjawab menangani bencana banjir bukan di bahu Putrajaya semata-mata, tetapi juga melibatkan kerajaan negeri, khususnya di peringkat daerah.

Dalam nada yang tegas, Ismail Sabri memberi jaminan tidak akan melindungi pihak-pihak yang perlu dipertanggungjawabkan di atas kelemahan yang berlaku.

“Kalau dianggap kelemahan koordinasi…., saya tidak pernah membela sesiapa dalam keadaan hari ini. Bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan – daripada peringkat kerajaan pusat, negeri termasuk daerah semua perlu bertanggungjawab," tambahnya lagi.

Sebelum itu Ismail Sabri pada Isnin mengumumkan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara telah memutuskan semua arahan berhubung tindakan yang perlu diambil segera dalam menangani bencana banjir akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata peranan NADMA sebagai sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan dikekalkan.

“Bagaimanapun, sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi, maka MKN akan mengeluarkan arahan lanjut,” ujarnya dalam kenyataan berkenaan, sambil mengumumkan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 (AS$238) kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.

Nafi enggan libatkan tentera

Pada Selasa sebuah portal tempatan melaporkan dakwaan yang memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, NADMA lambat dalam menggerakkan tentera bagi membantu mangsa banjir.

Portal itu turut memetik dalam laporannya yang mendakwa kerajaan negeri Selangor keberatan memohon bantuan tentera bagi tugas menyelamat mangsa banjir.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah menafikan dakwaan tersebut sambil menegaskan beliau sendiri telah menghubungi Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Perdana Menteri pada Jumaat lalu untuk meminta bantuan tentera.

“Tidak timbul isu keberatan…kita (kerajaan negeri) sedar kapasiti kita,” katanya pada satu sidang media pada pagi Selasa.

“Maklumat sumber yang mendakwa kerajaan negeri keberatan memohon bantuan tentera sebagai ‘palsu, berniat kurang baik, atau tersalah niat’,” ujarnya lagi.

Berikutan dakwaan kepincangan NADMA dalam menguruskan bantuan kemanusiaan,
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Selasa mendesak menteri tugas-tugas khas Abdul Latiff Ahmad untuk meletakkan jawatan.

Zaidel Baharuddin, Ketua Penerangan MUDA berkata Abdul Latiff wajar bertanggungjawab atas kegagalan yang telah berlaku.

"Kami merujuk kepada beberapa laporan portal akhbar yang menyatakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lambat dihantar ke kawasan bencana banjir di sekitar Lembah Klang kerana NADMA gagal mengkoordinasi (bantuan) bencana.

"Ada juga yang melaporkan NADMA agak keberatan untuk melibatkan ATM atas sebab-sebab yang tidak diketahui," kata Zaidel dalam satu kenyataan.

Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah NADMA bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Menurutnya agihan tanggungjawab kepada semua agensi yang terlibat telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara pada 13 Sept, yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri sendiri.

“NADMA tidak pernah menghalang tentera daripada menjalankan usaha bantuan banjir," katanya dalam sidang media di Shah Alam, antara kawasan paling teruk terjejas.

Jumlah mangsa meningkat

Dalam pada itu, agensi berita nasional Malaysia – Bernama melaporkan seramai 27 nyawa telah terkorban dalam kejadian dalam kejadian banjir besar sejak Sabtu.

Dua puluh daripadanya di Selangor manakala tujuh lagi di Pahang.

Agensi itu dalam laporannya juga memetik Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed sebagai berkata seramai 20 orang telah dikenal pasti menjadi korban banjir di Selangor sahaja.

Sementara itu, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di tujuh buah negeri yang terlibat pula melonjak kepada lebih 69,000 orang sehingga Selasa.

Kesemua mereka sedang mendapatkan perlindungan di 434 pusat pemindahan banjir di negeri-negeri terlibat.

Di laman media sosial pula, rakyat Malaysia terus meluahkan kemarahan mereka sebagai reaksi terhadap komen Ismail Sabri di Jelebu.

“Ismail Sabri adalah yang perlu dipertanggungjawabkan di atas kematian akibat banjir,” menurut seorang pengguna Twitter dengan nama Aimi Nadiah.

John Tan dalam tweetnya pula berkata, “Secara ringkasnya, pengurusan yang lemah dan para pembuat keputusan yang tidak cekap akan bebas tanpa sebarang tindakan tanpa memikul akibat dari kegagalan ini.”

Bukan masa berpolitik

Bencana banjir terburuk berkenaan turut mendapat perhatian mantan perdana menteri Mahathir Mohamad yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya ikuti berita berkait dengan banjir yang melanda negara kita. lanya amat merisaukan dan sudah pasti kesusahan yang dihadapi mangsa-mangsa amat memeritkan.

“Ini bukan masa untuk berpolitik. Ini masa untuk kemanusiaan. Bantuan diberi tidak harus memilih sesiapa,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Mahathir yang kini adalah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air dijangka pulang beberapa hari lagi selepas pasukan doktor yang merawatnya berpuas hati dengan keputusan ujian dan rawatan.

“Pasukan doktor yang merawat Tun Dr Mahathir berpuas hati dengan keputusan siasatan yang dijalankan sejak beberapa hari lepas.

“Susulan itu, Tun Dr Mahathir telah bersedia untuk dibenarkan keluar dalam masa beberapa hari,” umum bahagian komunikasi korporat IJN pada Selasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.