Kemenangan pembangkang dalam PRN petanda Anwar perlu fokus kepada ekonomi - Penganalisis

Itu antara cara meluaskan pengaruh dalam kalangan Melayu, lawan politik identiti etno-agama bawaan Perikatan Nasional, kata mereka.
Iman Muttaqin Yusof
2023.08.14
Kuala Lumpur
Kemenangan pembangkang dalam PRN petanda Anwar perlu fokus kepada ekonomi - Penganalisis Perdana Menteri Anwar Ibrahim meninggalkan lokasi selepas sidang media keputusan pilihan raya negeri di Kuala Lumpur, 12 Ogos 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kemenangan signifikan pembangkang yang sering memainkan politik etno-agama di Malaysia pada pilihan raya negeri Sabtu lalu memberi gambaran bahawa kebanyakan masyarakat Melayu Muslim di negara itu telah berpaling daripada gabungan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meskipun pakatan itu berjaya mempertahan tiga negeri, demikian menurut penganalisis politik.

Meskipun kerajaan yang diterajui Anwar berjaya mempertahan kedudukannya namun ia perlu memfokus kepada langkah membantu golongan miskin dalam kalangan majoriti Melayu dan memastikan puak minoriti tidak dipinggirkan dalam usaha mengembangkan pengaruh, walaupun pembangkang bergantung kepada propaganda membangkitkan kegusaran kaum majoriti Muslim berhubung isu kehilangan identiti mereka, kata penganalisis.

Pada pilihan raya di enam negeri hujung minggu lalu, pihak pembangkang konservatif Perikatan Nasional telah menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara di negeri-negeri yang dipertahan – Kedah, Kelantan dan Terengganu – selain membolot sebahagian besar undi daripada pakatan Persekutuan Anwar di negeri-negeri yang disifatkan kubu kuat mereka iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

“Sejumlah besar pengundi Melayu yang beralih kepada Perikatan Nasional dan parti gabungannya iaitu parti Islam PAS, mungkin bertindak sedemikian sebagai tanda protes terhadap situasi ekonomi semasa manakala yang lain terpengaruh dengan agenda politik identiti Melayu yang dimomokkan kepada mereka,” kata Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Centre, kepada BenarNews.

“Pakatan Harapan tidak dapat menandingi Perikatan dalam soal politik identiti. Sebaliknya, ia perlu menjayakan pemulihan ekonomi asas dan beberapa pembaharuan dalam institusi sekali gus memperlihatkan kesiapsagaan kerajaan memberi maklum balas kepada isu yang diketengah di samping memperbaiki mutu pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pembaharuan institusi yang dilaksana harus menitikberatkan usaha mengatasi amalan rasuah dan meningkatkan tahap kecekapan.

“Pembaharuan dalam rejim subsidi dan cukai juga penting bagi meningkatkan pendapatan negara supaya ia dapat disalurkan kepada sektor yang memerlukan,” katanya.

Anwar juga tidak seharusnya cuba menyaingi politik identiti bawaan Perikatan atau cuba memuaskan golongan konservatif, kata penganalisis Syaza Shukri dari Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Beliau perlu memberi tumpuan pada usaha menghasilkan agenda unik yang boleh menjadikan Malaysia sebuah kerajaan Islam yang meraikan semua pihak,” katanya kepada BenarNews.

Meskipun keputusan pilihan raya negeri dijangka tidak memberi impak besar kepada Kerajaan Persekutuan yang dibentuk dengan majoriti dua per tiga, keputusan itu dilihat sebagai ujian kepada kekuatan gabungan Kerajaan Perpaduan.

Pilihan raya negeri juga merupakan satu bentuk ujian terhadap tahap keyakinan dalam gabungan pakatan pelbagai etnik Anwar dengan musuhnya sebelum ini, yang dikenali sebagai parti yang memperjuangkan kaum Melayu iaitu parti komponen Barisan Nasional, UMNO.

Keputusan menunjukkan polarisasi

Pada akhirnya, Perikatan dan Pakatan masing-masing berjaya mempertahan tiga negeri namun keputusan undian jelas menunjukkan situasi politik semasa di Malaysia.

Sebanyak 245 kerusi dipertandingkan dan Perikatan memenangi 146, atau 60 peratus kerusi secara keseluruhan.

Gabungan Pakatan memenangi 99 kerusi, jumlah yang kurang berbanding 169 pada pilihan raya lalu.

Statistik ini semestinya mengambil kira fakta bahawa parti-parti dalam Perikatan iaitu Bersatu dan PAS tidak bertanding bersama begitu juga dengan pakatan dan Barisan-UMNO pada pilihan raya lalu.

MY-Pic-2 (2).jpg

Pemimpin Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) dan ahli lain pakatan pembangkang itu mengibarkan bendera gabungan itu sementara menunggu keputusan pilihan raya di enam negeri di Selangor, 12 Ogos 2023. (S.Mahfuz/BenarNews)

Di Pulau Pinang, yang merupakan kubu kuat Pakatan selama bertahun-tahun, Perikatan berjaya memenangi 11 kerusi.

Satu lagi kubu kuat Pakatan iaitu Selangor menyaksikan gabungan Perikatan-PAS berjaya menembusi kawasan luar bandar yang didominasi populasi Melayu selain kawasan bandar.

Ia memenangi 22 daripada 56 kerusi, satu kemenangan besar berbanding satu kerusi yang diperoleh PAS pada pilihan raya lalu.

Ketika itu, PAS masih belum menjadi sebahagian daripada Perikatan tetapi jumlah kerusi yang dimenangi Perikatan adalah di luar jangkaan, kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Walaupun Perikatan diramalkan mampu menambah kerusi di kawasan majoriti Melayu namun tahap kejayaannya terutama sekali dalam mengurangkan majoriti dua per tiga Pakatan di Selangor amat mengejutkan,” katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata keputusan itu jelas menggambarkan bahawa “Malaysia lebih berpecah sekarang.”

Etnik Melayu merangkumi hampir 70 peratus daripada populasi rakyat Malaysia dan semuanya beragama Islam manakala etnik Cina adalah 22.8 peratus diikuti etnik India sebanyak 6.6 peratus.

‘Gelombang Hijau’ kembali

Kemenangan Perikatan adalah memberangsangkan hasil daripada kejayaan parti gabungannya iaitu PAS berdasarkan keputusan pilihan raya umum pada November lalu.

PAS, yang sering didakwa membawa retorik agama yang memecah-belahkan dan memperjuang teras Islam dalam negara berbilang kaum, menunjukkan prestasi yang disifatkan sebagai terbaik pada pilihan raya negeri kali ini.

Parti itu memenangi 105 daripada 127 kerusi yang ditandingi di keenam-enam negeri daripada sejumlah 146 kerusi yang diperoleh Perikatan secara keseluruhan.

Semasa pilihan raya umum pada November, PAS memenangi 49 kerusi, jumlah terbesar yang diperoleh oleh sebuah parti, yang merupakan majoriti daripada 74 kerusi Perikatan. Penganalisis kemudian menggelarnya 'gelombang hijau' sempena warna bendera PAS.

Kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada Isnin memaklumkan parti itu mengekalkan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan serta Terengganu dengan majoriti dua pertiga undi dan “memperoleh kemenangan besar di tiga negeri lain” yang ditadbir oleh gabungan Pakatan-Barisan.

Situasi ini bertentangan dengan Barisan-UMNO yang sekali lagi mengalami kekalahan sekali gus memberi gambaran bahawa Anwar tidak boleh bergantung kepada parti itu untuk meraih undi Melayu Muslim. Daripada keseluruhan 108 kerusi yang ditandingi oleh Barisan-UMNo, hanya 19 yang berjaya dimenangi.

UMNO mempamer prestasi buruk pada dua pilihan raya yang lalu dan pada masa sama, bergelut dengan persepsi “kepentingan individu dan korup.” Pemimpin terdahulu yang juga bekas Perdana Menteri Najib Razak disabitkan dengan kesalahan rasuah dan dihukum penjara 12 tahun pada 2020 dan hukuman itu dilaksanakan pada tahun lalu.

Pernah dianggap sebagai parti yang memperjuang kepentingan Melayu-Muslim, UMNO kini dilihat sebagai telah kehilangan taring, kata Azmil Mohd Tayeb, Profesor Madya di Universiti Sains Malaysia, kepada BenarNews.

“Perikatan kini menjadi jentera politik pilihan Melayu, menggantikan UMNO,” tambahnya.

“Oleh yang demikian, daya saingnya bukan sahaja di kawasan jalur Melayu tetapi juga di bandar serta luar bandar dengan populasi campuran. Perikatan Nasional ialah Barisan Nasional yang baharu.”

AP23224015408115(1).jpg

Seorang pengundi sedang memasukan kertas undi beliau ke dalam tong undi semasa pilihan raya negeri di sebuah pusat mengundi di Selayang, pinggir Kuala Lumpur, 12 Ogos, 2023 [Vincent Thian/AP]

Gesaan untuk berundur

Pemimpin Perikatan Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri, berkata pada lewat Sabtu bahawa kemenangan parti sekutunya menandakan penolakan terhadap gabungan Persekutuan dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

"Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab moral dan berundur daripada jawatan mereka,” katanya pada sidang media.

Selain itu, terdapat gesaan dalam UMNO supaya Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden parti berkenaan. Ahmad Zahid berdepan pertuduhan jenayah dalam kes melibatkan dakwaan rasuah bernilai RM52.52 juta (AS$11.42 juta) daripada dana sebuah yayasan milik keluarganya,

“UMNO kehilangan 100 peratus kerusi di Terengganu. Ahmad Zahid seharusnya letak jawatan,” kata bekas Menteri Besar Terengganu Idris Jusoh dari UMNO dalam hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Bagi pemimpin muda UMNO Muhamad Akmal Salleh, sudah tiba masanya parti itu menerima perubahan dengan berani.

“Suara rakyat perlu diutamakan, bukan suara pemimpin. Kita perlu berani berubah sekiranya tidak mahu UMNO terus dilupakan,” menurutnya dalam kenyataan media.

Seorang pemerhati politik Malaysia, Bridget Welsh, berkata UMNO perlu muhasabah diri susulan keputusan pilihan raya itu.

“[UMNO] perlu membuat keputusan penting mengenai pertukaran kepimpinan, reformasi dalaman, usaha ‘pembersihan’ dalam parti atau individu dan hubungan sekutunya,” kata Welsh dari University of Nottingham Malaysia kepada BenarNews.

Beliau juga berkata Ahmad Zahid akan mendapat tekanan untuk mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan pilihan raya negeri sepanjang tempoh beberapa minggu akan datang.

Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.