Keputusan pilihan raya negeri Malaysia uji keutuhan pakatan Persekutuan, kata penganalisis

Part-parti gabungan dalam kerajaan Persekutuan bertanding menentang kebangkitan pembangkang yang berpaksikan parti-parti Melayu dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.
Iman Muttaqin Yusof
2023.08.09
Kuala Lumpur
Keputusan pilihan raya negeri Malaysia uji keutuhan pakatan Persekutuan, kata penganalisis Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kanan) bersama timbalannya Ahmad Zahid Hamidi pada satu acara di Selangor, Malaysia, 7 Julai 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Enam pilihan raya negeri Malaysia pada 12 Ogos ini akan menunjukkan betapa utuh - atau rapuh - pakatan parti-parti pelbagai etnik perdana menteri di peringkat Persekutuan dengan parti UMNO yang berpaksikan Melayu, kata penganalisis.

Dengan 245 kerusi dipertandingkan di enam negeri itu, kira-kira 10 juta rakyat Malaysia - hampir separuh daripada bilangan pengundi negara itu - layak mengundi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, di mana pakatan dan gabungan parti-parti persekutuan bertanding menentang satu sama lain.

Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan parti sekutu mereka akan bersama-sama menentang gabungan Perikatan Nasional pimpinan bekas perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang merangkumi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Bersatu, sebuah lagi parti yang berpaksikan Melayu.

Apa yang menarik ialah pemerintahan di enam negeri itu kini terbahagi kepada dua. DUN di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor adalah dikuasai Pakatan Harapan manakala Perikatan Nasional pula menguasai DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Seorang pemerhati politik Malaysia, Bridget Welsh, percaya kedudukan status quo mungkin dikekalkan. Beliau hanya meramalkan perubahan dalam margin kemenangan.

“UMNO, sekutu strategik utama kerajaan Anwar, menghadapi cabaran paling besar dalam pilihan raya negeri ini,” kata Welsh, dari Universiti Nottingham Malaysia, kepada BenarNews.

“Prestasi buruk UMNO dalam pilihan raya negeri mungkin membawa kepada gesaan supaya dipertimbangkan semula gabungan parti itu dengan pakatan pemerintah,” katanya.

MY-pic-2.JPG

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kanan) bersama dua timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Fadillah Yusof, selepas majlis angkat sumpah Kabinet baharu di Istana Negara, Kuala Lumpur, 3 Dis 2022. [ Hasnoor Hussain/Pool/Reuters]

Seorang penganalisis lain, bagaimanapun, melihat Pakatan Harapan perlu memikirkan semula gabungannya dengan UMNO jika parti sekutunya itu menunjukkan prestasi hambar pada pilihan raya negeri tersebut.

“Parti-parti lain dalam Pakatan Harapan akan menentang sebarang usaha untuk mengekalkan UMNO,” kata Ku Hasnan Ku Halim, pensyarah kanan Universiti Tun Hussein Onn, kepada BenarNews. Pakatan Harapan pimpinan Anwar merangkumi tiga.

"Mereka tidak akan mahu adanya beban yang perlu dipikul."

Pakatan Harapan dan UMNO pernah menjadi musuh dengan Pakatan Harapan terdiri daripada parti-parti pelbagai agama, kumpulan reformasi sekular manakala UMNO adalah parti elit politik lama yang berpaksikan etnik Melayu. Namun, kedua-duanya menjalin gabungan pada November lalu untuk membentuk kerajaan serta menentang Perikatan Nasional dan rakannya yang tegar agama, PAS.

Prestasi UMNO yang teruk bermakna "orang Melayu yang dahulunya menyokong UMNO [kini] memandang tinggi kepada Bersatu dan PAS kerana mereka memperjuangkan hak Melayu dan dilihat sebagai pembela Islam," kata Ku Hasnan.

UMNO, yang menaungi Barisan Nasional (BN), sentiasa menggambarkan dirinya sebagai memperjuangkan kepentingan majoriti etnik Melayu, yang merupakan 70 peratus daripada populasi negara.

Namun, UMNO gagal dalam dua pilihan raya umum yang lalu selain dihimpit persepsi bahawa ia lebih mengutamakan kepentingan diri dan terpalit rasuah. Pemimpinnya bekas Perdana Menteri Najib Razak pula disabitkan rasuah serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun pada 2020, dan sabitan itu dikekalkan tahun lepas.

Perikatan Nasional berhasrat mengambil alih kedudukan utama itu. Ada yang menyatakan ia berjaya berbuat demikian apabila memenangi bilangan kerusi kedua tertinggi pada pilihan raya umum November 2022.

Dengan UMNO kini bergabung tenaga bersama Pakatan Harapan, sebuah gabungan yang sentiasa menangkis tuduhan bahawa ia tidak melayani kepentingan Melayu, pilihan raya negeri kali ini akan menentukan sama ada ikatan Melayu itu kian longgar daripada genggaman parti tertua di Malaysia itu, kata penganalisis.

'Orang muda: Kami mahukan perubahan'

Sementara itu, Pakatan Harapan berharap gabungannya dengan UMNO akan menerima lebih banyak sokongan orang Melayu.

Mengambil kira Pakatan Harapan memberikan BN-UMNO sebanyak 108 daripada 245 kerusi untuk bertanding, ini pasti membantu dalam mendukung agenda Melayu, menurut penganalisis politik Lau Zhe Wei.

“Ia menunjukkan kekuatan dan kerelevanan UMNO dalam dinamik PH-BN,” kata Lau, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

Namun, langkah sedemikian juga boleh memakan diri, kata seorang lagi penganalisis, Hafidzi Razali dari firma juruperunding risiko politik, BowerGroupAsia.

"Pakatan Harapan pimpinan Anwar sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada UMNO untuk mengukuhkan lagi sokongan [pengundi] Melayu, tetapi pendekatan ini membawa risiko dengan potensi menyebabkan akar umbi UMNO beralih menyokong Perikatan Nasional," kata Hafidzi, pengarah bersekutu di firma itu, kepada BenarNews.

Beliau merujuk kepada bagaimana penyokong tradisi UMNO menolak Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sebahagian besarnya dianggotai etnik Cina. Mereka melihat DAP sebagai ancaman kepada orang Melayu.

Walapun ada penolakan besar daripada UMNO, Hafidzi melihat Perikatan Nasional menampilkan prestasi yang baik kerana ia dapat menarik minat pengundi melalui etnosentrisme Melayu.

“Perikatan Nasional akan kekal kukuh di kawasan majoriti Melayu terutamanya dalam demografi pinggir bandar dan luar bandar,” kata Hafidzi.

MY-pic-3.jpg

Para pekerja sedang menyediakan layang-layang gergasi dengan logo bulan dan Islam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Pasar Kedai Buluh sempena pilihan raya negeri Terengganu, Malaysia, 1 Ogos 2023. [Budi Ahmad/BenarNews]

Satu lagi isu yang boleh mempengaruhi pengundi untuk memihak kepada Perikatan Nasional ialah pertuduhan menghasut yang dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md. Nor pada pertengahan Julai lalu. Kedah antara negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri ini.

Ini mungkin mempengaruhi segelintir orang, yang sebelum ini memutuskan tidak mahu keluar mengundi kerana letih dengan pilihan raya, untuk mengundi Perikatan Nasional, kata penganalisis politik Syaza Shukri.

“Tindakan mendakwa menteri besar Kedah itu boleh membangkitkan semangat para penyokong Perikatan Nasional untuk tampil lebih kuat,” kata Syaza dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

Ramai kalangan spektrum politik membantah penggunaan undang-undang hasutan era penjajah terhadap Sanusi, dan beberapa pengkritik mengecam Anwar dengan menyatakan dakwaan itu bermotifkan politik.

Faktor etnik dan keterangkuman serta layanan kerajaan terhadap pemimpin pembangkang adalah antara isu yang akan mengecilkan subjek seperti ekonomi atau pembangunan negeri, kata penganalisis dan beberapa pengundi.

Sebagai contoh, PAS akan terus memerintah Kelantan, seperti yang telah dilakukannya selama beberapa dekad walaupun terdapat masalah pembangunan yang serius di negeri itu, kata Afiq Salleh, 29, yang berpindah ke sana dari Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Afiq berkata, sejak 30 tahun lalu rakyat Kelantan tidak mempunyai air bersih kerana tiadanya perancangan bandar yang baik.

“Di Kelantan, orang tua dan orang kampung akan terus mengundi PAS. Mereka tidak kisah jika terpaksa minum air keruh dari paip. Apa yang penting bagi mereka ialah PAS adalah satu-satunya parti yang melindungi Islam dan menegakkan agama itu,” katanya kepada BenarNews.

“Bagi kami golongan muda, kami mahukan perubahan. Tetapi, saya fikir ini akan mengambil masa sebelum generasi muda dapat membawa perubahan.”

Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.