PRN Johor: Kumpulan Pengundi Termuda Akan Buat Pilihan Pertama Kali

Akan tetapi penganalisis menjangka blok baharu pengundi berusia antara 18 ke 20 tahun itu akan hanya membawa sedikit impak terhadap keputusan pilihan raya.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2022.03.10
PRN Johor: Kumpulan Pengundi Termuda Akan Buat Pilihan Pertama Kali Seorang pengguna jalanraya memandu di jalan yang dipasang dengan bendera parti-parti politik yang bertanding semasa Pilihan Raya Negeri Johor, di Muar, Johor, 2 Mac 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 10 malam waktu tempatan ETS - 2022-03-10

Rakyat Malaysia yang berusia antara 18 dan 20 tahun akan membuang undi buat pertama kalinya pada hujung minggu ini apabila penduduk negeri Johor memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa pilihan raya negeri yang dijangka oleh penganalisis politik bakal menyaksikan parti tertua negara itu kembali ke tampuk pemerintahan.

Penganalisis politik berkata pengundi muda berusia antara 18 ke 20 tahun hanya mewakili tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi Johor dan penyertaan mereka tidak akan membawa banyak impak terhadap keputusan pilihan raya negeri berkenaan. Gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh UMNO mempunyai kelebihan di negeri yang merupakan kubu kuat mereka kerana undi pembangkang dijangka berpecah disebabkan tiada kesepakatan, kata mereka.

"Di sebalik gembar gembur mengenai pengundi baru berusia bawah 21 tahun yang kini berpeluang untuk mengundi, bilangan keseluruhan pengundi muda di bawah usia 25 hanya mewakili 13 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi di Johor," kata Tunku Mohar Mokhtar, ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Golongan pengundi muda ini tentunya penting, akan tetapi undi dari kumpulan tersebut sahaja tidak akan membawa kesan terhadap keputusan keseluruhan pilihan raya ini," kata beliau kepada BenarNews.

Penganalisis politik dan profesor di Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani pula menjangkakan bahawa pengundi belia juga akan turut berpecah mengikut garisan parti-parti politik.

"Saya menjangka bahawa semua parti akan mendapat bilangan undi yang sekata dari kumpulan pengundi muda ini," kata Azizuddin kepada BenarNews.

Ia bermakna bahawa tidak semua pengundi belia akan memilih Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau MUDA. Ia adalah kali pertama parti berasaskan belia itu, yang diketuai oleh anak tempatan Johor, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai pilihan raya.

MUDA bertanding sebanyak tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri Johor, dan berpakat dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini berjaya menumbangkan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) buat pertama kalinya pada 2018 selepas 61 tahun memegang tampuk kuasa.

Pilihan raya negeri Johor menyaksikan 239 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN di negeri kedua terpadat di Malaysia itu.

UMNO, parti tertua di Malaysia, telah diasaskan di Johor dan mengetuai kerajaan negeri sebelum ini namun parti itu mahu mengadakan pilihan raya kerana mengkehendaki pentadbiran yang lebih stabil, kata bekas Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, selepas kematian seorang wakil rakyat yang menyokong kerajaan pimpinannya sekaligus menjadikan majoriti UMNO di Dewan Undangan Negeri menyusut kepada hanya satu kerusi.

UMNO punya kelebihan

Para penganalisis berkata mereka melihat UMNO sebagai parti yang berkuasa di Johor bakal memenangi pilihan raya di kubu kuatnya itu disebabkan oleh perpecahan antara parti-parti pembangkang yang menyebabkan pertembungan banyak penjuru di semua kerusi. Ia bermakna penyokong tegar UMNO dijangka menentukan nasib gabungan BN pimpin parti itu.

Penganalisis Mohd Azizuddin memberikan contoh perpecahan yang berlaku antara parti pembangkang Warisan dengan parti Bersatu yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Dua parti ini dahulunya sebahagian daripada gabungan parti-parti pembangkang... Namun mereka kini berlawan sesama sendiri sementara Barisan Nasional pula kekal menguasai sokongan daripada para penyokong tegar gabungan itu," kata beliau.

"Lebih besar perpecahan antara parti pembangkang... ia dijangka akan memberikan kelebihan kepada BN. Akan tetapi, terdapat antara enam ke lapan kerusi yang dianggap kawasan 'kelabu' yang sukar dijangkakan. Pada penilaian saya secara konservatif, BN akan menang dengan majoriti mudah," kata penganalisis Mazlan Ali.

Kata beliau, UMNO akan bergantung kepada undi daripada para penyokongnya di kawasan pedalaman dan golongan berpendapatan rendah.

"Pakatan Harapan, MUDA dan Pejuang [parti diasaskan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad] mungkin akan dapat memenangi beberapa kerusi di kawasan bandar dan kerusi yang mempunyai ramai pengundi berlainan kaum," penganalisis politik dan pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia itu memberitahu BenarNews.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya UMNO dan BN akan tetap mempunyai kelebihan, kata beliau.

Johor merupakan kubu kuat UMNO sejak puluhan tahun lalu, sebelum jatuh ke tangan PH semasa pilihan raya umum 2018. UMNO juga hilang kuasanya di peringkat kerajaan persekutuan dalam pilihan raya tersebut.

Akan tetapi, PH kini "tidak lagi dilihat sebagai pilihan yang segar serta tidak bersepakat", menurut satu analisa oleh Francis E. Hutchinson dan Kevin Zhang yang diterbitkan badan pemikir Singapura, Institut ISEAS-Yusof Ishak.

"Berlainan dengan apa yang berlaku pada 2018, Pakatan Harapan kini bukan lagi dilihat sebagai satu gabungan yang mantap, serta kurang menarik minat pengundi. Jika bilangan pengundi yang keluar memilih adalah rendah, atau kehilangan undi mereka kepada parti-parti baru, boleh menyebabkan PH hilang beberapa kerusi yang penting buat mereka," kata kedua-dua penganalisis tersebut.

BN juga "mempunyai peluang besar" untuk mencatat keputusan yang jauh lebih baik dalam pilihanraya kali ini, kata mereka.

"Sekiranya semua berjalan baik untuk BN dan ia mendapat majoriti melebihi dua pertiga, maka tekanan untuk pilihan raya umum diadakan lebih awal akan menjadi sesuatu yang sukar ditolak," kata analisa ditulis dua individu itu.

"Bagaimanapun, sekiranya gabungan itu mendapat lebih 30 kerusi tetapi tidak cukup dua pertiga, kehidupan di Johor akan kembali seperti keadaan biasa sebelum pilihan raya dan situasi COVID. Tidak akan ada keterujaan tinggi atau sebab yang kukuk untuk mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin."

Bagaimanapun, terdapat sesetengah pengundi muda Johor yang mahu melihat perubahan.

"Saya tidak mahu pemimpin yang sudah lama serta korup," Priscilla Tan, 25, seorang graduan, memberitahu BenarNews. "Malangnya ramai pengundi mahu terus menyokong BN, walaupun saya tidak sedemikian."

Mashita Raja Mohamad, 35, mengharapkan untuk melihat lebih ramai calon muda dipilih untuk mewakili generasi muda negara.

"Tidak kisah mereka dari parti mana, tetapi yang paling penting adalah mereka tidak melompat dari satu parti ke parti lain selepas menangi kerusi," katanya kepada BenarNews.

Sementara itu, V. Navanithan Valayutham, seorang pesara, juga menyuarakan hasrat serupa.

"Saya berharap pemimpin yang muda dan bertenaga akan memimpin negeri ini. Saya amat suka dengan pemimpin MUDA, tetapi saya tahu ia adalah susah untuk mereka mendapat kemenangan," kata beliau kepada BenarNews.

"Tetapi ia tidak salah untuk kami terus berharap yang terbaik."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.