Najib Terima Kekalahan, Akui Kerajaannya ‘Tidak Sempurna'
2018.05.10
Kuala Lumpur, Malaysia
KEMASKINI pada 8 pagi waktu tempatan pada 2018-05-10
Dalam satu sidang berita yang suram selepas keputusan pilihan raya umum Malaysia diumumkan awal pagi Khamis, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan menghormati keputusan pengundian tetapi pada masa yang sama menuduh pesaingnya telah melakukan hasutan.
Tanpa menamakan pesaingnya, Najib jelas merujuk kepada ucapan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad sekitar tengah malam Rabu yang mengecam keputusan pilihan raya umum yang lewat dikeluarkan dan menganggapnya sebagai sengaja dilakukan selain memanipulasi keputusan itu.
"Terdapat juga dakwaan bahawa rakan-rakan saya dan saya merancang untuk mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada malam tadi ... untuk mengisytiharkan darurat. Itu satu lagi contoh hasutan kepada rakyat," kata Najib, yang diapit oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan anggota kanan lain kerajaannya.
“Tidak ada mesyuarat itu diadakan malam tadi,” kata pemimpin berusia 64 tahun itu, yang menganggap pilihan raya umum sebagai ‘pertempuran paling sengit’ dan dicemari ‘hasutan’ terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya.
Dalam ucapan ringkas di ibu pejabat parti yang diterajuinya di ibu negara, Najib, yang telah menjadi Perdana Menteri sejak 2009, tidak menyebut langsung nama Mahathir atau pakatan pembangkang yang telah menggulingkan kerajaannya.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Malaysia akan menentukan siapa yang akan dipilih sebagai perdana menteri berikutan tiada parti yang mencapai majoriti mudah bagi kerusi Parlimen.
Keputusan rasmi menunjukkan bahawa parti-parti dalam Pakatan Harapan, yang mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri, memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen manakala gabungan parti BN pimpinan Najib menang 79 kerusi.
"BN akan menghormati apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk bertenang dan berilah kepercayaan dan kebijaksanaan baginda untuk membuat keputusan yang terbaik," katanya.
"Saya menerima, rakan-rakan saya menerima, keputusan rakyat. Kami terima keputusan yang dibuat rakyat, dan BN akan terus komited kepada menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen."
'Jangan buang masa lagi'
Bertemu pihak media kira-kira 90 minit kemudian di Selangor, Mahathir berkata para pemimpin parti-parti pakatan itu telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mohammad V, yang berasal dari Kelantan, supaya seorang perdana menteri baru mengangkat sumpah dengan secepat mungkin.
"Kami ingin menjelaskan di sini bahawa terdapat keperluan segera supaya kerajaan dibentuk sekarang. Hari ini. Kerana pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai kerajaan, "kata Mahathir.
"Kami berharap pada 5 petang hari ini, kita akan mempunyai kerajaan baru."
Beliau berkata, Pakatan Perharapan telah menerima sokongan "lebih dari 135 Ahli Parlimen" termasuk daripada Parti Warisan Sabah dan "individu lain di Sabah."
"Pakatan Harapan sudah memenangi majoriti yang jelas dan oleh itu, kami berhak membentuk kerajaan," kata Mahathir.
'Tidak sempurna'
Najib berkata, kerajaannya telah cuba sedaya upaya memastikan kebajikan rakyat terus terbela, dan berasa bangga dengan rekodnya tetapi "ada perkara-perkara yang tidak sempurna pada masa kami berkuasa."
Najib dibelenggui dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana negara yang berbilion ringgit wangnya didakwa telah diselewengkan.
Jabatan Kehakiman A.S. menyatakan bahawa $ 4.5 bilion telah dicuri daripada 1MBD oleh sekutu Najib, termasuk $700 juta yang dimasukkan dalam akaun bank peribadinyanya. Najib telah menafikan sebarang salah laku.
Dalam satu kenyataan pada Rabu lalu, Jabatan Negara A.S mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana berjaya mengharungi kempen pilihan raya yang sengit dengan tahap keamanan yang tinggi sepanjang proses pengundian itu.
"Kami amat berharap yang semua institusi akan melaksanakan fungsi dan tugas mereka bagi menghasilkan dan melaksanakan keputusan rasmi itu mengikut perlembagaan persekutuan dan kehendak rakyat," katanya.
'Sultan Johor'
Sementara itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar meminta Perdana Menteri baru segera mengangkat sumpah.
“Saya minta semua menghormati suara rakyat yang mana rakyat nak kerajaan baru. Dengan ini, saya meminta kerajaan dilantik dengan serta merta dan jangan buang masa lagi,” kata baginda dalam kenyataan.
N. Nantha di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.