Sembilan Negara Hadir Pantau Pilihan Raya Malaysia

Hadi Azmi & N. Nantha
2018.05.08
Kuala Lumpur, Malaysia
180508-MY-observers-620.jpg Seorang anggota tentera Malaysia membuang undinya semasa pengundian awal pilihan raya umum ke-14 di Kuala Lumpur, 5 Mei 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pemerhati dari sembilan negara Asia kini berada di Malaysia bagi mengikuti proses pilihan raya umum, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang sebelum ini melarang agensi hak asasi manusia nasional memantau apa yang disifatkan sebagai undi “kotor” oleh banyak pihak.

Kesemua 25 orang pemerhati antarabangsa terbabit - terdiri daripada pesuruhjaya pilihan raya nasional dari Indonesia, Thailand, Kemboja, India, Pakistan, Maldives, Azerbaijan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan - telah dibawa pada Selasa untuk meninjau sebuah pusat penjumlahan undi di Putrajaya, sebuah bandar pentadbiran Malaysia berhampiran Kuala Lumpur, kata pegawai.

“Setiap pemerhati adalah terdiri daripada mereka yang kini terlibat dalam pilihan raya di negara masing-masing. Mereka mengemukakan banyak soalan dan tidak sabar-sabar untuk melihat proses (pilihan raya) kita esok,” kata Timbalan Pengerusi SPR, Othman Mahmood, seperti yang dipetik oleh agensi berita rasmi Bernama.

“Tujuan… menjemput kesemua pemerhati antarabangsa ini ialah untuk membuktikan ketelusan proses pilihan raya dan supaya kita boleh mendapat maklum balas daripada mereka bagi meningkatkan pengurusan pilihan raya pada masa akan datang,” katanya.

Lebih 1,200 individu yang mewakili kumpulan rakyat tempatan akan turut ditempatkan sebagai pemerhati pilihan raya umum ke-14 (PRU 14), kata SPR.

Antara kumpulan yang menghantar pemerhati ke tempat-tempat pengundian ialah Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Orang Kota Bharu (OKB), Persatuan Pengundi Wawasan Malaysia dan universiti tempatan, menurut senarai dari suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, tidak ada negara barat yang diwakili dalam kalangan pemerhati antarabangsa. Pegawai akhbar kedutaan Amerika dan Britain di Kuala Lumpur telah menolak permintaan BeritaBenar untuk mengulas mengapa negara mereka tidak menghantar pemerhati bagi memantau pilihan raya Malaysia.

Dalam perkembangan lain, anggota SPR K. Bala Singam menolak permintaan untuk ditemu bual oleh BeritaBenar.

‘Diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong’


Pada akhir April, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengumumkan bahawa SPR telah menolak permohonannya untuk menghantar pemerhati bagi memantau proses pengundian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada hari berikutnya, SPR berkata ia tidak memerlukan khidmat Suhakam dan menjelaskan bahawa ia telah mengiktiraf sejumlah pemerhati “yang mencukupi” bagi memantau proses pengundian.

“Penglibatan Suhakam sebagai pemerhati pilihan raya tidak diperlukan kerana SPR telah menjemput pemerhati antarabangsa dan bebas untuk memantau pilihan raya umum ke-14,” kata SPR pada 27 April.

“Pada masa yang sama, undang-undang juga memberikan hak kepada semua calon dan parti yang bertanding untuk melantik ejen-ejen mereka sebagai pemerhati bagi proses pilihan raya,” menurut kenyataan itu, yang memetik Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah.

“Sebagai sebuah badan bebas dan berintegriti, yang diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menguruskan pilihan raya umum, SPR akan memastikan [bahawa] setiap proses PRU 14 yang dikendalikan oleh sejumlah 250,000 petugas awam akan dilakukan secara adil dan telus tanpa tekanan dan campur tangan daripada mana-mana pihak,” katanya, merujuk kepada jumlah sukarelawan dan petugas pengundian yang dijangka bertugas pada Rabu.

Anggota Suhakam, bagaimanapun, telah berikrar untuk menghantar sepasukan 50 anggota dan sukarelawan bagi memantau pengundian di kawasan-kawasan panas termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan.

Pemimpin pembangkang Mahathir Mohamad memberitahu Agence France-Presse bulan lepas bahawa pilihan raya 9 Mei bakal menjadi “yang paling kotor” pernah diadakan di Malaysia, merujuk kepada perubahan peta pilihan raya dan kaedah-kaedah lain.

"Sudah tentu pihak pembangkang akan merungut mengenai pilihan raya namun kali ini, ia amat jelas sehinggakan anggota parti pemerintah sendiri... tidak berpuas hati,” katanya.

Keraguan tentang pemerhati yang diiktiraf


Sementara itu, beberapa penganalisis dan kumpulan pemantau mempersoalkan peranan yang boleh dimainkan oleh pemerhati antarabangsa yang diijemput secara rasmi bagi membantu menjamin satu pengundian bersih pada Hari Pengundian.

“Dengan kunjungan yang begitu singkat, mereka kelihatan seperti sekadar pelawat untuk mengendors SPR. Selain itu, delegasi Thailand mahupun Maldives tidak memiliki kredibiliti yang begitu memberangsangkan. Kedua-dua negara juga tidak mengamalkan sistem demokrasi,” kata Wong Chin Huat, seorang penganalisis di Institut Pulau Pinang, sebuah badan pemikir tempatan, kepada BeritaBenar.

Mandeep Singh, seorang pengurus bagi Bersih 2.0, sebuah kumpulan akar umbi yang memperjuangkan pilihan raya bebas dan adil di Malaysia, menyuarakan pendapat sama.

“Pendirian kami ialah kesemua mereka ini bukanlah pemerhati, tetapi hanya sekadar pelawat. Perkara itu jelas kerana mereka datang ke sini atas jemputan kerajaan Malaysia. Ia adalah sebuah program kerajaan kepada kerajaan, jadi mereka melakukannya sekadar untuk menghormati kerajaan sementara,” kata Singh kepada BeritaBenar.

“Pemantauan yang betul mengambil masa 6, 3, atau sekurang-kurangnya sebulan sebelum hari pengundian sebenar. Tidak cukup sekadar melihat pembuangan kertas undi. Pemantauan sebenar perlu melihat kepada keseluruhan proses pilihan raya,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kesaksamaan beberapa pemerhati tempatan yang diiktiraf SPR.

“Siapa mereka dan pertubuhan apakah semua ini? Apa yang telah mereka lakukan berkaitan pilihan raya? Majlis Belia Malaysia, misalnya, telah dilihat berkempen untuk BN,” katanya, merujuk kepada gabungan parti pemerintah Barisan Nasional.

“Bagaimana mungkin pemantau pilihan raya berkempen untuk calon pada masa yang sama?”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.