Tinjauan: Bilangan Keluar Mengundi Penting Untuk Tentukan Keputusan Pilihan Raya
2018.05.08
Kuala Lumpur, Malaysia
Pengaruh Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak semakin terhakis namun ia mungkin mengekalkan kuasanya untuk memerintah Malaysia walaupun tewas dalam memperoleh undi popular, menurut satu tinjauan yang dikeluarkan Selasa.
Gabungan parti pemerintah itu dijangka mengekalkan majoriti tipis di Parlimen dengan hampir dua per tiga daripada 15 juta pemilih berdaftar akan mengundi pakatan pembangkang utama, Pakatan Harapan (PH), yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, atau parti-parti lain, menurut ramalan satu tinjauan bebas yang dijalankan oleh Merdeka Centre terhadap persaingan paling sengit yang pernah dihadapi pilihan raya umum Malaysia setakat ini.
BN, yang memerintah Malaysia sejak 61 tahun lalu selepas mendapat kemerdekaan, dijangka meraih hanya 37.3 peratus undi berbanding dengan 43.4 peratus yang diperoleh PH, sebuah pakatan parti-parti pembangkang. Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang tidak menyertai mana-mana pakatan atau gabungan, dijangka mendapat 19.3 peratus undi, menurut Merdeka Centre.
Dalam satu tinjauan seminggu yang lalu, Merdeka Centre melaporkan bahawa BN akan memperoleh 40.3 peratus undi popular manakala PH akan meraih 43.7 peratus undi popular.
Walaupun BN boleh kalah undi popular buat kali kedua berturut-turut dalam pilihan raya umum, tetapi ia dijangka mengekalkan 100 kerusi Parlimen daripada 222 yang dipertandingkan berbanding 83 kerusi untuk PH dan dua untuk PAS, lapor badan tinjauan pendapat itu.
Merdeka Centre menarik parhatian bahawa "sejumlah besar" daripada 37 kerusi yang menjadi rebutan akan berdepan saingan sengit dan menyifatkan bahawa "pemilih yang keluar mengundi” akan menjadi faktor penting dalam menentukan kemenangan pada hari pengundian."
Gabungan yang memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen akan menerajui kerajaan.
Selain itu, calon-calon juga akan merebut 505 kerusi yang terdapat di 12 Dewan Undangan Negeri di Malaysia. Tinjauan Merdeka Centre terhadap undi popular itu tidak meliputi negeri-negeri Borneo di Sabah dan Sarawak, yang sejak dahulu lagi menyokong penuh Barisan Nasional, walaupun terdapat petunjuk baru-baru ini tentang peralihan daripada kerajaan Sabah, kata laporan itu.
Namun, Merdeka Centre menyatakan bahawa keputusan pilihan raya umum ke-14 itu mungkin berubah.
"Memandangkan tinjauan kami berakhir pada tengah hari hari 8 Mei, kira-kira 12 jam sebelum tamatnya tempoh kempen secara rasmi, ia mungkin tidak mendapat gambaran peralihan atau perubahan saat akhir yang mungkin berlaku pada penghujung tempoh berkempen."
Tinjauan itu mendapati bahawa pengundi membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) 6 peratus yang dikenakan oleh kerajaan, bimbang dengan peningkatan kos sara hidup serta mendakwa adanya kelemahan dalam tadbir urus kerajaan. Kebimbangan mengenai ekonomi merupakan isu bagi 43 peratus pengundi, diikuti oleh tadbir urus dan rasuah (21 peratus), dan kelemahan kepimpinan (8 peratus).
Pecutan akhir kempen
Calon-calon dan gabungan parti mereka terus berkempen sehingga malam Selasa. Tempoh berkempen rasmi selama 11 hari berakhir pada tengah malam.
Sebagai pemimpin utama BN dan Perdana Menteri, Najib menyampaikan perutusan secara langsung di televisyen pada 10 malam tadi manakala bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pula menyampaikan amanatnya dari Langkawi di mana beliau bertanding merebut kerusi Parlimen di pulau itu.
Najib memberi tumpuan kepada pemberian ganjaran kepada pengundi muda dan umat Islam berikutan menjelangnya Ramadan.
"Golongan muda yang berusia bawah 26 tahun yang bekerja, tanpa mengira jumlah pendapatan mereka, tidak perlu membayar cukai pendapatan," katanya semasa menyampaikan perutusan itu menerusi televisyen.
Selain itu, beliau mengumumkan bahawa cuti umum akan diberikan pada Isnin dan Selasa bagi persiapan menyambut Ramadan pada 16 Mei manakala tiada pembayaran tol dikenakan selama lima hari bulan depan untuk membolehkan umat Islam pulang ke kampung halaman bagi merayakan Aidilfitri, yang dijangka pada 14 Jun.
"Bayaran tol tidak perlu dibayar dua hari sebelum Hari Raya bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman mereka, dan pada Hari Raya pertama, kedua dan ketiga," katanya yang menggunakan istilah lain untuk Aidilfitri.
Mahathir, 92, bekas perdana menteri yang memimpin negara selama 22 tahun dan menyertai gabungan parti pembangkang awal tahun ini, mengakhiri kempennya dengan gesaan supaya pengundi bergabung dengan PH untuk menukar kerajaan.
"Rakyat sahaja tidak dapat menyelamatkan negara," kata Mahathir dalam amanat terakhirnya sebelum pengundian diadakan pada Rabu. "Pakatan seperti PH sendiri tidak mungkin dapat memulihkan negara tetapi rakyat dan pakatan boleh melakukannya bersama-sama, Insya-Allah!
"Oleh itu, keluarlah mengundi dan undilah Pakatan Harapan, dengan harapan kita dapat menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi dan memulihkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang Malaysia."
Ketika Mahathir menyampaikan amanatnya itu, menteri kewangan Malaysia menaja satu persembahan konsert kira-kira 4 kilometer (2.5 batu) jauhnya yang menampilkan penyanyi dan penghibur terkenal negara.
Sekatan jalan raya
Pada minggu-minggu menjelang pilihan raya, ahli-ahli politik pembangkang menuduh gabungan parti pemerintah melakukan beberapa sekatan jalan raya untuk menghalang Pakatan Harapan daripada memenangi pilihan raya umum itu.
Pada Mac, Parlimen meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya baru yang mencetuskan bantahan daripada para penggubal undang-undang pembangkang yang mendakwa ia memihak kepada gabungan parti pemerintah. Peta kawasan pilihan raya itu didapati menempatkan lebih ramai pengundi di kawasan yang dipegang pembangkang dan mewujudkan kawasan yang selamat bagi BN di luar bandar.
Pada awal April, Parlimen meluluskan pula undang-undang antiberita tidak benar walaupun pembangkang bimbang ia akan digunakan sebagai hukuman terhadap mereka yang cuba menggulingkan parti pemerintah.
Kebimbangan itu nyata berlaku pada minggu terakhir kempen 11 hari itu. Pada 2 Mei, pihak berkuasa mengesahkan mereka sedang menyiasat Mahathir di bawah undang-undang baru itu atas dakwaan beliau mengesyaki perbuatan sabotaj terhadap pesawat persendirian yang membawanya dari ibu kota Kuala Lumpur ke daerahnya di Langkawi.
Tiga hari kemudian, polis mengumumkan bahawa pemimpin pembangkang, Rafizi Ramli, sedang disiasat di bawah undang-undang baru itu berhubung kenyataannya di media sosial bahawa calon pembangkang di Negeri Sembilan tidak dibenarkan memfailkan kertas pencalonannya pada hari penamaan calon.
Pada April, hanya beberapa hari selepas Parlimen meluluskan undang-undang antiberita tidak benar, Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Mahathir kerana gagal memenuhi tarikh akhir 30 hari untuk menyerahkan dokumen yang diminta jabatan itu.
Dan selepas RoS menolak permohonan PH untuk didaftarkan sebagai sebuah pakatan, empat parti pakatan itu bersetuju untuk bertanding dalam pilihan raya umum dengan menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang diketuai oleh pemimpin yang sedang dipenjarakan, Anwar Ibrahim.