PRU15: BN mungkin jadi penentu siapa PM ke-10 Malaysia
2022.11.21
Kuala Lumpur
Gabungan parti pemerintah Malaysia, yang dicemari rasuah dan kalah teruk pada pilihan raya umum ke-15, mungkin menjadi penentu dalam pembentukan kerajaan baharu, demikian menurut butiran rundingan pada Isnin.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong memberi tempoh sehari lagi kepada parti politik yang bertanding untuk mencadangkan calon Perdana Menteri masing-masing dan baginda sekali lagi dijangka memainkan peranan besar dalam menentukan siapa yang bakal dipilih sebagai pemimpin negara.
Dua gabungan politik iaitu Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional yang diterajui bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kini bersaing sengit bagi membentuk kerajaan baharu namun tiada pihak mendapat majoriti mudah yang diperlukan - iaitu 112 daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertanding.
Kedua-duanya perlu mencapai kesepakatan bersama parti politik atau gabungan lain untuk mendapatkan jumlah kerusi yang diperlukan dan masing-masing kini sibuk berunding sejak keputusan pilihan raya diumumkan awal pagi Ahad.
Anwar, pemimpin Pakatan yang memenangi kerusi terbanyak iaitu 82, pada Isnin berkata beliau sedang berunding dengan musuh tradisinya, Barisan Nasional iaitu parti pemerintah yang menguasai 30 kerusi. Gabungan kedua-duanya menyaksikan jumlah 112 kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.
"Saya sangat gembira dengan hasil mesyuarat yang diadakan, dengan beberapa wakil daripada Barisan Nasional (BN) berbincang mengenai isu kerajaan campuran, di bawah pimpinan saya," katanya kepada pemberita pada Isnin.
"Saya berpuas hati kerana kami memberi tumpuan kepada keperluan untuk membentuk kerajaan yang stabil. Kami memerlukan kestabilan politik untuk membawa negara ke hadapan.”
Bagaimanapun, Anwar berkata mesyuarat itu belum lagi muktamad kerana Barisan belum membuat keputusan akhir.
"Saya masih optimis kami mampu membentuk kerajaan yang lebih telus dan demokratik untuk kepentingan rakyat. Rundingan berjalan lancar tetapi pemimpin Barisan meminta sedikit masa sebelum memuktamadkan keputusan selepas mengadakan pertemuan dengan parti lain,” katanya.
Sehari sebelum itu, pakatan parti serantau dari Sarawak yang terletak di Kepulauan Borneo iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memenangi 23 kerusi Parlimen, membentangkan formulanya sendiri yang dikatakan demi kepentingan "kerajaan yang stabil."
GPS berkata ia akan menyokong Perikatan, yang memenangi 73 kerusi iaitu jumlah kedua tertinggi, Barisan dan sebuah lagi pakatan serantau yang menguasai enam kerusi dengan gabungan itu menyaksikan sejumlah 132 kerusi serta lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Apa yang jelas ialah Barisan, walaupun kalah teruk dalam pilihan raya pada Sabtu, berada dalam kedudukan sebagai penentu siapa yang bakal membentuk kerajaan, kata Lau Zhe Wei, penolong profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Kedua-dua gabungan memerlukan Barisan Nasional. Walaupun Muhyiddin tidak menyebutnya dalam mana-mana kenyataan beliau, pihak lain ada menyebutnya," kata Lau kepada BenarNews.
"Jika tidak, jumlah kerusi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan."
Menurut Presiden GPS dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang merupakan komponen Perikatan, beberapa Ahli Parlimen Barisan menyokong Muhyiddin untuk membentuk kerajaan.
"Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat 18 [Ahli Parlimen Barisan] yang menyatakan sokongan mereka bagi membolehkan Perikatan membentuk kerajaan," media tempatan memetik Muhammad Sanusi Md Nor, Pengarah Kempen Pilihan Raya PAS, sebagai berkata pada lewat Ahad.
Di tengah-tengah kecelaruan itu, Pengerusi Barisan Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan pada lewat Ahad menafikan terdapat perbincangan mengenai sebarang rundingan dengan Perikatan pimpinan Muhyiddin.
“[B]arisan Nasional tidak pernah berunding atau bersetuju dengan Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan dengan Perikatan Nasional,” kata Zahid.
Ahmad Zahid Hamidi (tengah), Pengerusi Barisan Nasional, bersalaman dengan rakan parti dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur, 21 Nov 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]
Perpecahan dalam Barisan Nasional
Tidak semua pihak dalam Barisan gembira dengan rundingan antara Ahmad Zahid dan Anwar.
Antara yang menentang ialah Hishammuddin Hussein, penyandang Menteri Pertahanan, yang berkata beliau lebih rela dipecat daripada dipaksa menyokong Pakatan.
“No Anwar, No DAP – pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” kata pemimpin kanan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) itu dalam catatan di laman media sosial rasmi beliau iaitu Facebook.
UMNO adalah parti teras dalam Barisan.
Ia sentiasa memperjuangkan nasionalisme Melayu dan memiliki rasa tidak percaya yang mendalam terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang dilihat sebagai mendahulukan kepentingan etnik Cina sehingga menjejaskan Melayu yang merupakan etnik majoriti di Malaysia.
Sementara itu, beberapa penganalisis mempersoal pendirian Anwar mengenai kes rasuah terhadap Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO.
Lagipun, Anwar dan Pakatan berkempen atas platform antirasuah serta reformasi institusi. Ketika ditanya mengenai isu itu, beliau berkata perbincangannya dengan wakil Barisan hanya tertumpu kepada isu dasar dan tiada apa-apa berkaitan rasuah dibincangkan.
"Perbincangan adalah mengenai isu dasar dan keperluan untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan inklusif," kata Anwar.
“Kes-kes itu tidak berkaitan dengan apa yang telah dibincangkan. Badan kehakiman mesti bebas, dan tidak dikaitkan dengan eksekutif. Isu itu tidak dibincangkan sama sekali."
Anwar pernah menjadi orang kuat UMNO tetapi dipecat daripada parti pada 1998 kerana mengkritik kerajaan Barisan ketika itu.
Sejak itu, Anwar sering menyelar UMNO dan ideologi nasionalis Melayunya. Beliau juga berkata parti itu dan pemerintahan Barisan Nasional selama 60 tahun dalam politik Malaysia telah membawa kepada rasuah, nepotisme dan kronisme.
Berbeza dengan Anwar, Muhyiddin yang juga bekas orang kuat UMNO, berkongsi ideologi nasionalis Melayu parti itu.
Namun begitu, walaupun beliau dilihat lebih serasi bersama Barisan, seorang lagi pemerhati iaitu Azmil Tayeb percaya bahawa sebarang kesepakatan bagi membentuk kerajaan dengan Perikatan akan menyaksikan pemerintah yang agak goyah.
"Saya tidak fikir mana-mana kerajaan yang dibentuk daripada pakatan atas dasar kemudahan demi mencapai kuasa akan menghasilkan pemerintah yang stabil," kata penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia itu.
Fitru Hazim di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.